60

3.2K 125 1
                                    

AKU merenung rumah di hadapanku lama. Perasaan bercampur-aduk. Rumah ini, tempat aku membesar bersama Firash. Tempat kami sekeluarga meluangkan waktu. Sedih. Itu sahaja aku mampu ungkapkan. Keluarga ini hancur. Ayah meninggal. Mama buang aku. Seolah hanya tinggal aku dan Firash sahaja sekarang.

Aku cuma impikan sebuah keluarga bahagia.

"Mama Arya macam belum balik aje." Ujar Afsar bila perasan aku senyap agak lama. Aku menghela nafas.

"Arya ada kunci rumah. Kita bertiga masuk dulu. Lagipun Arya nak ambil barang dalam bilik Arya." Beritahu aku. Kunci rumah dikeluarkan dari dalam beg. Kami bertiga keluar dari perut kereta.

Terus aku membuka kunci pagar rumah. Usai memberi salam, aku melangkah masuk dengan kaki kanan. Ini rumah ayah. Aku perlu memberkati rumah ini. Ayah cukup baik memberikan rumah ini kepada kami walaupun ketika itu dia sudah bercerai dengan mama.

"Abang Alan dengan abang Afsar duduk dulu. Kalau mama balik, cakap Arya ambil barang dalam bilik." Setelah menerima anggukan. Aku meninggalkan mereka berdua. Aku tolak pintu bilik. Kemudian, kotak yang berada di atas almari aku ambil. Sengaja aku tinggalkan dulu. Kerana masa itu aku masih marahkan Aryan.

Isi sebenar kotak ini mengandungi gambar-gambar polaroid kami berdua semasa zaman persekolahan dulu. Ada juga bungkusan coklat Aryan pernah beri kepada aku. Aku tersenyum nipis. Lega bila isi kotak itu masih ada.

Laci almari aku buka. Terdapat patung arnab sudah pudar warnanya. Juga pemberian Aryan. Terus aku ambil.

Aku masuk ke bilik mama. Aku cuma nak cari surat mahkamah. Pengesahan penceraian mama dan ayah. Lama aku berada dalam bilik mereka. Membaca setiap helaian kertas tersebut. Ada juga salinan-salinan kertas penting aku simpan ke dalam beg. Jantung seolah direntap apabila membaca setiap kebenaran tersebut.

Aku kesat air mata mula bertakung. Nafas ditarik dalam-dalam.

Aku keluar bilik tersebut setelah dapat jawapan yang aku inginkan. Nasib menyebelahi apabila mama baru sahaja pulang. Aku telan liur. Dada juga mula berdebar.

"Arya?" Ucapnya sebaik sahaja masuk ke dalam rumah. Matanya memandang Alan dan Afsar sekilas.

"M-mama..." kataku perlahan.

"Kau buat apa datang sini dengan dua jantan ni? Kau menyundal ke, Arya?" Soalnya dingin. Riak wajah Alan dan Afsar mula berubah. Aku menggeleng.

"Tak mama. Dia orang... abang-abang angkat Arya." Beritahu aku.

"Aku ingat bila panggil kau balik, kau menyenangkan hati aku. Rupanya makin menyakitkan hati." Aku ketap bibir. Pernah ke ayat mama tidak merentap hati aku? Jika boleh dibuka hati ini sekarang, entah berapa torehan khas daripada mama.

"Arya nak minta maaf," sebab buat semua ini.

"Mana suami kau? Kenapa kau datang dengan dia orang ni? Dah kenapa sampai nak berabang angkat? Entah-entah sekadar alasan nak tutup perangai sundal kau, kan?" Sekali lagi. Aku dicop perempuan sundal. Oleh ibu kandung sendiri.

"Makcik, ni anak makcik tau. Anak kandung makcik. Walaupun makcik lahirkan dia, makcik tak ada hak nak panggil dia sundal." Sampuk Alan.

"Kan aku dah cakap. Kau ni bawa sial kau dekat orang sekeliling kau!"

"Makcik." Tegur Afsar pula. Nada suaranya sungguh dingin.

Aku tersenyum tawar. Malu apabila dimalukan sebegini di hadapan mereka berdua.

"Ma... Arya cuma nak tanya. Mama pernah cintakan ayah tak?" Aku tatap wajahnya lama. Bengis. Aku gambarkan wajah mama sungguh bengis sekarang. Penuh kebencian.

"Tak. Aku tak pernah cintakan bapak kau. Dia bodoh. Aku cuma gunakan dia."

Tuhan, kenapa begitu keras hati seorang ibu di hadapanku ini?

"Arya faham kalau mama tak cintakan ayah. Tapi, Arya nak bagitahu. Ayah cintakan mama. Dia sayangkan mama sangat." Dia perlu tahu. Dia perlu tahu ayah sungguh cintakan dia sehingga ke akhir ayat. Dalam hati, kuat aku berdoa supaya aku tidak berakhir seperti mama. Aryan lelaki tulus. Begitu juga ayah.

"Cinta tak penting, Arya. Harta lebih menyenangkan dari cinta. Kau dah dengar kan jawapan aku sekarang?" Aku memandang Alan dan Afsar. Memberi isyarat agar mereka tunggu di luar. Mereka tak patut lihat situasi ini. Keluarga mereka cukup bahagia. Penuh tawa. Bertentangan dengan aku. Seolah mempunyai jurang besar.

"Tapi Arya dengan Fir dahagakan kasih sayang mama." Jujurku.

Aku akui. Aku terdesak.

Aku dahagakan kasih sayang ibu kandung sendiri.

"Aku tak perlukan pengakuan kau. Dalam hidup aku, tak ada istilah kasih sayang bodoh tu!"

"Mama tak sayangkan Arya?"

"Dalam hati mama... pernah tak ada rasa bersalah?"

Sepi. Tidak berjawab.

Aku menghela nafas. Sekurang-kurangnya persoalan aku terjawab. Aku mengangguk. Sakit. Tapi kebenaran itu sentiasa menyakitkan. Jauh menyakitkan daripada penipuan. Antara fakta yang aku masih cuba terima sehingga hari ini.

Aku tunduk. Tanda hormat. Tidak lagi menyalam tangan mulai berkedut itu.

"Walaupun Arya tak berhak beritahu mama, tapi Arya nak cakap juga. Arya maafkan semua kesalahan mama sepanjang mama bergelar ibu Arya. Assalamualaikum."

Pesan Aryan, maafkan mama.

Aku maafkan dengan hati terbuka. Tapi mungkin aku tidak dapat menerima sekujur tubuh itu lagi. Aku bukan Aryan. Seorang pemaaf. Sungguh aku berharap aku kuat seperti dia. Namun, aku anak yang dibuang. Bukan ditatang.

Berbeza dengan dirinya.

Ayah, maafkan Arya. Arya tak kuat lagi terima isteri ayah sebagai mama Arya. Luka dalam hati ini terlalu dalam. Arya tak berniat mahu kecewakan ayah. Arya buat semua ini bersebab. Arya... dah tak sanggup. Isteri ayah kejam. Dia tak sayangkan Arya. Dia tak cintakan ayah.

"Adik," tangisanku pecah apabila Afsar menggelar aku adik. Ibu kandung sendiri buang aku, tapi mereka kutip aku.

"Kita orang sayang kau, Arya. Mummy dengan daddy pun sayang kau. Kalau dia buang kau, dengan rela hati kami semua terima kau sepenuhnya." Kata Alan pula.

Izinkan aku jadi ibu terbaik buat anakku ini, Ya Allah. Aku merayu...

[C] Aryan: Her Biggest HeartbreakWhere stories live. Discover now