S1 - 30 장

50 8 13
                                    

---

"Kenalkan... ini Kim Jaei."

Bibir Jinhwan kian mengukir senyuman mesra tatkala memperkenalkan anak kecil berusia 3 tahun itu kepada Taeri dan Minhyuk. Kedua-dua mereka langsung tidak memberikan sebarang respon pada mulanya.

Namun , setelah melihat bagaimana kanak-kanak itu malu untuk memulakan salam perkenalannya terlebih dahulu , Taeri hanya tersenyum. Manakala Minhyuk yang berusia 3 tahun lebih tua dari Jaei itu masih lagi tampak bingung.

"Jaei-ah.. ini abang Jaei , Minhyuk. Ini pula omma Jaei..."

Jinhwan kemudiannya memperkenalkan Taeri dan Minhyuk kepada Jaei. Mata bulat si kecil itu sempat memandang ke arah mereka berdua silih berganti sebelum merenung wajah manis Taeri dengan cukup lama. Hairannya , Jaei cepat-cepat menghampiri Jinhwan lalu memeluk erat kaki lelaki itu.

"Uri omma-ga aniya.." Ucap Jaei satu persatu , cuba menjelaskan kepada Jinhwan bahawa wanita yang dilihatnya ini bukanlah ibunya.

Jinhwan mengemam bibirnya. Dia mulai gelisah. Jaei mungkin masih kecil lagi. Akan tetapi, sekali anak kecil itu mula menyebut tentang perkara yang tidak sepatutnya Taeri ketahui , semuanya akan berakhir begitu sahaja. Sia-sia.

Dengan perlahan Taeri mencangkung di hadapan kanak-kanak tersebut bersama senyuman manisnya. Dia faham jika Jaei masih tidak biasa berkeluarga seperti ini kerana Jinhwan juga pernah memberitahu wanita itu bahawa Jaei masih lagi merindu keluarga kandungnya. Apa lagi si ibu yang tiba-tiba sahaja meninggalkannya pada usia begini.

Taeri yakin , pasti bukan mudah untuk Jaei menerimanya sebagai ibu pada ketika ini. Akan tetapi , dia sanggup mencuba jika diberikan peluang. Walaupun ini boleh dikatakan hanyalah perkenalan kali pertama , Taeri nampaknya gembira menyambut kedatangan Jaei ke dalam keluarga ini.

Jaei melepaskan pegangan erat pada kaki Jinhwan sebaik sahaja Taeri mencangkung di hadapannya. Melihat bagaimana anak kecil itu melarikan diri daripadanya , Taeri hanya mampu tersenyum pahit. Tipulah jika dia langsung tidak berasa tersinggung kerana hal tersebut. Namun begitu , Taeri hanya mampu mengeluh di dalam hatinya.

Minhyuk yang sedari tadi mendiamkan diri turut meninggalkan Taeri dan Jinhwan untuk kembali ke biliknya , barangkali. Taeri kembali berdiri hanya untuk beredar dari situ. Mujurlah Jinhwan sempat menahan wanita itu daripada melangkah pergi.

"Taeri-ah.."

Jinhwan mengenggam lembut tangan Taeri bagi menyalurkan kekuatan buat wanita tersebut. Sungguh , dia serba salah kerana terpaksa mengheret Taeri di dalam masalahnya ini. Dan sepertinya , Taeri tidak ingin melihat wajah Jinhwan pada ketika itu. Kepalanya terus menunduk.

"Saya rasa tak sedap badanlah. Saya nak rehat dalam bilik sekejap."

Dengan itu , Taeri berjaya melepaskan pegangan Jinhwan pada tangan kanannya. Lelaki itu pula tidak dilihat cuba memujuk Taeri. Bahkan , sekadar membiarkan wanita itu hilang begitu sahaja dari pandangannya.

"Mianhae , Taeri-ah.."

---

Jaei bersembunyi di ruangan sempit yang terletak betul-betul di bawah anak tangga kediaman mewah itu sambil memeluk lututnya. Aneh rasanya apabila berada di tempat seluas ini setelah sekian lama bermalam di wad kanak-kanak seorang diri.

Jaei berasa asing berada di sini. Apa lagi tanpa ditemani seseorang yang ia benar-benar kenali. Dia masih kecil untuk memahami apa yang sedang berlaku di sekelilingnya. Tahu-tahu sahaja , Jaei dibawa pergi oleh lelaki yang dia panggil sebagai appa itu.

Kanak-kanak itu kembali mengangkat wajahnya apabila menyedari kehadiran Minhyuk yang tercegat di hadapannya. Di tangan Minhyuk pada ketika itu memegang sepiring kek cawan yang dihulurkan pada Jaei.

Melihat Jaei seolah-olah tidak ingin menerima salam perkenalannya , Minhyuk berhati-hati ketika meletakkan piring tersebut di atas lantai bersebelahan dengan Jaei. Ia pun berlalu pergi lantas memanjat tangga untuk ke biliknya. Masih banyak lagi latihan yang perlu dia siapkan sebelum kembali ke tadika Isnin depan.

Jaei menatap lama kek cawan itu dengan mata bundarnya yang terkebil-kebil. Akan tetapi , dia sepertinya tidak cukup berminat untuk mengusik makanan tersebut. Jaei pun bangun dari situ dan hanya meninggalkan kek cawan itu di atas lantai.

Selepas beberapa langkah meninggalkan kawasan itu , ia kemudiannya berpatah balik untuk mengambil kek cawan pemberian Minhyuk.

---

Divorce Aftermath [ MalayFic ]Where stories live. Discover now