S2 - 12 장

45 6 32
                                    

---

"Junhoe..."

Sejurus sahaja sepasang mata milik lelaki itu dicelikkan selepas mendengar satu suara yang memanggil-manggil namanya , ia mendapati bahawa jasadnya kini sedang duduk di atas kerusi penumpang dalam sebuah kereta mewah.

Anehnya apabila Junhoe menoleh ke sisi , dahinya ikut sama berkerut apabila melihat dirinya sedang memandu kenderaan mewah tersebut pada ketika itu.

Wajahnya yang satu lagi terlihat tegang. Manakala mata figura bertubuh tinggi di samping Junhoe itu pula terus tertumpu pada jalan raya di hadapan mereka.

Junhoe juga perasan akan cengkaman jari-jemari lelaki itu pada stereng kereta yang semakin ketat seolah-olah objek tersebut sedikit sebanyak membantunya untuk menahan diri daripada mengamburkan amarah. Junhoe kenal benar dengan riak wajah itu. Dia sedang bengang , semestinya.

Bahkan Junhoe juga tahu bahawa kemarahan figura yang satu lagi itu sudah mencapai kemuncaknya ketika ia bertindak memusing stereng kereta tersebut secara mengejut.

"Junhoe!!"

Ketika sebahagian kenderaan yang dipandu olehnya hampir terbabas pada dinding konkrit sebuah terowong kecil , segala-galanya bertukar gelap dalam sekelip mata.

Junhoe pun terduduk dari pembaringannya. Dada lelaki itu turun naik tanpa henti dengan nafas yang sedang tercungap-cungap. Jangan disebut butiran keringat yang membasahi seluruh wajahnya pada ketika itu. Satu tubuhnya sahaja sudah dirasakan berlengas dengan peluh.

Hanya beberapa detik setelah itu , hidung Junhoe dirasakan hangat entah kenapa. Cecair yang pada awalnya dia sangka sebagai hingus itu kian mengalir keluar dari rongga hidungnya.

Apabila dikesat menggunakan belakang telapak tangan , barulah Junhoe tahu bahawa hidungnya itu kini sedang berdarah.

Kepala Junhoe mula berpinar-pinar. Keadaan hidung lelaki itu yang sepertinya tidak putus-putus mengalirkan sejumlah cecair dirasakan langsung tidak membantu. Junhoe terus bergegas ke bilik air.

Pili paip sinki dipusing perlahan ke kanan , sekaligus membenarkan air sejuk dilalukan pada tangannya. Junhoe terlebih dahulu membersihkan rongga hidungnya sehingga kesan darah tidak lagi kelihatan.

Lelaki itu turut membasahkan seluruh wajah serta sebahagian daripada rambutnya yang serabai di awal pagi itu dengan air. Sambil berpegang pada sinki , Junhoe mengangkat kepalanya lalu merenung lama refleksi yang ada pada cermin tersebut.

Lamunannya mati setakat di situ. Lelaki tersebut sedar bahawa dia seharusnya pergi melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital terdekat saat ini. Mungkin sahaja riak wajah Junhoe yang sekarang ini terlihat seperti dia langsung tidak mengambil peduli tentang kesihatan diri sendiri.

Namun begitu , siapa sahaja yang tidak risau setelah melihat sejumlah darah keluar dari mana-mana bahagian anggota tubuh mereka , bukan?

Tambahan pula , orang seperti Koo Junhoe sudah pasti ingin hidup lama. Demi menikmati semua jenis makanan yang ada di atas dunia ini , tentunya.

Junhoe kemudiannya kembali ke bilik tidur untuk mendapatkan telefon miliknya yang terletak di atas kabinet bersebelahan katil. Satu kiriman teks pesanan ringkas dari Taeri sempat dibaca olehnya.

Juneyaaaa... boleh tolong ambilkan Minhyuk dari sekolah pukul 1 tengah hari nanti? Pemandu dia cuti sakit pula hari ni. Aku pun ada hal sikit nak settle. Gomawo
9.02 a.m.

Dahi Junhoe berkerut sehingga hampir tercantum dua kening tebalnya itu. Ada apa pula dengan emoji di hujung mesej ini?

Apabila Junhoe secara tidak sengaja membayangkan bagaimana suara Taeri melafazkan seluruh teks pesanan ringkas tersebut , geli geleman lelaki itu dibuatnya. Kepalanya digeleng berkali-kali. Taeri ini pasti buang tabiat agaknya.

Sekarang sudahpun menunjukkan jam 11.30 pagi. Junhoe masih lagi punyai masa yang cukup singkat untuk membersihkan tubuhnya dan segera ke hospital untuk bertemu doktor kenalan keluarganya. Selesai sahaja urusan lelaki itu di sana , dia kemudiannya perlu mengambil Minhyuk pulang dari sekolah.

---

"Tak ada apa yang perlu dirisaukan. Barangkali nosebleed tu disebabkan oleh dehidrasi dan juga kurang tidur. Nasihat saya cuma banyakkan minum air masak selepas ni. Jangan lupa dapatkan rehat yang cukup dan kurangkan pengambilan alkohol."

Lelaki berkot putih serta berkaca mata yang duduk bertentangan dengan Junhoe kembali meletakkan pen yang berada di tangannya ke atas meja.

"Oh... Jadi , doktor tahu.."

Junhoe merujuk kepada kenyataan doktor itu tentang bagaimana dia sering meminum alkohol sejak kebelakangan ini. 

"Memanglah saya tahu. Saya kan doktor."

Junhoe mengangguk akur. Ada betul juga katanya. Terlupa pula Junhoe bahawa dia kini sedang bercakap dengan seorang doktor.

"Saya takkan mati , kan?"

Merasakan anak kepada pengerusi syarikat besar yang dikenalinya itu sudah mula menjadi dramatik , doktor tersebut pun mengurut batang hidungnya penuh sabar.

---

"Kim Taeri."

Sebaik sahaja namanya dipanggil , Taeri pantas mengangkat punggungnya dari kerusi di ruangan menunggu itu. Wanita tersebut sempat lagi menarik nafas dalam sebelum melangkah masuk ke dalam bilik yang digunakan untuk sesi temu duga hari itu.

Semoga segala-galanya dipermudahkan buatnya kali ini. Itulah doa Taeri di dalam hati kecilnya.

Di hujung ruangan tersebut , Taeri dapat lihat seorang lelaki sedang khusyuk meneliti fail yang diyakini sebagai resume miliknya. Anehnya , lelaki tersebut dengan gaya bersahajanya kini memegang resume Taeri dengan sebelah tangan seolah-olah sedang membaca suatu majalah.

Mukanya juga masih belum kelihatan gara-gara ditutup dengan resume tersebut. Tetapi dia pastinya seseorang yang diberikan kuasa untuk mengetuai sesi temu duga ini.

Taeri membongkokkan sebahagian daripada tubuhnya sebelum duduk di atas satu-satunya kerusi yang disediakan. Wanita itu tidak pula melihat sesiapa melainkan mereka berdua di sana.

"Kim Taeri.."

Ketika si empunya nama sedang gementar oleh kerana tidak biasa ditemu duga , panggilan lelaki bersut itu sedikit sebanyak memeranjatkannya.

"Nae?"

Lelaki itu menurunkan fail kepunyaan Taeri sehingga memperlihatkan wajahnya. Tersungging senyuman miring di bibir lelaki itu , membuatkan Taeri hampir terlopong apabila mengingatinya.

Dia kini melambai-lambaikan tangannya di udara dengan senyuman.

"You?!!!"

---




Divorce Aftermath [ MalayFic ]Where stories live. Discover now