42

436 40 4
                                    

Jam di dinding menunjukkan pukul 2:30 pagi. Khairani terasa panas untuk tidur. Badannya berpeluh-peluh. Tidak selesa dibuatnya untuk terus tidur. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia terus menunaikan solat sunat pada sepertiga malam itu tetapi badannya terasa letih. Khairani cuba melelapkan matanya. Dia mahu berehat untuk beberapa minit lagi. Apabila letihnya hilang sedikit, barulah dia bangkit untuk menunaikan solat sunat. Khairani berjaya melelapkan matanya dan tidur buat beberapa tempoh.

Khairani terasa seperti selimutnya ditarik secara perlahan-lahan. Dia hanya membiarkan sahaja. Kadang-kadang, Ayeesha yang suka tarik selimut dia. Ayeesha tidur bersama mereka malam ini memandangkan dia langsung tidak sedarkan diri selepas kejadian yang menimpa mereka pada petang tadi. Dia menganggap kejadian tersebut dilakukan oleh Ayeesha yang tidur disebelahnya. Tiba-tiba, dadanya terasa sesak. Nafasnya menjadi laju. Dia secara tiba-tibanya terjaga. Badannya berpeluh-peluh. Seluruh badannya menjadi kaku. Dadanya terasa sempit ibarat ada sesuatu yang menghimpit dadanya. Khairani meronta-ronta cuba memanggil Farhana namun suaranya ibarat dikunci. Tiada suara. Dalam kesunyian malam, gegendang telinganya kanannya berjaya menangkap satu suara.

"Kau takkan bertahan, Khairani.. anak kau harus menjadi milikku.."

Khairani masih meronta-ronta untuk bergerak, menyebabkan kudratnya semakin lama, semakin hilang.

"Menyerah, Khairani. Menyerah.." suara itu semakin garau. Dihiasi dengan gelak tawanya yang menyeramkan.

Khairani masih cuba untuk bergerak. Iris matanya dapat menangkap satu imej kelibat berwarna hitam yang berada di sebalik langsir, silhouette nya menampakkan tubuh imej itu yang tinggi, besar dan bertanduk. Tangannya mempunyai kuku yang amat panjang dan tajam. Bayang itu pun hilang dalam beberapa saat selepas Khairani melihatnya dan secara automatik keadaan pulih seperti biasa. Khairani dapat bergerak semula namun degupan jantungnya masih laju. Badannya berpeluh-peluh seperti baru lepas bersukan. Khairani lantas duduk dan memanjatkan syukur kepada Allah kerana dirinya tidak di apa-apakan.

"Astaghfirullahaladzim.. astaghfirullahaladzim.." Khairani mengucap panjang. Farhana tiba-tiba tersentak apabila Khairani tiba-tiba sahaja terjaga.

"Abang.. abang kenapa?" Farhana bertanyakan kepada Khairani.

Khairani hanya menggelengkan kepalanya.

"Berpeluh-peluh ni? Abang mimpi apa?"

"Tiada apa-apa.." Khairani terus bangun ke bilik air untuk membersihkan diri.

*    *    *

Khairani memberitahu Tuan Ghazi tentang kejadian aneh yang menimpa dirinya semalam.

"Jika mengikut fakta sains, tentu sekali mereka akan menyatakan bahawa kamu terkena sleep paralysis . Namun kita sebagai umat Islam, kita percaya akan kewujudan alam lain, makhluk lain yang Allah ciptakan. Kejadian yang kamu alami semalam bukanlah satu kejadian yang luar biasa. Memang ada orang mengalaminya. Jin dan syaitan ni, kalau nak sesatkan kita, memang banyak cara. Apa yang 'dia' sampaikan kepada kamu, kamu perlu ambilnya sebagai satu sumber kekuatan. 'Dia' hanya mahu memanipulasi minda kamu. Jangan mudah terpedaya.."

Khairani hanya mengangguk setelah mendengar kata-kata Tuan Ghazi.

"Ayeesha bagaimana?" tanya Tuan Ghazi.

"Alhamdulillah, dia dah sedar. Cuma demam sedikit.."

"Badannya masih lemah. Khai, saya sarankan kamu keluarlah dari rumah itu secepat mungkin. 'Benda' itu bukan sebarang benda. 'Benda' itu sangat kuat. Tak tahu siapa tuannya, dan apa yang tuannya berikan ia makan, apa mantera yang digunakan untuk memuja.."

The SecretWhere stories live. Discover now