---
TAERI
"Mworago?"
Aku yakin bahawa omma masih boleh mendengar dengan jelas. Jadi , tidak mungkinlah dia mahu aku mengulangi ayat itu semula , bukan? Atau adakah omma sengaja buat-buat tidak dengar? Aku menarik nafas dalam lalu menghembusnya perlahan.
Aku sudah fikir masak-masak tentang apa yang aku mahu lakukan sekarang. Aku bertekad untuk melakukan apa sahaja yang telah aku rancang selama beberapa hari ini dan aku tidak akan berpatah balik walau apa pun pandangan omma mengenai keputusan aku.
"Taeri nak cari kerja."
Wajah awet muda omma semakin berkerut setelah dia mendengarnya buat kali yang kedua. Mungkin baginya , kenyataan aku itu tidak masuk akal. Omma kenal sangat dengan perangai anak tunggalnya ini dan sejujurnya , dia juga tahu yang aku mula belajar untuk berdikari hanya setelah aku mendirikan rumah tangga bersama Jinhwan.
Dia juga tahu yang aku tidak gemar bersosial , sangat cerewet dan amatlah lurus bendul.
Itulah sebabnya omma takut untuk melepaskan aku ke dunia luar dan bahkan begitu risau untuk berjauhan dengan aku walaupun setelah aku membesar menjadi seorang ibu sepertinya.
Jika dahulunya dia boleh menyerahkan segala tanggungjawab untuk menjaga aku dan Minhyuk kepada Jinhwan, kini omma tidak lagi ke luar negara atas urusan perniagaannya selepas kami bercerai. Dia tahu aku akan kesunyian tanpanya di sisi.
Bahkan sejak aku kecil lagi , omma ialah satu-satunya orang yang sentiasa memanjakan aku tidak kira masa. Walaupun dia sibuk membangunkan bisnes miliknya suatu ketika dahulu , dia tidak pernah lupa untuk meluangkan masa dengan anaknya.
Kemewahan yang aku rasai hari ini juga tidak akan mampu dicapai tanpa usaha keras omma. Dia jugalah yang mengambil dua posisi penting dalam sesebuah keluarga untuk membesarkan aku seorang diri.
Sekiranya nasib aku berakhir seperti omma sekalipun , sekurang-kurangnya aku mahu menjadi seorang ibu yang boleh dibanggakan oleh Minhyuk.
"Kamu ni biar betul , Taeri? Kamu tahu yang kamu tak perlu buat macam tu , kan?"
Omma berpeluk tubuh sambil menyilangkan kedua-dua belah tangannya ke dada. Pasti sukar untuk memujuk omma berkenaan permintaan aku ini tetapi aku benar-benar berharap agar dia bersetuju.
Dia tidak tahukah betapa bosannya aku duduk di rumah besar ini sepanjang hari menunggu Minhyuk pulang dari sekolah?
Bukan setakat itu sahaja. Minhyuk juga sudah mula menyertai kelas piano dan kelas jiujitsu seperti yang anak kecil itu inginkan. Dan jika dihitung , hampir separuh hari aku akan bersendirian di rumah kebosanan.
"Kamu dah fikir masak-masak ke Taeri? Omma tak berkenan betullah dengan permintaan kamu yang pelik-pelik ni."
Aku mengangguk yakin.
"Dah tu Minhyuk macam mana? Di mana pula kamu nak cari kerja?"
Sebelum keputusan ini dibuat lagi , aku sudah menitikberatkan soal Minhyuk ketika aku diberi kebenaran oleh omma untuk keluar bekerja nanti. Rancangannya , aku akan upah seorang pengasuh yang boleh dipercayai untuk menjaga Minhyuk di rumah.
Mudah , bukan?
Tetapi itu tidak bermakna aku akan meninggalkan anak aku bersendirian bersama pengasuhnya sepanjang hari. Sudah tentu aku akan meluangkan masa bersama Minhyuk dengan lebih kerap.
"Taeri dah apply kerja dah pun."
"Di mana?"
"7 Eleven."
Aku tersenyum bangga. Sementara omma pula meraup dahinya dengan sebelah tangan.
"Kamu tahu tak yang kamu tu dah tua bangka nak kerja di tempat macam tu? Lagipun , nak ke mereka ambil ibu tunggal macam kamu untuk bekerja? Setahu omma , mereka lebih suka ambil pekerja muda. Jadi , kamu dapat ke tak kerja tu?"
Aku menggangguk laju. Barangkali wajah aku ini masih terlihat seperti lepasan sekolah tinggi. Dan disebabkan itulah mereka akhirnya memilih aku untuk bekerja di sana. Wanita itu hanya mampu mengeluh.
"Lupakan. Kamu kerja dalam syarikat omma saja. Kan itu lebih baik."
Sejujurnya , aku tidak mengharapkan bantuan omma dalam hal ini. Biarlah aku berusaha sendiri untuk mencapai matlamat aku itu walau sesukar macam mana sekalipun. Tiada masalah pun untuk aku bermula dari sini. Aku hanya mahu timba pengalaman dan belajar lebih banyak tentang dunia luar.
Cukuplah sekadar duduk bersahaja sambil goyang kaki di rumah selama beberapa bulan ini. Lagipun , sampai bila aku hendak bergantung pada omma , bukan?
"Aniya.. nanti apa pulalah yang pekerja omma cakap tentang Taeri. Omma pun tahu yang Taeri tak belajar tinggi kan?"
Omma tampak seperti sedang terluka apabila aku menyebut tentang hal itu. Aku jugalah yang memilih untuk meninggalkan segala impian aku sebagai seorang remaja pada saat itu demi seorang lelaki , dia juga tahu. Itulah alasan mengapa aku kekal menjadi suri rumah pada ketika ini.
Tetapi mulai esok , aku akan menikmati hari-hari yang akan datang seperti apa yang aku inginkan sewaktu zaman remaja aku dulu. Omma beransur memajukan langkahnya lalu memeluk aku dengan erat.
"Omma jangan risaulah. Nanti pandai-pandailah Taeri bawa diri. Apa-apa pun , terima kasih sebab tolong Taeri tamatkan semua tu. Taeri rasa lebih baik sekarang ni.."
---
YOU ARE READING
Divorce Aftermath [ MalayFic ]
Romance"But he is just 7 years old.. he shouldn't know yet.." "Marahlah saya , pukullah saya kalau itu yang akan buat awak puas hati. Jebal.. sampai bila awak nak diam membisu sahaja macam ni? It's killing me , Taeri-ah." "Terimalah kenyataan , Han Sooyeo...