S2 - 09 장

38 8 30
                                    

---

TAERI

Sungguh tidak percaya.

Segala ketakutan yang aku alami sebentar tadi seolah-olah langsung tiada makna. Ketiga-tiga orang pemuda yang berangan tinggi hendak menjadi penyangak dalam masa satu malam itu dilihat sedang menerima leteran panjang daripada si tuan kedai.

Huh.

Mereka dikira beruntung kerana tidak perlu berurusan dengan pihak polis kali ini. Kalau diikutkan hati , mahu sahaja aku laporkan nama-nama mereka ini di balai dan sumbat mereka ke dalam lokap walaupun hanya untuk ditahan selama beberapa jam.

Bahkan jika hukuman itu dirasakan tidak mencukupi , aku juga akan failkan saman terhadap mereka bertiga. Biar mereka tahu bagaimana teruknya aku rasa apabila diugut menggunakan senjata.

Padahal mereka itu bukanlah perompak yang perlu aku takuti pun. Malah mereka hanyalah perompak amatur yang langsung tiada pengalaman melakukan jenayah. Ceh , buat malu sahaja.

Mujurlah aku ini masih berhati perut , tahu? Lagipun , aku memang tidak berniat untuk memburukkan lagi keadaan yang sudah sedia kalut seperti ini. Macam yang aku pernah sebut , aku tidak ingin terlibat dengan urusan polis walaupun pada asalnya bukan aku yang bersalah.

Aku mengeluh lagi. Jika difikirkan semula , mana mungkin aku tergamak untuk berbuat demikian apabila membayangkan masa depan mereka yang masih panjang.

Dan percayalah , aku berfikiran seperti ini pun hanya disebabkan aku sudah mempunyai seorang anak. Maka secara tidak langsung , perspektif aku tentang semua perkara pun turut berubah.

Jika tidak , aku sendiri pun tidak kuasa untuk membela nasib orang lain seperti sekarang.

Harapnya keputusan aku untuk membiarkan ketiga-tiga lelaki itu terlepas daripada hukuman akan membuatkan mereka belajar dari kesilapan. Mungkin bebelan panjang dari orang tua di hadapan aku ini juga mampu mempengaruhi mereka untuk menjadi manusia apabila dewasa nanti.

Lagipun semua orang pernah buat silap dalam hidup , bukan? Haih , mengapalah kau begitu optimis tentang semua benda , Kim Taeri?

Kalaulah omma dapat tahu tentang hal ini , matilah aku. Sudah pasti dia tidak akan benarkan aku bekerja di sini lagi. Ah , selepas apa yang telah terjadi , aku sudah mula mempertimbangkan keputusan untuk berhenti kerja.

Laju aku buat kerja , kan? Sedangkan tidak sampai beberapa jam pun aku bekerja pada hari pertama aku ini.

Yang aku rasa tidak masuk akal adalah apabila aku dapat tahu bahawa salah seorang daripada mereka yang mula-mula sekali mengugut aku dengan pisau itu adalah anak kepada tuan kedai ini.

Padanlah dia tahu di mana tersimpannya kunci mesin juruwang. Hanya dia sahaja yang tidak mahu mengambilnya dengan tangan sendiri dan sengaja melibatkan aku dalam masalahnya itu. Sudah tentulah aku juga yang akan dipersalahkan nanti. Licik juga anak si tuan kedai ini.

Boleh pula dia mengajak rakan-rakannya itu untuk cuba merompak kedai ayahnya sendiri? Yang paling teruk adalah apabila mereka memilih masa yang salah dengan merompak kedai ini pada hari pertamaku bekerja.

Aku menoleh , menatap lama refleksi wajahku pada cermin kedai yang sudah mula berkabus. Taburan hujan lebat di luar semakin menenggelamkan suara-suara di sekeliling aku. Kaki dan minda ini sama-sama membawa aku keluar dari suasana tersebut.

Baju yang aku pakai kini bertompok gelap. Dalam sekelip mata sahaja , tubuh aku sudah basah lencun di bawah hujan. Aku tersenyum senang. Semoga sahaja aku tidak dipanah petir kerana berdiri di tempat terbuka seperti ini.

Melihat bagaimana aku boleh berjalan santai meredah hujan dalam keadaan begitu , aku pun terkejut.

Aku benar-benar seperti orang yang baru keluar dari gua. Namun , seronok rasanya apabila aku sekadar tercegat memerhatikan air hujan yang kian memenuhi telapak tanganku. Aku tertawa kecil.

Kegembiraan itu tidak kekal lama. Keinginan untuk menangis turut menyusul sama. Sampai sahaja di perkarangan suatu bangunan , aku duduk mencangkung di atas jalan sambil menyembunyikan muka aku di dalam lipatan tangan. Hati aku meruntun disusuli tangisan yang teresak-esak di bawah hujan.

Aku tidak peduli jika ada mata-mata yang sedang melihat keadaan aku sekarang ini. Emosi aku sudah tidak mampu dibendung lagi.

Tambahan pula , cuaca hujan pada ketika ini seolah-olah menggalakkan lagi aku untuk melepaskan segala yang telah lama terbuku di hati.

"I miss you.."

Lafaz itu. Gara-gara lafaz tersebutlah yang membuatkan suaranya masih lagi terngiang-iang di gegendang telingaku sehingga saat ini.

Wajah suram Jinhwan tempoh hari jelas menggambarkan rasa kekosongan di dalam dirinya. Aku sendiri pun tidak pasti jika aku berkhayal pada waktu itu. Tetapi , Jinhwan terlihat sedih. 

Aku kembali berdiri setelah puas menangisi nasibku. Aku masih belum berhenti mengenangkan lelaki itu dan aku amat-amatlah membenci situasi seperti ini.

Satu poster yang ditampal pada dinding bangunan berdekatan menarik perhatianku. Ketika aku masih lagi kehujanan , aku mengamati lama poster tersebut.

"Translator team diperlukan. Daftar temu duga sekarang?"

---

JINHWAN 

"Ahh.."

Aku kembali menarik tangan sebagai refleks kepada haba panas yang mengenai kulitku ketika sedang memasak sebungkus mi segera.

Walau berapa kali pun aku cuba , aku pasti akan terluka ketika berada di dapur. Lebih-lebih lagi ketika aku sedang memasak. Kecuaian aku itu bagaikan suatu sumpahan yang tidak boleh dileraikan. 

Selesai memindahkan ramen yang telah dimasak ke dalam mangkuk , aku duduk di meja sambil menatap kosong makanan tersebut.

Mata aku tanpa sedar mula berkaca. Aku benar-benar rindu masakan Taeri dan aku langsung tidak boleh menafikan kenyataan itu. Bagaimana mungkin air tangannya yang tidak seberapa itu boleh melekat di ingatan dan deria rasa aku?

Sekarang sedang hujan lebat di luar. Aku pula tiba-tiba berasa lapar pada waktu tengah malam sebegini. Dahulu, aku pernah mengutuk makanan yang Taeri sediakan untuk aku.

Tetapi lihatlah sekarang. Mi segera yang aku masak ini pun sudah beransur-ansur menjadi kembang. Aku juga tidak pandai memasak , sejujurnya. Aku hanya mampu mengeluh.

Telefon aku kemudiannya berdering. Melihat nama pada ID pemanggil , aku tidak kuasa untuk menjawab. 

Sungguhpun panggilan pertama tersebut tidak diangkat pada detik itu , Sooyeon masih lagi cuba untuk menelefon aku. Akhirnya , aku bertindak mematikan gajet tersebut lalu segera menikmati makanan tengah malam aku.

---

Divorce Aftermath [ MalayFic ]Where stories live. Discover now