Sejak Raisa mula bekerja, dia semakin akrab dengan Airis dan Mawar. Sikapnya yang lembut serta sikap suka membantu membuatkan kehadirannya diterima dengan mudah. Walaupun Airis masih berhati-hati untuk mempercayai sesiapa sepenuhnya selepas kemalangan yang dilaluinya, hubungan antara mereka bertiga semakin rapat.
Pada hujung minggu itu, syarikat mereka mengadakan majlis makan-makan sederhana untuk meraikan pencapaian bulanan. Semua staf dijemput, dan suasana majlis terasa santai dengan hidangan buffet serta muzik latar yang mendamaikan. Airis, Mawar, dan Raisa memilih duduk di sudut yang sedikit tersorok, berbual sambil menikmati hidangan.
"Kau rasa, kalau kita terus cemerlang lagi lepas ni, gaji kita naik tak?" Mawar berseloroh sambil menyuap makanan.
Raisa ketawa mendengar gurauan itu. "Haha, awak ni, sempat lagi nak fikir gaji."
Airis pula tersenyum kecil, menyambut usikan Mawar. "Kalau pasal gaji, laju je kau, Mawar."
Ketawa mereka sedikit terhenti apabila seseorang menghampiri meja. Arif, dengan senyum manis yang tak pernah lekang dari bibirnya, menyapa mereka. "Boleh saya join?"
Airis tersentak seketika, jelas kelihatan raut wajahnya yang sedikit tidak selesa. Namun, untuk menjaga suasana di hadapan Mawar dan Raisa, dia akhirnya mengangguk perlahan. "Boleh."
Dengan senyuman yang lebih lebar, Arif duduk bersama mereka. Mawar, yang peka dengan keadaan itu, menjeling ke arah Airis, cuba membaca reaksinya. 'Kau okey ke ni?' bisik Mawar melalui pandangan matanya.
Sebelum Airis sempat membalas pandangan Mawar, telefon bimbitnya berbunyi. Nama abangnya, Aakif, terpampang di skrin, sedikit mengejutkannya. Jarang abangnya menelefon tanpa sebab yang mendesak.
"Hello, abang? Kenapa tiba-tiba call ni?" Suaranya sedikit cemas.
Di hujung talian, suara Aakif kedengaran sedikit misteri. "Ris, abang ada sesuatu nak beritahu."
"Hm? Apa dia? Janganlah suspensekan orang, abang," balas Airis, makin tak sedap hati.
"Ada orang masuk meminang kau."
Airis terdiam, terkedu. "meminang?! Siapa?!" suaranya boleh tahan kuat juga.
Aakif ketawa kecil di hujung sana. "Kalau nak tahu, baliklah dulu. Nanti abang cerita."
"Eee abang ni! Beritahulah sekarang!" Airis merengus, tak puas hati. Tapi panggilan itu sudah dimatikan.
Mawar, Raisa, dan Arif terdiam mendengar reaksi Airis yang terjerit kecil tadi. Kening mereka terangkat, masing-masing jelas ingin tahu apa yang berlaku. Suasana menjadi tegang seketika, terutama bagi Arif yang sempat menangkap perkataan "meminang."
Hati Arif tiba-tiba terasa bergetar, tidak tenang. 'Meminang? Siapa yang nak masuk meminang Airis?' Dia mula merasakan cemburu yang lama terpendam. Bagaimana mungkin Airis akan berkahwin dengan orang lain sedangkan selama ini dia masih menyimpan harapan?
Mawar, yang tidak menyedari reaksi Arif itu, terus bertanya dengan penuh ingin tahu. "Weh, Airis. Siapa yang masuk meminang kau?"
Airis menggeleng, masih terkejut dengan apa yang didengarnya. "Aku pun tak tahu lagi. Abang aku suruh balik dulu, katanya nanti baru tahu."
Mawar tersenyum nakal. "Mesti Emir, kan? Siapa lagi yang gila berani nak buat benda macam ni."
Airis menghela nafas panjang, sedikit ragu. 'Betul lah kata Mawar, memang dialah yang suka buat kejutan tanpa fikir panjang.' bisik hatinya
Arif yang mendengar nama Emir disebut tiba-tiba bersuara, cuba menyembunyikan kegusarannya. "Emir? Siapa Emir?"
"Emir Dato' Amar. Kau kenal ke?" Mawar bertanya dengan riak selamba.
Arif terdiam sejenak. Nama itu, Emir, kembali menghidupkan kenangan lama. Sejak di sekolah, Emir sering menjadi penghalang untuk dia mendekati Airis. 'Tak mungkin aku biarkan Emir rampas dia lagi,' bisik hatinya. Namun, Arif segera menggeleng dengan senyuman palsu. "Oh, tak... aku tak kenal. Saja tanya."
Airis yang mendengar jawapan Arif mula merasa curiga. 'Kenapa Arif tipu? Bukankah mereka sama-sama satu sekolah dulu?'
Raisa, yang sejak tadi diam mendengar perbualan itu, tersenyum nipis sambil menyampuk. "Untunglah Airis. Dah sampai masa tu, terima je lah."
Airis tersenyum kelat. "Tak tahu lagi siapa. Kita tengok nanti."
Mawar, masih dengan sikap berselorohnya, berkata, "Ala, jodoh dah sampai tu. Nanti jangan lupa roger aku, okey?"
Airis hanya menggeleng sambil tersenyum kecil, namun di dalam hatinya, dia mula tertanya-tanya, apa yang akan menantinya bila pulang nanti.
🌷🌷🌷
Sesampainya Airis di rumah, tanpa sempat memberi salam, dia terus menjerit memanggil ibunya.
"IBUUUU!" Airis masuk ke dalam dengan langkah tergesa-gesa.
Puan Julia yang sedang di dapur segera bergegas ke ruang tamu. "Kenapa menjerit macam ni, Ris? Salam pun tak ada, tiba-tiba terjah ibu. Ada apa yang tak kena ni?" Puan Julia menepuk lembut lengan anaknya, tersenyum kecil.
Airis tersengih, sedikit malu. "Ehe, maaf ibu."
"Ris nak tanya ni, be-betul ke apa yang abang cakap tadi?" Airis bertanya, suaranya bergetar sedikit, masih berharap apa yang didengarnya cuma gurauan abangnya saja.
Puan Julia mengerutkan dahi, menatap wajah anaknya. "Abang cakap apa dengan Ris?"
Airis menelan liur. "Abang cakap ada orang masuk meminang Ris. Betul ke, ibu? Siapa orang tu?"
Mendengar soalan itu, Puan Julia tersenyum lebar. Nampaknya, anaknya sudah tahu tentang lamaran itu. Ibu itu mengangguk lembut.
"Betul. Apa yang abang cakap tu memang betul. Tadi keluarga Emir datang nak masuk meminang Airis untuk Emir."
Airis terkaku sejenak, terkejut dengan pengakuan itu. Aakif yang kebetulan turun dari tingkat atas menyambut reaksi adiknya dengan gelak kecil.
"Hah, tak percaya lagi? Dah dengar sendiri dari ibu, tahu juga kau terkejut." Aakif mengusik dengan nada ceria.
Airis menjeling tajam ke arah abangnya. "Diamlah, abang!"
Airis kemudian beralih pandang ke ibunya, rasa takut dan ragu mula bersarang di hatinya. "Ibu... ibu terima ke pinangan tu?"
Puan Julia menggeleng perlahan, sambil memegang tangan anaknya. "Ibu tak buat keputusan lagi. Ibu cuma ambil cincin dari Datin Emma, dan ibu kata pada mereka yang keputusan tu bergantung pada Airis. Mereka tak kisah apa pun keputusan Airis, kalau terima, mereka bersyukur. Kalau tolak, mereka redha. Jadi, kalau Ris setuju, pakai saja cincin ni." Puan Julia menghulurkan kotak cincin kepada Airis, meletakkannya dengan lembut di tangan anak perempuannya.
Aakif, yang tidak melepaskan peluang untuk menyakat, mencelah lagi, "Terima je lah, Ris. Emir tu baik. Takkan sebab perangai dia masa sekolah dulu, Ris masih nak simpan marah? Abang yakin, Ris saja buat-buat marah, dalam hati tu, tak ada apa pun. Kau bukannya pandai marah lama-lama, dik."
Airis terdiam, merenung kata-kata abangnya. Ada betulnya apa yang Aakif cakap, tapi hati kecilnya masih ragu. Dia takut Emir hanya mahu menebus kesilapannya yang lalu, bukan kerana benar-benar ikhlas.
Encik Azhar, yang baru muncul dari ruang belakang, menyertai perbualan dengan senyuman lembut. "Kalau Ris tak pasti, buatlah solat istikharah. Minta petunjuk dari Allah. Kalau Emir yang ditakdirkan dalam doa Airis, terimalah dia. Ibu dan ayah restu hubungan kamu berdua."
Airis tersenyum kecil, memandang wajah kedua-dua orang tuanya. "Ris fikir dulu, boleh? Apa-apa keputusan, nanti Airis bagitahu."
Puan Julia membelai lembut kepala anaknya. "Boleh, sayang. Fikir baik-baik ya."
YOU ARE READING
BUNGA MILIKNYA | C
Romancemy 1st story "Aku nak kau buatkan kerja math yang Cikgu Zurina bagi semalam, aku tahu selepas rehat kau dah siapkan. Kalau tak, tahu la apa aku nak buat" " - Emir Ayden "Saya tak rasa saya sempat nak siapkan ni, sekarang dah masuk waktu rehat" - Ai...