20

4.3K 153 1
                                    

SKRIN telefon dihidupkan. Sekadar bertujuan mahu tahu jam sudah menunjukkan pukul berapa memandangkan sekeliling bilik ini masih gelap. Hanya ditemani lampu tidur di sisi katil. Aku memalingkan wajah ke sisi kananku, tempat di mana Aryan sepatutnya berada. Namun, kosong. Tiada susuk tubuh Aryan disebelahku.

Serentak, terasa seperti ada pergerakan kecil di sisi kiriku. Aku tergamam. Baru sahaja otak ingin memberi isyarat berkemungkinan dia tidur di sofa. Namun, ternyata aku silap sama sekali. Lelaki itu sedang tertidur pulas tanpa memikirkan keselesaan dirinya. Bukan itu sahaja, lansung tiada sehelai kain mahupun selimut bagi menyelimutkan dirinya. Wajahnya dipalingkan ke arahku.

Betapa polos raut wajahnya ketika tidur. Tiada lansung raut wajah tidak berperasaan yang pernah dilihat dulu. Baru sahaja tangan mahu naik menyelak rambutnya melitupi dahi. Segera aku tarik semula. Aku melapik wajah dengan tangan kiri apabila mengiring menghadap Aryan. Kali ini sahaja... aku mahu tatap wajah itu. Sebelum aku tanam kebencian ini dengan lebih dalam lagi.

Alis keningnya elok terbentuk. Bulu matanya pula panjang melentik. Hidung Aryan pula tidak terlalu mancung, juga tidak terlalu pesek. Bibir tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis. Jika dia tersenyum, gigi taringnya turut kelihatan. Menampilkan imej boyish mahupun badboy. Paling istimewa sekali, sepasang matanya. Iris mata berwarna amber itu begitu menarik perhatian setiap kali dia merenung ke arahku. Aku akui, aku banyak mengelak daripada bertentangan mata dengannya kerana takut aku jatuh semula ke dalam renungan dia.

Lama aku merenung, sehingga terhenti apabila mendengar dia menggigil sejuk.

Tidak betah membiarkan dia kesejukan, perlahan-lahan aku bangun. Mengurangkan pergerakan seboleh mungkin. Lansung tidak mahu dia terjaga. Aku melangkah ke arah almari. Selimut tambahan diambil sebelum menyelimutkan Aryan. Dengan pantas aku menjaga langkah untuk naik ke katil semula.

Aku buat atas dasar simpati.

Dan tidak mahu jadi isteri derhaka.

Aku meyakinkan diri. Dengan fakta dimana semua yang aku buat sekarang ini bukan kerana sayang. Aku tidak boleh berlembut hati. Kelak nanti dia bakal pijak aku semula jika aku lembik di hadapannya. Aku bukan perempuan macam itu lagi. Aku tidak mahu dibodohkan lelaki sekali lagi.

"Kenapa kau datang balik, Aryan?" Aku bersuara perlahan. Tahu dia tidak akan sedar.

Tak cukup ke selama ini kau dah buang aku? Mana Melisa yang kau dambakan dulu? Di mana Haura yang dikatakan 'kawan' tetapi sungguh kelihatan mesra pada pandangan aku dulu? Di mana... mereka? Selepas itu, bila mereka dah buang kau, kau datang kepada aku semula? Pasti perempuan-perempuan itu ketawakan aku kan kalau mereka tengok aku telah sah menjadi isteri Aryan Hameen?

Aku memejam mata erat. Gigih membuang segala perkara yang bermain di fikiran sendiri. Perasaan marah menguasai diri semula. Malu apabila memikirkan hal tersebut. Ada ke lelaki faham apa perasaan perempuan kalau mereka berlaku curang? Lansung tidak faham.

Malu.

"Dia sibuk pertahankan lelaki tu, padahal lelaki tu belakang dia bukan main mencuba nasib dekat perempuan lain."

Itu. Antara ayat paling memalukan aku pernah hadap. Terasa aku telah menjadi perempuan paling bodoh sekali.

Jauh di lubuk hati aku memarahi diri sendiri atas sifat 'malas ambil tahu' terhadap bakal suami. Berkenalan dengan bakal suami hanyalah sunat. Bukannya wajib. Aku sedia maklum hal itu. Sebab itulah aku malas ambil tahu tentang bakal suami aku sebelum ini. Akhirnya memakan diri. Jika dari awal lagi aku ambil tahu tentangnya pasti masih sempat lagi untuk aku mengelak daripada perkahwinan ini. Aku tarik selimut lebih atas bagi menutupi diri.

[C] Aryan: Her Biggest HeartbreakWhere stories live. Discover now