52

481 41 2
                                    

Hari demi hari semakin terasa sunyi tanpa Ayeesha. Kadangkala, terngiang juga suaranya di gegendang telinga. Rindu. Teramat rindu. Hanya gambar menjadi tatapan untuk melepaskan rindu. Air mata Farhana menitik di atas gambar Ayeesha. Diusap lembut gambar yang berada dalam bingkai itu. Gambar pertama Ayeesha yang diambil oleh suaminya selepas beberapa jam kelahiran Ayeesha. Kulitnya putih mulus, pipi kemerah-merahan. Matanya bulat persis Farhana namun keseluruhan wajahnya persis Khairani. Sebab itu sewaktu Ayeesha kecil, ramai yang keliru sama ada Ayeesha merupakan seorang bayi lelaki ataupun bayi perempuan. Puaslah dipakaikan gaun warna merah jambu, tetap orang akan bertanya jantinanya.

"Ayeesha, baliklah sayang. Mama rindu Ayeesha.." Farhana berkata seorang diri dengan gambar itu. Khairani pulang lewat hari ini. Tiba-tiba ada mesyuarat. Farhana menatap semua gambar Ayeesha yang ada di atas meja. Dijeling juga sangkar milik Finn. Anaknya dan kucing itu hilang pada hari yang sama. Manalah pergi budak berdua ni. Tiba-tiba dari ekor mata Farhana, dia sempat menangkap satu bayang-bayang. Farhana menoleh ke arah figura yang dia lihat. Tiada apa-apa.

"Abang?" Farhana menegur.

"Abang dah balik ke?" Farhana cuba mencari kepastian.

Farhana meletakkan bingkai gambar yang dipegangnya tadi lalu keluar dari bilik. Niatnya untuk mencari siapa yang dia nampak tadi.

"Abang?" Farhana cuba memanggil suaminya apabila dia mendengar bunyi tapak kaki.

"Abang? Keluarlah. Jangan main-main" Farhana memanggil Khairani lagi. Bunyi tapak kaki masih lagi didengari. Kuatnya bunyi itu. Tak mungkin bunyi tapak kaki manusia. Tak mungkin Khairani punya bunyi tapak kaki. Takkan dia berkawad pula dalam rumah.

"Abang, tak kelakar, okay? Keluar sekarang.." Farhana mula terasa aura negatif. Aura pelik. Aura seram. Segala aura ada. Farhana berjalan ke arah tangga. Bunyi tapak kaki memang kuat dari arah tangga. Dia bersandar ke dinding yang berhampiran tangga. Tidak berani menoleh ke arah tangga. Takut ternampak sesuatu yang tidak diingini. Dia teringat pula kejadian yang menimpanya dulu. Kejadian yang hampir meragut nyawanya.

"Farhana.." ada suara halus memanggil namanya. Kuat, kedengaran memang dari arah tangga. Farhana mula diselubungi dengan perasaan takut.

"Farhana.." suara itu semakin lama semakin garau. Farhana mula berpeluh-peluh. Kedengaran bunyi pemegang tangga berbunyi. Bunyinya bagai ada orang mengetuk besi pemegang tangga itu.

"Ya Allah, apa yang berlaku ni?" Hati Farhana hanya mampu berzikir.

"Abang, tolong Hana, abang" mulut Farhana perlahan mengungkapkan pertolongan.

"FARHANA!" Suara itu menjadi garau dan sangat kuat. Farhana terus berlari ke arah pintu bilik. Pintu bilik dihempas kuat. Farhana cuba membuka pintu itu dalam keadaan panik. Pada hujung tangga tingkat atas, dia nampak ada sebuah lembaga bertanduk sedang memandangnya. Matanya merah, wajahnya ibarat kambing. Pada dahi lembaga itu terdapat sebuah logo bintang 5 penjuru. Pintu bilik berkunci itu terbuka. Ada sepasang lagi mata merah di dalamnya. Farhana menangis ketakutan. Mulutnya hanya mampu mengungkap ayatul kursi, yang menjadi pelindungnya. Namun lembaga itu tidak goyang malah mereka ketawa.

"Kau baca ayat Kursi pun dengan tajwid yang salah. Malah kau langsung tidak mendalami makna ayat tersebut" Farhana tersentak dalam masa yang sama, takut. Lembaga itu datang menghampirinya.

"Abang! Abang!" Farhana menjerit sambil menangis memanggil suaminya. Dalam masa yang sama, dia cuba membuka pintu bilik. Pintu bilik itu langsung tidak bergerak.

Lembaga itu kini berada di hadapannya. Tinggi, kukunya panjang dan wajahnya gelap. Lembaga itu mencekik leher Farhana. Farhana terasa dirinya kini terapung diudara sambil lehernya dicekik oleh lembaga itu. Farhana mula terasa kehilangan nafas. Dia meronta-ronta untuk dilepaskan.

The SecretTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang