44

422 43 0
                                    

Khairani tidak dapat tidur lena. Banyak sahaja gangguan yang mengganggu tetapi tidaklah begitu hebat gangguannya kerana Ayeesha tiada disini. Sewaktu dia tidak boleh tidur, dia mempersiap barang Farhana dan Ayeesha sepanjang tempoh di hospital. Khairani cuba berbaring juga untuk melelapkan mata. Setelah beberapa kali mencuba, akhirnya dia dapat melelapkan mata.

Malam itu merupakan malam yang sunyi. Tiada langsung bunyi serangga mahupun kereta lalu lalang sebagai pemecah sunyi. Walau bagaimanapun, Khairani tetap tidak dapat tidur lena. Seperti ada sesuatu di lubuk hatinya yang membuatkan dia gusar tanpa henti. Memikirkan tentang banyak perkara. Dia sendiri tidak tahu apa dan mengapa.

Khairani lantas mengambil wuduk setelah terjaga daripada tidur yang seketika. Didirikan solat tahajjud dan solat hajat untuk memohon petunjuk daripada Ilahi.

"Ya Allah, Engkaulah sebaik-baik pelindung. Engkau lindungilah keluarga kecilku. Engkau halanglah segala kuasa jahat yang cuba mengganggu keluargaku terutama sekali anakku, Ayeesha. Engkau peliharalah dia. Kuatkan rohaninya. Lindungilah dia. Sesungguhnya aku tidak kuat untuk melindunginya. Aku tidak akan selalu berada dengan dia. Engkau pelihara juga isteriku. Jadikan dia seorang wanita solehah, yang tabah dan taat akan perintah-Mu serta suaminya.

Ya Allah, ya Tuhanku. Bantulah aku. Berikan aku petunjuk. Permudahkan urusanku. Sesungguhnya Engkaulah tempat aku mengadu. Engkaulah tempat aku memohon pertolongan.." Khairani terus berdoa kepada Ilahi agar dipermudahkan urusannya. Seusai Khairani mengaminkan doanya, Khairani berasa mengantuk. Dia pun mengambil keputusan untuk hanya tidur di atas sejadah sahaja. Khairani pun tertidur di atas sejadah.

*   *   *

Khairani bermimpi. Di dalam mimpinya, dia berada di luar rumahnya. Pada ketika itu, rumah mereka kelihatan sungguh lain. Seperti ada orang lain yang mendiami tempat itu. Khairani terlihat ada seorang lelaki berdarah orang putih keluar daripada rumah itu. Dia berjalan laju menuju ke belakang rumah. Khairani pun berjalan ke sana dengan perlahan kerana dia bimbang, lelaki itu akan menyedari kehadirannya.Dia menanam sesuatu yang tidak dapat Khairani lihat. Dia membaca sesuatu setelah dia menanamnya. Sesuatu yang tidak dapat Khairani dengar dengan jelas. Bahasa yang tidak mudah untuk difahami. Kemudian, dia pun memejamkan matanya, cuba untuk memahami situasi.

Khairani pun membuka matanya semula. Dia berada di dalam bilik tidurnya. Di dalam bilik itu, hanya dia dan Ayeesha sahaja yang ada. Dia melihat satu kejadian yang berlaku. Kesemua kejadian tersebut sempat di rakam di dalam memorinya. Yang paling tidak disangka-sangka, dia melihat dirinya. Dia melihat sendiri betapa rapuhnya keimanan jiwanya waktu itu. Dia melihat sendiri bahawa ada sesuatu lembaga yang berbisik kepadanya, namun dia mendengar jelas bahawa lembaga itu menyuruhnya membunuh diri. Diri dan mulut Khairani yang melihat itu bagai dikunci. Dia melihat bagaimana kesukaran Ayeesha cuba untuk menghalang. Luka, tetapi sanggup bangkit. Namun hakikatnya, dia sendiri yang mengambil keputusan untuk mengikut hasutan. Dia sendiri yang menikam dirinya. Air mata Khairani gugur melihat kerapuhan iman yang dia alami saat itu.

Khairani tersedar dari mimpinya. Air matanya laju membasahi pipi tanpa sebab.

"Astaghfirullahaladzim.. astaghfirullahaladzim" Khairani mengesat air matanya. Dilihat sekarang sudah jam 5:30 pagi. Khairani termenung seketika apabila teringat akan mimpinya. Allah seperti mahu menunjukkan sesuatu. Jika imannya rapuh, begitu mudah dia akan termakan dengan hasutan. Khairani berzikir panjang.

Sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja, Khairani pun menghantar sebuah beg yang berisi baju Farhana dan Ayeesha. Pada kala itu, Ayeesha masih lagi dibuai mimpi.

The SecretWhere stories live. Discover now