GUNUNG STONG

695 34 2
                                    

Kami sampai ke tapak perkhemahan jam 8:00 malam. Setelah selesai mendirikan khemah, masing-masing membersihkan diri. Ada yang mandi di bilik air yang disediakan, dan ada yang mandi di sungai yang berdekatan. Ketika itu aku sudah merasa seram-sejuk seolah-olah ada sesuatu yang memerhati gerak-geri kami. Aku tidak berani turun ke sungai kerana keadaan cuaca yang gelap. Selepas makan malam, masing-masing membuat aktiviti bebas.

Aku mengambil kesempatan ini untuk berkenalan dengan ahli-ahli ekspedisi yang lain. Kami bercerita sehingga lewat malam. Ketika hendak memasuki khemah untuk berehat, aku terkejut kerana aku ternampak kelibat sesuatu didalam khemah. Rakan sekhemah ku sudah lama hanyut dibuai mimpi. Sepanjang malam, aku tidak nyenyak tidur kerana terdengar bunyi-bunyi haiwan hutan yang kadangkala mengerikan.

Kira-kira jam 6:00 pagi kami telah dikejutkan untuk bersiap-siap mendaki Gunung Stong. Masing-masing agak keletihan, maklumlah semalam kami menaiki bas untuk ke kawasan ini selama lebih lapan jam (dari Johor Bahru). Selepas sarapan, masing-masing bersiap untuk mendaki. Setibanya dikaki Gunung Stong, salah seorang peserta tiba-tiba menarik diri kerana kakinya bengkak. Tidak tahu apakah puncanya. Yang lainnya meneruskan perjalanan.

Kami merentasi berbagai halangan seperti anak sungai, air terjun dan hutan belukar. Masing-masing kelihatan letih tetapi penuh semangat untuk meneruskan perjalanan.Kami sampai di pertengahan gunung lewat petang dan bersiap untuk bermalam di situ selepas turun dari puncak gunung nanti. Waktu itu ada di antara kami yang sudah tidak berdaya melangkah dan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perjalanan ke puncak. Mereka hanya menunggu kami di khemah. Aku bersama peserta yang lain meneruskan perjalanan kami. Cahaya matahari semakin kelam dan suasana semakin sejuk.

Akhirnya kami tiba di puncak hampir waktu Maghrib. Kami sempat bergambar. Waktu itu aku merasa tersangat letih dan lapar. Nasib baik aku ada membawa sedikit bekalan. Kami berkongsi makanan.Dalam perjalanan turun, aku adalah di antara yang akhir. Hari semakin gelap. Apabila sampai disuatu kawasan, kami terdengar suara siamang bersahut-sahutan seolah-olah ingin memberitahu sesuatu. Ada di antara peserta wanita yang kecut perut kerana bunyi itu rasanya betul-betul di atas kepala kami. Dengan hanya berpandukan lampu suluh dan panduan dari peserta yang berpengalaman mendaki gunung, kami menuruni gunung sambil berpegangan tangan.

Ada di antara kami yang sudah terlalu lemah dan jatuh pengsan. Ini menyebabkan perjalanan kami terhenti beberapa kali. Aku merasa aneh kerana kami masih belum sampai ke kawasan perkhemahan kami walaupun sudah lebih dua jam kami berjalan. Aku rasa aku telah melalui satu kawasan yang sama di mana terdapat pokok yang besar-besar entah berapa kali. Akhirnya guru pandu kami mengakui yang dia tidak berjumpa jalan asal yang kami lalui semasa mendaki ke puncak tadi. Kami menjadi risau, tetapi nasib baik semua berjaya mengawal perasaan. Salah seorang dari kami mencadangkan agar kami meneruskan perjalanan, tetapi masing-masing merasa bimbang kalau-kalau kami semakin jauh tersesat di dalam hutan.

Entah macam mana tiba-tiba muncul sekumpulan pemuda. Masing-masing memakai serban dan jubah putih. Mereka memberi salam. Kami menjawab salam mereka dan menceritakan masalah kami. Menurut mereka, kejadian seperti ini memang selalu berlaku. Mereka menasihatkan kami agar teruskan perjalanan menuruni gunung sambil menunjuk ke satu arah. Masing-masing melihat ke arah yang  di tunjukkan. Kumpulan pemuda tadi hilang entah ke mana. Masing-masing terdiam. Kami meneruskan perjalanan ke arah yang di tunjukkan dan tidak lama kemudian kami ternampak cahaya kelam yang datangnya dari kawasan perkhemahan kami. Sampai sahaja di khemah, kami terus dihujani dengan berbagai pertanyaan. Kami tersesat lebih dari satu jam. Nasib baik ada kumpulan yang berjubah tadi membantu kami. Yang menghairankan kami, untuk apa mereka menuju arah ke puncak sedangkan di sana tidak terdapat sebarang perkampungan pun.

Entah kenapa, walaupun letih, aku merasa susah untuk tidur. Di luar hujan turun dengan lebatnya. Aku merasa risau kerana khemah kami didirikan di atas tanah yang tidak berapa rata. Takut nanti kami hanyut dibawa arus atau tanah runtuh.Keesokkan harinya, kami berkhemas untuk turun ke tapak perkhemahan kami sebelum ini. Dalam perjalanan turun, masing-masing sibuk menceritakan pengalaman masing-masing.

Di samping itu kami terpaksa berhati-hati kerana jalan licin. Ada juga di antara kami yang tersungkur entah berapa kali. Yang menggelikan hati, ada yang terjatuh ke dalam lopak air yang agak dalam gagal untuk naik semula walaupun di tolong oleh beberapa orang.Kami sampai di satu tempat rehat yang dinamakan Baha Camp. Di situ masing-masing melepaskan penat lelah dengan mandi dan memasak makanan. Hari pun sudah tengahari. Sedang kami leka mandi, tiba-tiba ketua kumpulan ekspedisi menyuruh kami cepat bersiap untuk bertolak turun. Kami terpinga-pinga. Letihpun belum hilang rasanya.

Dia kata sesuatu yang buruk telah berlaku dan menyuruh kami cepat meninggalkan kawasan itu. Aku segera naik ke darat dan mengambil barang-barang aku. Aku mendapat tahu yang salah seorang peserta wanita telah dirasuk makhluk halus. Dia tidak suka kami berada dikawasannya dan mengugut untuk merasuk lebih ramai lagi sekiranya kami terus berasa di situ. Walaupun takut, masing-masing masih dapat mengawal perasaan. Kami berkumpul dan berjalan bersama-sama menuruni gunung. Yang tinggal hanyalah ketua kumpulan, peserta yang di rasuk serta beberapa orang trecker yang bekerja di Baha Camp. Dalam perjalanan masing-masing masih tertanya-tanya apakah yang sebenarnya berlaku.

Kami sampai ditapak perkhemahan lewat petang. Selepas mendirikan khemah dan mandi kami bersiap untuk memasak. Dalam waktu itu kami melihat peserta yang di rasuk tadi turun bersama-sama yang lain. Dia kelihatan normal. Sebelum masuk ke kawasan khemah, Abang Baha (Ketua Baha Camp) membaca sesuatu lalu dihembus ke peserta tadi. Tiba-tiba dia menjadi lemah dan terus di sambut dan di papah kekawasan khemah. Dia dibaringkan di tengah-tengah padang dan abang Baha terus membaca jampi serapahnya.

Kami tidak dibenarkan mendekati peserta tadi kerana menurut abang Baha makhluk yang merasuknya masih berada di kawasan itu bersama dengan kawan-kawannya. Walaupun kami tidak nampak makhluk dan kawan-kawannya itu, kami patuh pada arahan abang Baha.Selepas makan malam, semua mengerumuni abang Baha untuk mengetahui cerita yang sebenarnya. Menurutnya makhluk halus yang tinggal di kawasan gunung itu marah pada peserta berkenaan kerana memetik sekuntum bunga dari pokok yang hanya menghasilkan bau setiap tujuh tahun. Katanya lagi jika kami masih berada di Baha Camp, mungkin lebih ramai lagi yang akan dirasuk.

Walaupun makhluk itu berjaya diusir dari badan peserta berkenaan semasa di Baha Camp lagi, abang Baha terpaksa membenarkannya merasuk semula peserta itu untuk menolong mambawa peserta itu turun sehingga ke kawasan khemah. Jika tidak mereka menghadapi masalah untuk membawanya turun dengan keadaan badannya yang lemah. Dan banyak lagi yang diceritakan oleh abang Baha mengenai hutan disitu.Malam itu kami berkumpul dalam beberapa kumpulan. Masing-masing menceritakan kisah petang tadi dan ada juga yang menceritakan pengalaman yang serupa.

Aku merasa seolah-olah seperti berada di Cineplex. Bila sudah jemu mendengar cerita satu kumpulan, aku beralih kekumpulan yang lain. Walaupun topik perbualan hampir sama, aku masih tetap mahu mendengarnya. Ada yang tidak tidur sehingga keesokan hari kerana asyik bercerita dan mendengar cerita.Dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru, ketua ekspedisi memberi peluang pada setiap peserta untuk meluahkan isi hati masing-masing berkenaan ekspedisi kami ini termasuklah peserta yang dirasuk semalam. Walaupun dia tidak ingat setiap kejadian, tetapi dia memberitahu kami yang dia beberapa kali terserempak dengan beberapa orang yang bukan peserta ekspedisi semasa menaiki puncak Gunung Stong.

P/S : 'aku' dlm cerita ni bkn sy ok

Eeeeee Takut Yeee......Where stories live. Discover now