Khairani bungkam. Dia betul-betul sudah letih dengan segala dugaan ini. Tetapi melihatkan isteri kesayangannya, Farhana, anak kesayangannya, Ayeesha, serta sahabat-sahabat yang baik, ustaz Kamil, Tuan Ghazi dan Mason, telah menjentik hati Khairani bahawa ini bukanlah masa yang sesuai untuk menyerah kalah. Ustaz Kamil memandang wajah Khairani dengan sayu, memahami gelojak jiwa anak muda itu.
Ayeesha terus mendiamkan diri. Sekali lagi, dia mula menyalahkan dirinya atas segala yang berlaku. Kenapalah asyik dia yang membawa malang? Tidak bolehkah mereka sekeluarga bahagia dengan tenang? Esakan kecil mula kedengaran. Tuan Ghazi yang berada di sebelah Ayeesha terdengar esakan anak kecil itu. Tersentuh hatinya melihat Ayeesha. Tangisnya ditahan-tahan, pasti dia tidak mahu kedua-dua orang tuanya dilanda kerisauan.
"Ayeeshaa", Tuan Ghazi berbisik perlahan memanggil nama anak kecil itu.
Membundar mata Ayeesha memandang Tuan Ghazi.
"Pakcik panggil Ayeesha ke?", dia bertanya dengan polos.
Tuan Ghazi tersenyum kecil lalu dia mengangguk. Tangannya naik mengusap kepala Ayeesha. Dia tidak ada anak, malah dia belum berkahwin, jadi Ayeesha sudah dianggapnya sebagai anak, kerana dia sudah kenal dengan anak Khairani itu sejak kecil.
Ayeesha terkebil-kebil memandang Tuan Ghazi yang mengusap kepalanya namun dia biarkan sahaja.
"Ayeesha, kamu menangis ya?"
Ayeesha tertunduk malu. Dia tak nak sesiapa perasan dia menangis. Dia tidak mahu dilabel anak kecil yang cengeng. Perlahan-lahan dia menganguk.
Tuan Ghazi tersenyum lagi. Kasihan anak kecil itu.
"Ayeesha jangan putus asa, Allah akan tolong kita. Janji Allah itu benar."
Ayeesha terdiam.
"Tapi, macam mana Ayeesha nak rasa selamat kalau mama dan papa dalam bahaya sebab Ayeesha?"
Dia kembali mencebik. Tangisnya ditahan lagi. Tuan Ghazi masih tersenyum.
"Ayeesha, banyakkan sebut Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar. Allah Maha Besar, Ayeesha. Maha Kuasa dari apa jua."
Ayeesha memandang wajah Tuan Ghazi. Benarkah? Adakah maknanya mama dan papa akan selamat? Mereka sekeluarga akan selamat? Betul ke Allah akan selamatkan mereka? Tapi lelaki jahat bernama Max itu mahukan dia. Disebabkan dia, semua orang dalam bahaya.
"Betul ke, pakcik? Kena banyakkan sebut nama Allah, ya ?"
Tuan Ghazi mengangguk semangat.
"Ya, Ayeesha. Bila kamu rasa Allah ada dengan kamu, kamu tak perlukan sesiapapun kecuali Allah. Hanya Allah yang bagi kamu power nak lawan syaitan Max itu, dan Max sendiri."
Harus diakui, Ayeesha gadis kecil yang cilik. Pertuturannya seperti orang dewasa, mungkin kerana ujian yang menimpanya menjadikan dia mudah terbiasa dengan kehidupan pada usia yang muda. Umur bukanlah ukuran bagi kematangan, tetapi pengalaman.
Dengan penuh harapan, Ayeesha mula berniat untuk menyebut nama Allah banyak-banyak. Bibir kecilnya bergerak-gerak dengan comel.
"Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar"
Suara kecil Ayeesha itu menggegarkan hati Ustaz Kamil. Lafaz takbir itu mengingatkannya pada mimpinya. Berdebar-debar jantungnya mendengar kalimah- kalimah itu. Terdetiklah hatinya untuk melaungkan takbir dengan kuat. Lebih tepat, takbir dan azan.
"Khairani, Ghazi, Mason, Ayeesha, Farhana juga, ke mari. Buat bulatan bersama-sama", arah ustaz Kamil.
Mason yang sedang termenung memikirkan nasib tersentak. Bahunya terhinjut. Terkejut gamaknya.
YOU ARE READING
The Secret
FantastiqueGerhana mentari bakal tiba, Tersingkap segala rahsia dusta, Sebagai hukuman kekhilafan lama, Insan biasa menjadi mangsa. Arjuna perkasa menjadi tawanan, Disulami debaran beribu halangan, Rela diseksa menanggung beban, Kasih dihamparkan seluas lautan...