Korea Selatan sangat mementingkan pelajarnya mendapat keputusan pelajaran yang cemerlang. Ibu bapa mereka sering memberi tekanan kepada anak mereka. Oleh itu kebanyakan pelajar akan pulang lewat dari sekolah kerana mengulangkaji dan menyiapkan kerja sekolah mereka.
Situasi ini menjadi satu kebimbangan di Korea Selatan kerana ramai pelajar mereka akan tidur dalam kelas akibat kurang tidur. Sehingga ada satu kawasan yang melarang pelajar untuk mengulangkaji selepas jam 10 malam.
Namun pada suatu malam, seorang pelajar perempuan bernama Sun-Hi berjaga di perpustakaan sekolahnya untuk mengulang kaji pelajaran. Dia tidak keseorangan dan bersama dengan rakan-rakan sekelasnya. Pada malam itu hanya lampu di perpustakaan sahaja yang terpasang. Suasana di sekitar sekolah agak gelap.
Selepas seketika, Sun-Hi ingin pergi ke tandas, dia berhenti dari mengulangkaji dan beritahu rakannya dia mahu ke tandas dan akan pulang sebentar lagi. Dia keluar dari perpustakaan dan berjalan melalui koridor yang lampunya agak malap untuk mencari tandas.
Ketika di dalam perpustakaan, sedang rakan sekelas Sun-Hi mengulangkaji, mereka terdengar satu bunyi ketukan dari cermin. Mereka cari arah bunyi itu dan kelihatan ianya dari arah cermin tingkap perpustakaan itu. Mereka terkejut apabila melihat ada kelibat seorang perempuan dengan wajahnya yang pucat. Mukanya betul-betul menyandar di cermin itu dengan matanya tertutup. Jarinya yang panjang dan kurus itu mengetuk cermin tingkap itu. Mereka hairan apa yang perempuan itu buat diluar pada waktu malam ini.
Selepas itu mereka terkejut apabila perempuan itu membuka matanya. Mereka lihat perempuan itu tiada anak mata, hanya kosong sahaja. Perempuan itu mengangkat penumbuknya dan memecahkan cermin tingkap itu.
Tiba-tiba semua lampu tertutup.
Ketika di dalam tandas, Sun-Hi baru sahaja menyelesaikan urusannya dan lampu tiba-tiba tertutup. Keadaan menjadi gelap dan sunyi. Namun selepas itu dia terdengar bunyi jeritan yang menakutkan datang dari arah perpustakaan. Dia mungkin tidak tahu berlakunya kejadian yang huru hara dan penyembelihan di perpustakaan itu. Sun-Hi hanya membasuh tangannya dalam kegelapan sambil suara jeritan itu masih lagi kedengaran.
Selepas selesai membasuh tangan, Sun-Hi terus keluar dari tandas dan berjalan melalui koridor yang dilaluinya sebelum ini. Ketika dia memasuki perpustakaan itu, dia menghentikan langkahnya.
Dia kelihatan terkejut dan takut apabila melihat kesemua rakannya telah dibunuh dengan kejam. Dia melihat ada mayat yang terkapar di atas lantai, manakala yang lain disembelih beberapa bahagian. Sun-Hi mengigil ketakutan dan cuba untuk memahami apa yang telah berlaku.
Hanya selepas itu dia terdengar bunyi tapak kaki bergema di koridor.
Sun-Hi bertindak pantas dan merebahkan badan bersebelahan mayat rakannya dan berpura-pura tidak bernyawa.
Dia memasangkan telinganya dan mendapati bunyi tapak kaki itu makin mendekati perpustakaan itu. Sun-Hi menutup matanya dan cuba untuk tidak bergerak. Dalam keadaan gelap dia terdengar bunyi barang bergerak sendiri. Dalam ketakutan dia cuba tidak melakukan apa-apa bunyi.
“Satu, dua… Satu, dua… Satu, dua…”
Sun-Hi terdengar bunyi bisikan itu. Dengan perasaan ingin tahu, dia perlahan-lahan mengintai untuk melihat apa yang berlaku.
Di tengah perpustakaan itu Sun-Hi melihat satu susuk perempuan berjubah putih yang sangat menakutkan.
Sun-Hi menutup matanya semula dan menahan untuk tidak menjerit. Dia dapat mendengar perempuan itu merayap-rayap di keliling mayat-mayat rakannya di perpustakaan itu.
“Satu, dua… Satu, dua… Satu, dua…”
Sun-Hi menutup matanya dengan rapat dan berharap perempuan itu akan pergi dari sini.
“Satu, dua… Satu, dua… Satu, dua…”
Perempuan itu merayap-rayap di setiap mayat itu dan makin menghampiri Sun-Hi.
“Satu, dua… Satu, dua… Satu, dua…”
Sun-Hi mula merasakan suara bisikan itu makin mendekatinya. Dia cuba tidak melakukan sesuatu yang akan menarik perhatian perempuan itu.
“Satu, dua… Satu, dua… Satu, dua…”
Perempuan itu makin mendekatinya. Sun-Hi cuba untuk menahan nafasnya.Tiba-tiba, bisikan itu berhenti. Sun-Hi masih tidak bergerak dan cuba memasang telinga untuk mendengar sehalus bunyi pun.
Tiada apa bunyi kedengaran. Perpustakaan itu menjadi sangat sunyi. Selepas beberapa ketika, Sun-Hi merasakan perempuan itu sudah pergi.
Sun-Hi perlahan-lahan membuka matanya.
Namun apa yang dia lihat ialah perempuan itu merangkak ke arahnya dan merenung mata Sun-Hi. Satu jari yang sangat panjang dan kurus menghunus ke arah wajah Sun-Hi.
“Satu, Dua!”
Kata perempuan itu sambil mengorek kedua biji mata Sun-Hi yang mengelupur kesakitan.
Keesokkan harinya, pengetua sekolah itu menjumpai semua mayat pelajar di perpustakaan. Kesemua mayat pelajar itu didapati telah kehilangan semua matanya, cuma ada satu mayat yang kehilangan mata sambil wajahnya kelihatan pucat dengan air muka yang menjerit ketakutan.
YOU ARE READING
Eeeeee Takut Yeee......
TerrorPelbagai kisah seram...pelbagai tempat yang seram...pelbagai jenis hantu/momok...ada kisah benar...ada kisah rekaan..yang pasti kisahnya sangat menakutkan lagi menyeramkan..sampai terbayang-bayang sehingga ke mimpi...hikhikhik 70% adalah kisah b...