---
"Jaei tidur dalam bilik ni , okay?"
Sebuah bilik dengan rekaan dalaman yang serba ringkas itu kini telahpun menjadi milik Jaei. Dahulunya , bilik tersebut dibiarkan kosong tanpa sebarang perabot dan tidak pernah berpenghuni.
Hanya baru-baru ini sahaja , Jinhwan mengarahkan pembantu rumah mereka untuk mengemas , sekaligus menyediakan bilik itu untuk Jaei. Buat masa ini , bilik kanak-kanak tersebut hanya dilengkapi dengan sebuah katil , almari baju serta meja kecil.
Jauh berbeza dengan kamar Minhyuk yang sudah dipenuhi dengan pelbagai dekorasi serta hasil lukisannya di tadika , bilik Jaei terlihat suram sama sekali.
Jaei tidak membuka mulut. Apa lagi ingin membantah. Hari pertamanya di sini masih lagi terasa asing. Dia juga tidak lupa bagaimana penjaganya di hospital pernah dimaki oleh Jinhwan gara-gara ulahnya. Dan sampai ke hari ini , Jaei masih lagi terbayang-bayang wajah bengis lelaki itu.
Jinhwan akhirnya menutup rapat pintu bilik Jaei sebaik sahaja dia melangkah keluar dari sana. Setelah diyakini bahawa lelaki tersebut benar-benar sudah meninggalkannya seorang diri , Jaei dengan segera berlari ke arah pintu yang sudah terkatup rapat itu.
Dengan gigih , anak kecil itu pun cuba mencapai tombol pintu tersebut menggunakan tangan kecilnya. Cubaan Jaei menggunakan kedua-dua belah tangannya tidak disangka-sangka berjaya membuahkan hasil. Begitulah cara Jaei untuk meloloskan diri dari pemerhatian penjaganya di hospital tempoh hari.
Namun setelah melihat keadaan di luar yang serba gelap itu , Jaei ragu untuk ke mana-mana. Akan tetapi jika difikirkan semula , anak kecil tersebut lebih takut untuk tidur seorang diri di dalam biliknya. Secara kebetulan , tidak jauh dari kamar itu , terdapat satu lagi bilik yang dia juga tidak tahu siapakah tuannya.
Apa yang pasti , dia sama sekali tidak mahu tidur berseorangan di sini. Jaei menutup matanya , tubuh badannya terarah ke pintu yang ingin dia tuju.
Dengan sekeping gambar yang digenggam dalam tangan , Jaei berlari ke arah tersebut. Dia bersungguh-sungguh untuk mencapai serta memulas tombol pintu di hadapannya. Jaei bernasib baik kerana ianya tidak berkunci.
Kehadiran Jaei sekaligus memeranjatkan Minhyuk yang sedang tidur di dalam bilik tersebut. Minhyuk duduk dari pembaringannya dengan wajah yang bingung. Manakala Jaei pula seolah-olah tidak mempedulikan tuan bilik itu yang sedang memerhatikan setiap tingkahnya. Jaei kemudiannya mengambil tempat di sofa. Hatinya sedikit lega setelah ditemani Minhyuk. Sekeping gambar yang Jaei pegang sejak tadi ditatap sayu.
"Siapa tu?"
Minhyuk turut duduk di sisi Jaei.
"Jaei omma.."
Minhyuk mengambil peluang untuk turut sama menatap gambar tersebut. Melihat bagaimana akrab Jaei dengan ibunya , Minhyuk iri. Ibu Jaei terlihat cantik , tidak kalah dengan Taeri.
"Cantik omma Jaei."
Sedar-sedar sahaja , kepingan gambar yang sedang diteliti kedua-dua anak kecil tersebut kini dirampas dari tangan Jaei. Jinhwan tampak berang setelah melihat wanita di dalam foto itu. Laju tangannya mengoyakkan kepingan gambar itu menjadi dua.
"Appa..."
Minhyuk memandang ayahnya dengan raut wajah terkejut. Dia cemas apabila Jaei mula menangis. Sedangkan , Jinhwan masih belum sempat menengking mereka.
"Siapa suruh bawa masuk gambar dia dalam rumah ni?!"
Jinhwan cuba menahan suara amarahnya daripada kedengaran lantang. Dia bimbang sekiranya Jaei mula bercerita yang bukan-bukan pada Minhyuk. Padahal Jinhwan tahu bahawa semua yang baginya tidak masuk akal itu adalah benar.
"Omma...."
Jaei menangis semahunya. Apalah kanak-kanak seusianya tahu tentang mengawal emosi. Matanya yang dibanjiri air mata digosok tanpa henti.
"Kenapa ni?"
Seolah-olah merasa terpanggil , Taeri muncul di sana tepat pada masanya. Jinhwan cepat-cepat menyembunyikan tangan di mana kepingan gambar yang telah dikoyakkan itu tersimpan. Taeri mendukung Jaei untuk ditenangkan di dalam dakapannya.
Taeri yang tahu tentang punca kemarahan Jinhwan kembali merampas gambar yang lelaki itu pegang. Jinhwan tidak berani untuk mengambilnya semula kerana risau segala-galanya akan terbongkar jika dia berkeras dan hilang kawalan emosinya kerana satu gambar.
"Ini gambar omma Jaei. Kenapa awak koyakkan?"
Jinhwan menelan air liurnya payah. Bagaimana dia hendak menjawab persoalan Taeri itu tanpa menimbulkan sebarang keraguan?
"Saya cuma taknak dia keliru.. awak kan omma dia sekarang-"
"Jaei masih kecil lagi. Dan boleh tak jangan bincang pasal ni depan anak-anak?"
Taeri menggosok lembut belakang tubuh Jaei untuk menenangkan anak kecil itu. Tentu gambar tersebut berharga buat Jaei. Pedih hati Taeri apabila kanak-kanak itu kini menangis kerana objek tersebut.
"Nanti kita satukan balik , okay? Jangan nangis-nangis.."
Taeri mengesat air mata di pipi Jaei dengan jari-jemarinya. Taeri sendiri tidak tahu mengapa Jinhwan bertindak agresif sebegitu sedangkan dia sendiri yang memutuskan untuk mengambil Jaei sebagai anak angkat mereka. Taeri sungguh tidak mengerti.
"Lagi satu , kenapa awak bagi Jaei tidur sendiri bila dia boleh kongsi bilik dengan Minhyuk?"
Melihatkan Jinhwan yang tidak ingin bersuara kerana egonya itu , Taeri mengeluh.
"Mulai hari ni , Jaei akan tidur sebilik dengan Minhyuk. Kamu okay kan , Minhyuk?"
Anggukan Minhyuk membuatkan Jinhwan tidak mampu untuk berdebat lebih lanjut. Dia sudah cukup bernasib baik jika Taeri tidak mula mempersoalkan tindakannya melepaskan amarah kepada anak-anak tersebut.
---
YOU ARE READING
Divorce Aftermath [ MalayFic ]
Romantizm"But he is just 7 years old.. he shouldn't know yet.." "Marahlah saya , pukullah saya kalau itu yang akan buat awak puas hati. Jebal.. sampai bila awak nak diam membisu sahaja macam ni? It's killing me , Taeri-ah." "Terimalah kenyataan , Han Sooyeo...