BAB 1 - MIMPIKAN AKU PLEASE!

1.2K 20 2
                                    




Suasana di tanah perkuburan itu sepi, hanya kedengaran suara yang dalam, bacaan talkin oleh Imam Syariff. Sesekali lelaki tua itu berdehem sebelum menyambung peringatan demi peringatan kepada si mati terutamanya hadirin yang menghantar jenazah yang kini sudah selamat dikebumikan.

  Tidak jauh ke belakang Imam Syariff, seorang nenek tua memeluk erat bahu cucu tunggal kesayangannya yang terhinggut-hinggut kesedihan itu. Hatinya berdongkol geram, sekali-sekala merenung marah ke arah anak lelakinya di seberang kubur.

  Hati gadis muda itu tersayat pilu. 'Kenapa mummy pergi? Tak sayangkan Elise ya?' esaknya senyap. Dia memandang susuk tua di sebelahnya yang sedari tadi setia di sisinya memeluk bahunya. Memberi kekuatan. Wajah itu kelihatan tabah. Bolehkah aku jadi setabah nenek?

  " Laila, mari nak. Kita siram kubur mummy. Bangun sayang," nenek tua  bernama Sofiah itu memaut bahu cucunya. Lemah sungguh gadis muda ini. Malang nasibnya si ibu meninggal dunia ketika dia masih memerlukan kasih seorang wanita bergelar ibu. Namun, apakan daya, Allah s.w.t lebih menyayangi wanita itu. Menantunya, Jane Elise Catherine Abdullah.

  Gadis yang dipanggil Laila oleh Nenek Sofiah itu, hanya menurut kata-kata neneknya. Perlahan-lahan dia bangun menyambut jar berisi air mawar dan bunga melur itu. Dia kemudian menyiram dari kedudukan kepala hingga ke kaki ibunya.

Air matanya mengalir lagi untuk kesekian kalinya. Keindahan yang dirasakannya semalam sirna sekelip mata. Mummy tidak berkesempatan melihat kejayaan cemerlangnya sebagai pelajar terbaik keseluruhan. Apakah musibah ini ada hikmahnya?!

  Jar air wangi itu disambut pula oleh lelaki dalam lingkungan usia empat puluhan itu. Wajahnya sedingin ais. Langsung tidak dipandang wajah Laila. Lelaki itu menyepi. Laila ingin mengatakan sesuatu, namun melihatkan raut daddynya yang begitu, langsung tersekat bicaranya di tekak.

  Dan Laila menyimpan amarah di hati kecilnya. Kerana lelaki inilah, dia tidak berkesempatan bertemu mummy buat kali yang terakhir. Lelaki ini kejam!!

  " Imam, saya nak bercakap sedikit dengan imam, boleh ke?" tanya lelaki empat puluhan itu kepada Imam Syariff yang bersalaman dengan beberapa hadirin lelaki yang melintasinya.

  "  Boleh Datuk. Silakan." Ujar Imam Syariff. Mereka bergerak keluar dari kawasan kubur itu meninggalkan Laila dan ibunya di situ.

  Laila masih berteleku di sisi timbunan tanah. Tidak dihiraukan lututnya yang mula basah dek tanah lembab yang kehujanan sejak semalam. Syukurlah hujan tidak turun ketika pemakaman ibunya berlangsung tadi.

  Nenek tua yang sempat bersalaman dengan saudara mara serta jiran tetangga, sebelum menghampiri cucunya. Dijenguk wajah yang basah itu. Mendung sungguh raut cucunya itu. Merah hidung dan matanya. Raut itu saling tidak tumpah persis Jane.

  " Laila, mari kita pulang. Malam ni, kita buat tahlil untuk mummy." Ujar si nenek.

  " Laila tak nak balik. Nak duduk sini temankan mummy! Laila tak nak balik!!" gadis itu menjerit tiba-tiba. Tubuhnya dibanting ke atas kubur mummynya. Memeluk timbunan itu umpama mummynya yang dipeluk saat ini.

  Nenek tua itu mengalirkan air mata melihatkan keadaan cucunya. Ya Allah...beratnya dugaan yang Engkau berikan pada cucuku. Ringankanlah beban perasaannya ya Allah...doa nenek di dalam hatinya. Dia memaut bahu Laila. Namun, Laila mengeraskan tubuhnya, tanda tidak mahu ke mana-mana.

  " Jangan begini sayang. Kasihan mummy. Nanti dia tak tenang di sana. Laila kena banyakkan berdoa, moga mummy aman, kita pulang ya sayang?" Nenek Sofiah cuba memujuk cucunya itu.

  " Tak mahu. Izinkanlah Laila di sini Nenek Sofy. Laila nak temankan mummy sekejap pun jadilah...." rayu Laila bersama rembesan air mata. Nenek Sofiah menarik nafas panjang.

NOVEL : MIMPIKAN AKU PLEASE!Where stories live. Discover now