"Anak Datin baru saja melepasi tahap kritikal, tetapi..." Kata-kata doktor itu tergantung, menyebabkan debaran makin terasa di dada mereka. Walaupun lega mendengar Emir sudah melepasi tahap kritikal, mereka tetap menanti dengan penuh cemas untuk mendengar sambungan kata-kata doktor itu.
Airis yang berdiri di sisi Datin Emma semakin berdebar. Hatinya penuh dengan harapan agar tiada perkara buruk berlaku.
"Kenapa, doktor? Bagaimana dengan anak saya?" tanya Datin Emma, suaranya penuh kerisauan.
Doktor menarik nafas sebelum menyambung. "Anak Datin dalam keadaan koma. Buat masa ini, kami tidak pasti bila dia akan sedar. Dari pemeriksaan kami, Encik Emir mengalami hentakan kuat di kepala dan tangan kanannya patah."
"Ya Allah... anak kita, bang." Datin Emma teresak-esak di bahu suaminya, sementara Airis dan yang lain terpaku mendengar berita itu. Airis jatuh terduduk di kerusi, hatinya hancur.
"Doktor, berapa lama biasanya pesakit macam ni akan sedar?" Dato' Amar bertanya, cuba menenangkan isterinya yang masih menangis.
"Dalam kes seperti ini, biasanya mengambil masa sekitar dua hingga tiga bulan. Ada juga yang memakan masa lebih lama, kadang-kadang bertahun-tahun, tapi ia bergantung pada pesakit. Banyakkan berdoa, saya yakin Encik Emir seorang yang kuat. Dengan izin Tuhan, mungkin dia akan sedar lebih cepat."
"Boleh kami melawat dia sekarang?" tanya Datin Emma, suaranya serak akibat menangis.
"Boleh, Datin. Kami akan memindahkan Encik Emir ke wad VVIP seperti yang diminta. Tetapi buat masa sekarang, hanya dua orang pelawat yang dibenarkan, untuk mengelakkan sebarang komplikasi. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu."
"Terima kasih, doktor." Ucap Dato' Amar, dan doktor itu pun berlalu pergi.
Datin Emma berpaling ke arah anak-anak muda yang setia menunggu. "Kamu semua balik dulu, dah lewat malam ni. Biar aunty dengan uncle yang jaga Emir malam ni. Terima kasih sebab bawa Emir ke hospital."
"Sama-sama, aunty. Kalau ada apa-apa perkembangan, beritahu kami ya. Esok kami datang lagi," kata Amsyar.
"Stay strong, aunty dan uncle. Kami tahu Emir kuat. Dia akan sedar nanti. Nanti saya dan yang lain cuba tolong cari siapa yang langgar lari Emir," Lukman menambah, cuba memberikan semangat walaupun dalam hatinya turut merasa pilu.
Datin Emma hanya mampu memberikan senyuman lemah. Dia kemudian berpaling kepada Airis yang masih duduk, menundukkan kepala. "Airis, balik dulu ye. Bersihkan diri, rehat, esok datang lagi. Mama tahu Airis penat. Jangan salahkan diri, ya. Kami tak salahkan Airis atas apa yang berlaku."
Airis hanya mampu mengangguk perlahan, serba salah masih menyelubungi dirinya. Walaupun mereka tidak menyalahkannya, dia tetap merasa berat di hati. Airis memeluk Datin Emma, air matanya terus mengalir tanpa henti.
"Kamu berdua tolong bawa Airis balik, ya?" kata Datin Emma kepada Mawar dan Dahlia.
"Baik, aunty. Esok kami datang lagi," jawab Mawar sambil menyalami tangan Datin Emma.
"Airis, jom balik. Kau nampak penat sangat," kata Dahlia lembut, memapah Airis untuk berdiri.
"Aunty, uncle, kami balik dulu. Terima kasih," ucap Dahlia dengan senyuman nipis.
Datin Emma dan Dato' Amar menghantar pemergian mereka dengan pandangan sayu sebelum bergegas ke wad Emir.
"Korang okay ke nak drive ni?" tanya Amsyar dengan kerisauan.
"Okay, jangan risau," jawab Dahlia pendek, sambil matanya tidak lepas memandang Airis yang sudah masuk ke dalam kereta.
"Jangan biarkan dia menangis terlalu lama. Nanti dia sendiri jatuh sakit," kata Lukman.
"Baik, kami faham. Dia tengah buntu sekarang tu. Semua benda berlaku terlalu cepat, dan semuanya jadi pada hari jadi dia. Kitorang akan cuba pujuk dia," Mawar menambah.
"Kalau tak ada apa-apa, kami balik dulu. Hati-hati drive," kata Dahlia.
"Korang pun hati-hati," balas Amsyar dan Lukman serentak.
🌷🌷🌷
Mawar mengetuk pintu rumah Airis dengan lembut. Mereka tidak membiarkan Airis pulang berseorangan, takut jika sesuatu yang buruk mungkin berlaku. Sepanjang perjalanan, Airis hanya termenung, tenggelam dalam dunianya sendiri.
"Ha, tu mesti Airis dah balik," ujar Puan Julia dengan nada risau. Dia sangat risau sudah tengah malam tapi anaknya tidak pulang lagi, dan mereka sekeluarga masih menunggu kepulangan Airis di ruang tamu dengan debaran di hati.
"Aakif, pergi buka pintu. Mungkin dia tak bawa kunci," arah Puan Julia kepada anak lelakinya. Aakif akur dengan permintaan ibunya lalu bergerak ke arah pintu.
"Ha dik, baru nak-" Aakif terkedu, kata-katanya terhenti serta-merta apabila melihat keadaan adiknya. Matanya membesar melihat Airis yang lemah, berpaut pada Dahlia. Mata Airis bengkak dan merah, manakala baju dress putihnya jelas ternoda dengan kesan merah pekat.
"Ya Allah, Ris! Apa dah jadi ni?" Aakif hampir menjerit, suaranya dipenuhi kebimbangan. Jeritan Aakif mengejutkan Puan Julia dan Encik Azhar yang saling berpandangan sebelum bergegas menuju ke arah pintu.
Puan Julia menutup mulutnya, terkejut melihat anak perempuannya dalam keadaan begitu. "Adik, apa yang jadi ni?!" Puan Julia segera menarik Airis lembut ke dalam pelukannya. Airis, yang seakan menahan segala emosinya sepanjang perjalanan tadi, kini menangis dalam dakapan ibunya.
"Dahlia, Mawar, apa yang berlaku sebenarnya?" tanya Encik Azhar, matanya beralih kepada kedua-dua gadis yang menemani Airis.
"Airis... dia trauma, uncle. Kejadian yang berlaku tadi buatkan dia terkejut dan ketakutan," jawab Dahlia lembut, matanya turut sayu memandang Airis yang sedang menangis.
"Emir... Emir kemalangan. Dia cuba selamatkan Airis dari dilanggar kereta," sambung Mawar, nadanya perlahan namun penuh kepiluan.
"Emir? Anak Dato' Amar?" Encik Azhar bertanya dengan dahi berkerut. Mawar dan Dahlia mengangguk perlahan.
"Ya Allah... teruk ke?" Puan Julia bertanya dengan nada terkejut.
"Dia baru melepasi tahap kritikal, tapi sekarang Emir dalam keadaan koma..." jawab Dahlia perlahan. Mendengar itu, Puan Julia, Encik Azhar dan Aakif tergamam.
"Se-semua salah Airis. Kalau Airis berhati-hati, takkan jadi macam ni. Airis yang salah..." suara Airis tersekat-sekat dalam tangisan, terus menyalahkan dirinya sambil menunduk dalam pelukan ibunya.
"Adik, jangan macam ni. Tak elok menangis lama-lama. Apa yang terjadi ni, pasti ada hikmah di sebaliknya," pujuk Puan Julia lembut sambil mengusap lembut kepala anaknya.
"Nanti kita pergi lawat Emir ye." kata Encik Azhar
Namun, dalam masa yang sama Puan Julia cuba untuk menenangkan Airis yang tidak berhenti menangis itu, dia mula perasan tangisan Airis semakin tidak kedengaran dan tubuh Airis semakin berat di dalam pelukannya.
"Airis?" Puan Julia cepat-cepat cuba melihat wajah anaknya.
"Ris, bangun sayang!" seru Puan Julia dengan nada cemas bila melihat anaknya sudah tidak sedarkan diri. Mereka yang berada di situ turut cemas.
Aakif yang melihat situasi itu pantas mendukung adiknya. "Biar Aakif bawa Airis masuk bilik, ibu," katanya, segera melangkah menuju bilik Airis tanpa menunggu jawapan.
Mereka hanya mampu memandang dengan hati yang berat.
"Dahlia, Mawar, baliklah dulu dah lewat malam ni. Terima kasih sebab hantar Airis balik. Kalau ada apa-apa nanti, uncle dan aunty akan maklumkan pada kamu berdua," ujar Encik Azhar, nadanya penuh penghargaan.
"Baik, uncle." jawab mereka serentak sambil menyalami tangan Puan Julia sebelum berlalu pergi.
YOU ARE READING
BUNGA MILIKNYA | C
Romancemy 1st story "Aku nak kau buatkan kerja math yang Cikgu Zurina bagi semalam, aku tahu selepas rehat kau dah siapkan. Kalau tak, tahu la apa aku nak buat" " - Emir Ayden "Saya tak rasa saya sempat nak siapkan ni, sekarang dah masuk waktu rehat" - Ai...