---
TAERI
Aku tersenyum lebar usai kesemua hidangan sarapan yang sudah mula aku sediakan sejak awal pagi tadi kini telahpun tersusun rapi di atas meja makan. Kebiasaannya , pembantu rumah inilah yang akan menyediakan segala keperluan harian kami sekeluarga.
Akan tetapi , hari ini sangat istimewa untuk aku. Jadi , Jinhwan pasti tidak akan menolak semua ini. Itupun jika dia ingat tentangnya. Ah , jangan risau. Aku tidak akan terlalu berharap kali ini. Cukuplah sekadar dia kucup aku di dahi dan ucapkan selamat hari lahir memandangkan tahun lepas, dia benar-benar lupa akan hari penting ini. Itupun , Jinhwan sama sekali tidak kelihatan serba salah mengenainya.
Aku tidak akan meminta lebih. Rasanya dicium oleh Jinhwan pun besar maknanya bagi aku.
"Banyaknya makanan. Kamu yang sediakan semua ni?"
Dari anak tangga , aku lihat mama berjalan menuju ke arah meja tersebut sambil matanya melilau kagum. Aku tergelak kecil. Mama sudah tinggal di sini sejak awal perkahwinan kami lagi.
Dan Jinhwan tidak pula mempermasalahkan tentangnya kerana dia tahu aku selalu kesunyian apabila dia keluar bekerja.
Prihatin , bukan?
Lagipun , mama seorang sahaja ahli keluarga yang aku ada. Aku tidak mempunyai adik beradik lain. Jadi , tidak salah pun jika mama tinggal bersama kami. Sekurang-kurangnya , aku ada teman untuk berbual. Hidup berasingan dengan mama hanya akan membuat aku susah hati dan kesunyian.
Bukan kerana wanita ini sudah tua atau berpenyakit. Hanya aku sahaja anak tunggal yang terlalu dimanjakan oleh mama sejak kecil sampai susah untuk aku berpisah dengannya.
Tentunya mama faham sangat situasi rumah tangga aku sekarang. Dia jugalah yang tidak putus-putus memberi nasihat sungguhpun tidak berguna untuk aku guna pakai dalam kebanyakan situasi. Sekurang-kurangnya mama tahu bagaimana untuk sedapkan hati aku. Dan aku bersyukur kerana itu.
"Betul tekaan mama." Aku tersenyum.
"Angin kamu baik hari ni , eoh?" Mama mencapai kutleri yang disusun di samping pinggannya apabila ia duduk di kerusi.
Sebaik sahaja mata aku terarah pada susuk tubuh Jinhwan yang sedang menuruni anak tangga , aku berlari padanya untuk mengambil kot dan beg yang ia bawa.
"Mari sarapan sekali... biar saya suapkan awak."
Aku tidak mampu menahan diri aku daripada tersenyum lebar. Jinhwan mengedarkan pandangannya pada setiap satu hidangan yang ada di atas meja.
Sarapan yang aku sediakan kebanyakannya bercirikan makanan barat. Aku mahukan sedikit kelainan pagi ini. Macam yang aku katakan , ini hari yang sangat bermakna untuk aku.
"Awak yang masak semua ni?"
Jantung aku berdegup kencang apabila mata kami bertentang antara satu sama lain. Ah , aku rasa seperti sedang dilamun cinta sampai beginilah rasanya setiap kali Jinhwan pandang aku. Aku tersenyum lalu mengangguk laju.
"Bukan awak tak pandai masak ke? Kenapa sediakan makanan banyak macam ni? Kan dah membazir."
Aku tak pasti jika Jinhwan hanya merungut atau dia sebenarnya ingin merendahkan kemampuan aku dengan bercakap dalam nada sebegitu. Tetapi memandangkan dia berani berkata seperti itu di hadapan mama , jadi aku hanya menganggap bahawa Jinhwan sekadar merungut.
Apa bezanya? Merungut dan merendahkan kemampuan aku itu kedengaran sama sahaja pada aku. Jinhwan tidak pernah menghargai apa yang aku lakukan untuknya sepanjang kami menjadi suami isteri. Sedikit pun tidak. Ucapan terima kasihnya juga tidak sesekali kedengaran ikhlas. Atau itu hanya perasaan aku sahaja?
Tolong beritahu bahawa aku tersilap tentang ini.
"Mama , Jinhwan pergi dulu. Ada mesyuarat dengan lembaga pengarah hari ni." Jinhwan membongkokkan badannya 90 darjah.
Aku membuntuti Jinhwan ke pintu memandangkan barangnya masih aku pegang.
"Saya pergi dulu."
Jinhwan mengambil kot dan beg kerjanya dari tangan aku. Dan seperti biasa , dia berlalu pergi begitu sahaja. Jinhwan langsung tidak beri peluang untuk aku menciumnya walaupun sekadar di pipi. Bahkan ketika Jinhwan berjalan pergi pun dia tidak menoleh ke belakang walau sejenak.
Aku tidak mampu membenci Jinhwan sebab semakin aku cuba untuk lakukannya , semakin dalam cinta aku terhadap lelaki itu.
Pagar utama terbuka secara automatik. Ketika Jinhwan hendak memandu kereta mewahnya meninggalkan perkarangan rumah , ketika itu jugalah jiran kami meluru masuk ke dalam sambil melambai mesra.
"Annyeong , Taeri! Ada makanan lebih tak?"
Itulah jiran aku yang kuat makan , Koo Junhoe. Dia kerap berkunjung ke rumah aku sejak kami berpindah ke kawasan perumahan elit ini. Orangnya ceria dan lucu. Dia juga masih bujang. Tinggal pun seorang sahaja di dalam rumah besar yang terletak berhadapan dengan rumah aku.
"Marilah masuk."
Junhoe membuka langkahnya terlebih dahulu. Jinhwan telahpun memandu pergi tanpa aku sedari. Aku mengeluh berat lalu kembali masuk ke dalam rumah.
"Ada stu kimchi? Wahhhh..."
Aku terdengar suara girang Junhoe di meja makan. Memang aku yang sediakan stu kimchi itu walaupun hidangan tersebut tidak sesuai untuk sarapan. Hanya itu sahaja hidangan yang tidak menepati tema masakan barat yang aku sajikan. Dan sudah tentu aku menyediakannya oleh kerana permintaan Junhoe tempoh hari.
Junhoe memasukkan sesenduk stu kimchi ke dalam mangkuk yang ia pegang. Mama hanya memerhatikan lelaki itu dengan penuh minat. Nampaknya , mama juga belum merasa air tangan aku.
"Macam mana rasanya?" Soal mama selepas satu sudu kuahnya dihirup Junhoe. Wajahnya bertukar cemberut.
"Rasa macam cuka. Tapi masih boleh diselamatkan. Ada perencah ramen tak?" Soalannya membuat mama tertawa. Tetapi tidak aku yang termenung menatap makanan di hadapan kami. Sekali lagi, masakan yang susah payah aku cuba untuk pelajari dan perbaiki rasanya tidak dijamah oleh Jinhwan.
Jawapan Junhoe kepada soalan mama tadi membuat aku terpukul sekali lagi. Jinhwan betul. Aku tidak pandai memasak. Kenapa aku ini bodoh sangat?
---
YOU ARE READING
Divorce Aftermath [ MalayFic ]
Romansa"But he is just 7 years old.. he shouldn't know yet.." "Marahlah saya , pukullah saya kalau itu yang akan buat awak puas hati. Jebal.. sampai bila awak nak diam membisu sahaja macam ni? It's killing me , Taeri-ah." "Terimalah kenyataan , Han Sooyeo...