Pada malam itu, Khairani tidak dapat tidur lena. Entah kenapa, dia sering diganggu. Tak tenteram dia mahu tidur. Sehinggalah jam menunjukkan pada waktu tengah malam. Barulah Khairani dapat melelapkan matanya.
Sewaktu dia tidur, dia bermimpi. Dia didatangi oleh seekor makhluk. Yang tidak dapat diungkap fizikalnya, yang sememangnya tidak pernah dia lihat di dalam dunia nyatanya. Mempunyai suara yang garau dan besar, dia mengeluarkan kata-kata.
"Aku mahukan anak kau.."
"Tidak. Aku takkan bagi.." Khairani tegas menjawab.
Makhluk itu hilang dari pandangan matanya. Tiba-tiba, dia terjaga dari tidurnya. Badannya berpeluh-peluh. Khairani terus mengucap panjang. Dilakukannya amalan jika terdapat mimpi buruk iaitu meludah ke kiri sebanyak tiga kali, membaca ta'awudz untuk memohon perlindungan kepada Allah SWT serta dia mengubah posisi tidurnya. Sekali lagi, dia tidak dapat melelapkan mata. Mimpinya tadi seolah-olah nyata. Sungguh dia berasa tidak sedap hati. Ayeesha tiba-tiba terjaga sambil menangis. Khairani menenangkan Ayeesha.
"Papa.." Khairani memeluk anaknya. Anaknya juga seperti mendapat mimpi buruk. Berpeluh-peluh badannya dalam suasana hawa dingin bersuhu rendah itu.
"Papa.. Ayeesha takut.."
"Tak ada apa-apa, sayang. Insya-Allah, Allah lindung kita.."
"Ayeesha mimpi, ada 'orang' kacau mama. Lepas tu, mama benci Ayeesha.."
"Ayeesha, mimpi buruk jangan cerita dekat orang. Tak ada apa-apalah, sayang. Insya-Allah, Allah lindung kita.." Ayeesha masih menangis dalam dakapan bapanya. Khairani mengusap lembut belakang Ayeesha. Jelas sekali anaknya ini ketakutan. Apa yang bakal berlaku ini sebenarnya?
Khairani mendirikan solat sunat malam pada sepertiga malam. Ayeesha turut mengikut sama. Tak apa jika didik dia seawal usia. Biar amalan sunat ini sebati dalam jiwa bersihnya. Khairani memohon pada yang Maha Esa untuk melindungi mereka sekeluarga. Sungguh, dia buntu. Hampir mati akal dibuatnya untuk memikirkan hal sedemikian. Sakit jiwa zahir dan batinnya kerana dia berusaha seorang diri. Dia, sebolehnya tidak mahu babitkan Farhana dan Ayeesha. Sebolehnya memang tidak mahu. Tapi, mereka berdua yang sering 'kena'. Dia juga terkesan apabila insan tercinta yang menjadi 'mangsa'.
Khairani memusing memandang makmumnya, Ayeesha. Dia memeluk anaknya. Ayeesha diam di dalam dakapannya.
Pada keesokan harinya, Farhana tinggal seorang diri di rumah tatkala Khairani keluar bekerja manakala Ayeesha ke sekolah. Jam telah menunjukkan pukul 1:30 petang. Ayeesha sepatutnya sudah balik. Dia pun hanya menunggu di dalam bilik sambil membelek telefon pintarnya. Senyap sunyi rumah.
"Mana Ayeesha ni? Selalunya, pukul 1 dah balik dah. Ni dah 1:30 ni.."
Farhana mahu menelefon Khairani tetapi dia terdengar bunyi berlari di luar bilik.
"Ayeesha?" Farhana memanggil nama anaknya tetapi tiada sahutan. Farhana cuba meninjau ke luar tingkap dari bilik tidur itu. Tiada pula kereta Khairani. Farhana hanya membiarkan sahaja. Mungkin bayangan dia sahaja kerana dia risaukan Ayeesha, dia cuba berfikiran positif.
Sewaktu sedang dia menunggu kepulangan Ayeesha, dia terdengar bunyi ketawa. Sekali lagi dia meninjau, kereta Khairani tiada. Dia cuba menghubungi suaminya tetapi tidak berjawab. Kenapa mereka begitu lambat?
Farhana keluar dari bilik untuk menunggu di ruang tamu. Melangkah sahaja dia keluar dari bilik, dari ekor matanya terlihat Ayeesha yang berdiri tegak di hadapan tangga, sambil badannya menghala tepat ke pintu bilik yang berkunci.
"Ayeesha.." Farhana memanggil. Tiada sahutan yang diberi.
"Bila Ayeesha balik? Mama tak dengar pun Ayeesha buka pintu.."

ANDA SEDANG MEMBACA
The Secret
ParanormalGerhana mentari bakal tiba, Tersingkap segala rahsia dusta, Sebagai hukuman kekhilafan lama, Insan biasa menjadi mangsa. Arjuna perkasa menjadi tawanan, Disulami debaran beribu halangan, Rela diseksa menanggung beban, Kasih dihamparkan seluas lautan...