Aku berjalan perlahan menuju ke arah keretaku, pandanganku tumpukan sepenuhnya ke arah kereta berwarna biru milikku itu. Aku tidak ingin pulang terlalu lewat kerana perasaan takut dan seram sudah mulai menyelubungi diriku. Tepat pukul 9:00 malam tadi, ketika aku sedang sibuk melakukan kerja-kerja di pejabat dan hanya tinggal aku seorang saja di dalam pejabat tersebut. Aku terasa seperti ada insan yang sedang memerhatikan aku dari arah hadapan, namun apabila aku mengalihkan pandangan ke arah hadapan, tiada sesiapa di situ. Gelap dan sunyi. Mungkin aku terlalu fikirkan sangat dengan apa yang Kamil katakan awal tadi tentang pejabat ini berhantu. Aku cuba untuk membuang fikiran itu dan memberikan fokus seratus peratus terhadap kerja-kerjaku. Akan tetapi, aku tetap terfikir tentang hantu dan syaitan yang menyeramkan. Aku tidak dapat membuang semua fikiran-fikiran negatif itu dari kepala ini. Akhirnya aku membuat keputusan untuk pulang ke rumah dan menyambung kerja-kerjaku pada hari isnin nanti saja.
Aku mencampakkan tali leher dan beg bimbitku ke kerusi bahagian penumpang. Aku menghidupkan enjin kereta, penghawa dingin aku pasangkan ke paras paling rendah. Aku bersandar pada kerusi dan melelapkan mata seketika sementara menunggu enjin kereta panas sebentar. Tidak sampai beberapa saat saja aku melelapkan mata, aku terdengar bunyi hentakan kuat di hud kereta aku. Perkara tersebut membuatkan aku menjadi sangat terkejut dan terperanjat. Mataku bulat. Tiba-tiba saja aku terasa panas seluruh tubuh. "Bunyi apa tadi tu?" fikirku di dalam hati. Tanpa membuang masa, aku terus keluar dari dalam kereta dan berjalan menuju ke arah bahagian depan kereta. Aku mendapati bahawa ada sedikit calar di bahagian depan hud kereta aku dan ada beberapa titis kesan tidak jauh dari tempat aku berdiri. "Darah ke minyak hitam kereta ni?" aku menjadi bingung sebentar. Aku pandang sekeliling kawasan parking untuk memastikan bahawa aku tidak berseorangan namun, aku memang ternyata berseorangan di situ. Bunyi hentakan tadi membuatkan aku kembali memikirkan tentang hantu. Seluruh tubuh aku terasa panas dan aku mulai berpeluh, lantas aku terus berlari menuju ke dalam kereta dan terus memecut keluar dari kawasan itu.
"Tak mungkin Kamil dan budak-budak tu nak perdajalkan aku kot?" secara tiba-tiba saja fikiranku tertangkap wajah Kamil dan budak-budak pejabatku yang lain. Apakah mungkin mereka punya angkara tadi? Tapi tidak mungkin mereka berani hendak mencalarkan kereta ku ini. Mau aku pecat semuanya nanti. Aku membuat keputusan untuk bertanyakan soalan tersebut kepada Kamil apabila aku sudah sampai ke rumah nanti. Aku membelok ke kiri dari jalan Kuching menuju ke Sentul, sambil memandu mata aku tidak putus-putus memandang keadaan sekeliling. Memang menjadi tabiat aku apabila memandu, aku akan melihat setiap objek-objek yang wujud di jalan yang aku lalui itu.
Aku terus membelok ke kanan dan menuju terus ke arah apartment tempat tinggalku. Seperti biasa, aku akan mengangkat tangan dan senyum kepada pak guard berbangsa india yang menjaga di pondok pengawal. Setelah aku memarkirkan kereta, aku terus melangkahkan kaki ku keluar dari kereta. Di dalam fikiran aku pada ketika itu, aku nak sangat balik rumah untuk mandi dan berehat serta berjumpa dengan Kamil. Namun hasratku hampa, apabila aku sudah memasuki rumah, aku lihat tiada kelibat si Kamil. Aku lihat di telefonku, ada wechat dari Kamil. Aku buka dan aku lihat Kamil telah menghantar beberapa keping gambar dia bersama rakan sepejabatnya di dalam bilik karaoke. Aku lihat pada waktu penghantaran dibuat. Pukul 8:32 malam.
"Tempat karaoke yang dia orang pergi ni jauh dari pejabat, tak mungkinlah dia orang sempat nak balik pejabat lepas tu perdajal aku kot?" bisik aku di dalam hati sendiri.
"Aduhh. Tak mungkinlah ada hantu kat pejabat aku tu. Dah lama aku kerja, kenapa baru sekarang timbul masalah ni?" rungutku di dalam hati. Aku mencampakkan beg bimbitku ke atas katil dan aku terus merebahkan badanku ke atas tilam yang empuk dan selesa tersebut. Tanpa sempat aku nak tukar baju, aku terlelap dengan sendirinya. Aku terjaga apabila aku terdengar bunyi telefonku yang menandakan bahawa baterinya hampir habis. Aku segera bangun dan mencapai telefonku dengan tujuan untuk mengecajnya kembali akan tetapi! ..... Bersambung...... Takdelah, tipu je...
YOU ARE READING
Eeeeee Takut Yeee......
HorrorPelbagai kisah seram...pelbagai tempat yang seram...pelbagai jenis hantu/momok...ada kisah benar...ada kisah rekaan..yang pasti kisahnya sangat menakutkan lagi menyeramkan..sampai terbayang-bayang sehingga ke mimpi...hikhikhik 70% adalah kisah b...