S1 - 32 장

47 8 17
                                    

---

Taeri benar-benar tidak faham akan tujuan suaminya yang terlalu berkeras untuk mengambil seorang lagi anak angkat di dalam keluarga mereka.

Sedangkan sudah terang lagi bersuluh bahawa lelaki itu tidak bersedia sama sekali untuk menggalas tanggungjawab sebagai bapa kepada dua orang kanak-kanak lelaki tersebut. Adakah pengalamannya sebagai seseorang yang tidak pernah membesarkan zuriat sendiri harus dipersalahkan dalam hal ini?

Jinhwan langsung tidak pernah terfikirkah bahawa mereka berdua kini sedang berdepan dengan anak kecil yang baru sahaja kehilangan ibunya? Situasi mereka kali ini langsung tidak sama seperti mana Minhyuk yang dibesarkan di rumah anak yatim sejak lahir.

Sama ada ibu Jaei itu masih hidup atau tidak , mereka harus mementingkan suasana yang baik untuk Jaei membesar terlebih dahulu. Yang paling penting , anak itu seharusnya tahu bahawa dia kini berada di pangkuan sebuah keluarga yang boleh menjadi tempatnya bergantung.

Persoalannya , betulkah seorang Kim Jinhwan baru sahaja naik hantu kerana sekeping foto yang mempamerkan keakraban Jaei dan ibunya? Ke mana pula sisi matang Jinhwan yang sering dipamerkan selama ini?

Taeri faham jika Jinhwan bimbang kanak-kanak itu akan menjadi keliru dengan identitinya sendiri. Tetapi siapalah mereka untuk menghalang ataupun menghentikan kasih sayang Jaei pada wanita di dalam gambar tersebut?

Walaupun Jaei masih belum sudi untuk menerima Taeri sebagai ibunya , dia masih lagi boleh bersabar untuk mendapatkan perhatian dari si kecil itu. Bagi Taeri , Jaei ialah anak yang istimewa kerana tingkahnya yang kadang kala terlihat comel pada pandangan orang dewasa. Siapa tahu anak kecil itu akan bergantung sepenuhnya pada Taeri selepas ini? Itulah yang dia mahukan sebenarnya.

"Maaf pasal malam tadi."

Pagi itu , Taeri dikejutkan dengan ucapan maaf daripada Jinhwan. Bukan itu sahaja , pelukan hangat ketika Taeri sedang mengadun bahan-bahan untuk membuat kek cawannya membuatkan wanita itu tersipu malu. Jinhwan mengetatkan lagi pelukannya di pinggang ramping Taeri. Dari arah belakang , Jinhwan pun mencium leher wanita itu ㅡ membuatkan Taeri terkekeh geli.

"Saya terfikir nak daftarkan Jaei dalam tadika yang sama dengan Minhyuk."

Jinhwan menyuarakan pandangannya seraya meleraikan pelukan tersebut. Taeri turut melepaskan alatan di tangannya untuk berpaling menghadap lelaki itu. Sebagai tanda setuju daripadanya , Taeri mengangguk sambil tersenyum lebar. Ubun-ubun kepala Taeri kemudiannya diusap lembut lalu dikucup.

"Saya pergi dulu. Jaga diri."

Taeri melambaikan tangannya dari dapur , menghantar Jinhwan ke pintu utama sehingga lelaki itu hilang dari pandangan. Lakonannya terhenti setakat di situ. Wajah Taeri kembali muram dengan keluhan yang entah keberapa kali terlepas dari bibirnya hari ini.

Wanita itu masih tidak dapat menerima alasan Jinhwan tempoh hari. Dia mula merasakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya ini. Mungkinkah dia tidak kelihatan cantik dan mempersonakan di mata Jinhwan? Ataupun Jinhwan dalam diam tidak menyenangi Taeri?

Sejak malam itu , Taeri menjadi tidak yakin pada dirinya sendiri. Tidak yakin dengan kecantikan semula jadi yang dia miliki ataupun apa-apa pada dirinya. Segala-galanya masih sama. Tidak ada yang sudi mendengar luahan hatinya. Tiada yang sudi menaikkan semangatnya. Taeri terus bimbang jikalau Jinhwan akan meninggalkannya demi mengejar wanita lain yang lebih sempurna.

Taeri menggeleng beberapa kali , cuba untuk menghilangkan imaginasi buruk itu dari fikirannya. Pagi ini tidak sepatutnya menjadi permulaan yang menyedihkan. Anak-anaknya akan berada di rumah sepanjang hari ini dan tidak sewajarnya kesedihan dan kekecewaan Taeri itu dipamerkan pada mereka.

Taeri mula menyibukkan dirinya dengan membuat kek cawan. Baru-baru ini sahaja , Taeri mendapati bahawa dia kini mempunyai minat dalam pembuatan pastri serta manisan. Begitulah cara wanita itu untuk melepaskan kekesalan dan kebosanannya sepanjang beberapa hari ini.

Minhyuk jugalah yang perlu menghabiskan kesemua kek cawan tersebut. Tidak lupa juga pada rumah-rumah anak yatim yang sering Taeri kunjungi untuk menghulurkan bantuan kewangan sebelum ini. Mereka masih berhubung antara satu sama lain dan bertanya tentang khabar masing-masing. Anak-anak di rumah tersebut juga berpeluang merasai kek cawan air tangannya itu.

"Hmm?"

Ketika Taeri kembali memusingkan tubuh setelah mencapai dekorasi untuk kek cawannya , dahinya berkerut. Dua dari 12 kek cawannya hilang. Taeri menggaru-garu tengkuknya yang tidak gatal. Dia mula berfikiran bahawa Junhoe sedang berada di dalam rumahnya saat itu.

---

Divorce Aftermath [ MalayFic ]Where stories live. Discover now