66

3K 105 0
                                    

JIKA takdir tertulis itu begitu perih. Bukankah lebih sukar seseorang insan itu mahu berdamai dengan takdir? Aku mendongak memandang langit. Seolah mahu meminta jawapan. Dalam diam, aku berfikir. Makna disebalik semua perkara terjadi dalam hidup aku. Bermula dari awal persekolahan, sehinggalah aku mencecah usia 27 tahun ini.

Semenjak dulu, aku diajar untuk redha. Redha ketika mama dan ayah meminta aku berdikari di sekolah berasrama penuh. Redha ketika mereka meminta aku memilih jurusan yang aku tidak ingini. Redha apabila disuruh masuk ke universiti yang bukan sebahagian daripada impian aku.

Soalnya, ikhlas atau tidak aku redha dengan semua itu? Ataupun, perkataan redha hanya sekadar meniti dibibir dan bukannya terluah dari hati?

Berdamai dengan takdir.

Ayat begitu ringkas. Namun, jarang sekali manusia mengerti sebaris ayat itu. Hidup penuh dengan persoalan kenapa.

Aku toleh kebelakang. Melihat suasana kenderaan lalu lintas di kawasan lapangan terbang. Aku bakal merindui suasana ini. Beg bagasi ditarik menelusuri laluan masuk ke dalam lapangan terbang. Aku tekad kali ini. Aku perlu jauhkan diri daripada Aryan dan semua buat seketika. Fikiranku menerawang jauh. Terbayang wajah Aryan saat tersenyum mengungkapkan kata cintanya. Wajah Nufail menahan perit tikaman di dada sambil menyatakan perasaan sebenar. Wajah redup Aqashah tiap kali memandang aku. Dan wajah Firash apabila mendengar keputusan aku untuk pergi.

Seolah aku tidak layak berdamping dengan mereka.

Aku menikmati setiap langkah menuju ke pintu perlepasan kapal terbang bakal aku naiki. Langkah aku terhenti tatkala terpandang bangku yang pernah menjadi saksi aku mengalami serangan panik, kemudiannya Aryan datang. Memujuk dan menenangkan aku di situ. Langkah diteruskan lagi sehingga aku merenung ke arah koridor. Lama. Tempat di mana Helena tersesat, menemukan aku dan Aryan. Seterusnya kami bergaduh kecil.

Berakhir dengan duduk sebelah-menyebelah dalam kapal terbang gara-gara Aryan sendiri.

Memori-memori tersebut terlampau berharga. Sehingga aku memohon, agar tidak pernah terpadam dalam ingatan. Tangan aku naik mengusap perut yang mula membukit kecil. Sekurang-kurangnya buat masa ini, aku masih mempunyai teman.

Saat melabuhkan punggung pada kerusi kapal terbang. Aku membuang pandangan ke arah tingkap. Kerusi di sebelah kosong. Sengaja aku beli dua tiket semata tidak mahu duduk dengan sesiapa. Takut jika duduk bersebelahan dengan mana-mana lelaki. Hanya Aryan sahaja layak duduk di sebelah aku.

Tapi itu dulu.

Aku agak, Aryan sudah baca surat aku titipkan khas buat dirinya. Aku tersenyum tawar. Kisah cinta kami berdua begitu sadis. Aku fikir, dulu hubungan kami sekadar hubungan biasa. Seperti pasangan lain, putus. Bertemu semula menjadi kawan, ataupun kekal sebagai musuh, ataupun juga berkahwin.

Kami berkahwin. Namun, kisah disebalik perkahwinan kami sungguh tidak dijangka.

Benarlah, penipuan itu lebih indah. Kadang aku berharap supaya aku tidak tahu lansung segala kebenaran ini. Aryan sudah berusaha menyembunyikan dari aku. Kerana sikap degil inilah, akhirnya segalanya terbongkar.

"Takkan secebis rasa sakit pun kau tak pernah rasa setiap kali kau tengok muka isteri kau?"

"Dia cakap, dia rasa bersalah dengan kau. Sepatutnya dia tak payah cari siapa pelaku sebenar."

"Cinta itu... buta kan, Arya?"

Aku tarik nafas dalam. Nufail tak pernah salah dalam menuturkan setiap kata-katanya.

Abang... biarkan Arya pergi dulu. Bila sampai waktu, Arya akan kembali pangkuan, abang. Macam yang Arya janjikan.




ALAN tidak mengusikku seperti biasa. Seolah faham dengan keadaan. Dia juga diam. Lansung tiada tanda mahu mulakan perbualan. Baguslah begitu. Aku pun tak mahu bercakap buat masa sekarang.

Berita tentang ketua sindiket penjualan organ ke negara jiran dihukum gantung sudah tersebar luas dalam media sosial. Pada masa sama, aku bersyukur atas sikap mama tidak suka siarkan gambar aku dan Firash dalam sosial medianya. Sekurang-kurangnya, kami tidak pernah diganggu wartawan tempatan. Pembetulan. Hanya Firash seorang memandangkan aku sudah selamat sampai ke Boston.

"Nak makan apa-apa tak, dik?" Adik. Panggilan itu seolah melekat semenjak kejadian dulu. Betul-betul membuktikan mereka telah menganggap aku sebagai adik perempuan mereka.

Aku menggeleng. Tak ada selera.

"Anak buah aku tu lapar tau. Arya jangan pentingkan diri, kesian baby." Pesan Alan lagi. Dia berhenti di kedai restoran makanan muslim. Tanpa menyuruh aku turun. Dia sudah keluar kereta dahulu. Mungkin berniat mahu tapau sahaja.

Tidak lama kemudian, Alan kembali ke kereta bersama bungkusan makanan. Plastik dihulurkan. Aku hanya menyambut. Dengan terpaksa, aku buka bungkusan tersebut. Memaksa diri menjamah makanan demi si kecil.

"Abang Alan tak malu ke jadikan anak pembunuh ni adik abang?" Alan terkedu. Aku mengunyah nasi arab itu perlahan. Lansung tidak hiraukan dia.

"Yang membunuh tu mama Arya. Bukan Arya. Aku tahu adik aku ni baik. Sebab itu perasaan bersalah dia tu kuat walaupun dia tak buat." Pesannya lembut.

"Mama bunuh mak dan ayah Aryan, abang Alan." Aku bersuara pelan. Satu fakta yang akan kekal tersemat di fikiran sampai bila-bila. Aryan tak dapat kasih sayang ibu bapa kandungnya, disebabkan ibu kandung aku sendiri. Aryan belajar untuk kuat, disebabkan ibu kandung aku sendiri. Aryan tidak pernah utamakan perasaan sendiri. Aku sangat terkilan.

Aryan tak layak hidup begitu.

"Semua yang berlaku ada hikmahnya, Arya. Itu ujian Aryan. Hasilnya, Aryan jadi lebih tabah. Lebih banyak bersabar. Fikirkan, mesti ganjaran pahala dia lebih besar, kan? Mungkin itu tiket dia ke syurga. Dan tiket Arya ke syurga, melalui Aryan. Dia boleh didik Arya. Supaya menjadi lebih kuat lagi seperti dia. Aryan dan Arya, sama-sama berusaha kejar syurga Allah. Bukan ke itu lebih menyenangkan?" Pesan dia lagi.

Aku merenung ke luar tingkap apabila hujan mula membasahi bumi. Seiring dengan hati aku yang sedang suram.

"Aryan boleh terima Arya tanpa mengungkit ke, abang Alan?" Soal aku lagi tanpa memandang Alan.

"Pernah ke Aryan mengungkit dengan Arya selama ni?" Soalan dibalas soalan.

Aku menggeleng. Aryan tak pernah mengungkit. Malah, dia berusaha menutup kebenaran tersebut.

Tapi aku, kenapa aku begitu berat mahu terima takdir ini?

[C] Aryan: Her Biggest HeartbreakWhere stories live. Discover now