BAB 31 - MIMPIKAN AKU PLEASE!

398 21 7
                                    


"Haikal mau tambah nasi lagi?" tanya Chik yang berasal dari Surabaya, bekerja dengan Akbar sudah empat tahun. Dia bingung juga apabila Akbar pulang tadi dengan membawa seorang kanak-kanak lelaki seusia anaknya sendiri dan hanya diperkenalkan oleh Akbar sebagai Haikal. Dan akan tinggal di situ sementara waktu. Chik diminta menjaganya sementara Akbar bekerja.

"Kenyang, makcik." Jawab Haikal. Inilah kali pertama dia berasa kenyang begitu sejak ibunya meninggal dunia. Selalunya, hanya makanan seperti roti potong dan mentega timbang yang sering dijamahnya. Jarang sekali dapat makan nasi yang selalunya berlaukkan ikan kembung kering dan kicap sahaja. Dan apabila arwah ibunya sakit kuat, tong sampah menjadi tempatnya menyelongkar semasa Haikal keluar meminta sedekah, jika ada sesiapa yang terlebih rezeki dan membuangnya di situ. Namun, dia tidak pernah merungut, kerana itulah rezeki kurniaan Allah SWT kepadanya.

'Mak cik Chik memang baik.' Dia teringatkan arwah ibunya. Sedih menggigit tangkai hatinya.

"Lepas ni, Chik bawa Haikal mandi. Ini ada Chik bawakkan baju." Seperti permintaan Akbar tadi, Chik pulang ke rumah dan membawa baju dan seluar anaknya untuk dipinjam sebentar. Pesanan lelaki itu untuk memberi makan budak itu juga dipatuhi. Anak siapalah ni? " Nampak kebulur betul, Chik tolong ya?" pinta Akbar tadi sebelum memecut motorsikalnya.

"Baiklah." Jawab Haikal menebarkan pandangannya ke sekeliling dapur bersih itu sambil mulutnya sibuk mengunyah nasi. Chik memasakkannya nasi putih, sup sayur, dan ayam goreng. Nikmatnya tidak terkata! Seumur hidupnya, inilah kali pertama dia menginjakkan kaki di rumah sebesar dan secantik itu.

********************

"Tuan, saya duluan ya?" Chik meminta diri untuk pulang. Suaminya juga sudah datang untuk menjemputnya pulang sebelum suaminya ke tempat kerja kerana jalan untuk ke rumahnya yang hanya turun ke kaki bukit yang menempatkan rumah Akbar, agak sunyi dan kelam. Hanya lampu laman setinggi lutut sahaja yang berderetan menerangi jalan sehingga ke kaki bukit. Kawasan kediaman itu banyak ditanam dengan pokok pine dan angsana kuning. Siangnya memanglah redup dan damai, tetapi apabila malam, boleh tahan seramnya.

" Ya. Terima kasih, Chik. Boleh ke saya nak minta Chik tolong jaga budak ni sementara waktu? Saya akan bayar lebih pada Chik." Akbar bertanya. Runsing memikirkan ke mana harus dibawa Haikal. Dia manalah tahu menguruskan budak kecik. Nasib baik dah besar, kalau tak lagi haru dibuatnya. Kalau jadi begitu, mahu sahaja dia ajak Laila kahwin dengannya dan menjaga kanak-kanak itu bersama-sama! Hesy! Tingginya angan-angan...

"Waduh! Nggak usah ngerepotin bayar saya lebih, tuan. Saya nggak kisah, saya bisa aja menjaga Haikal." Chik menolak. Segan jadinya. Gajinya juga agak banyak diberikan Akbar setiap bulan untuk menampung hidup mereka lima beranak ditambah lagi dengan gaji suaminya.

"Tak, memang saya akan bayar. Chik selalu di sini sampai pukul empat aje. Ini sampai malam. Ambik Chik." Akbar menghulurkan dua keping not lima puluh ke tangan Chik yang tidak punya pilihan selain menerima. " Terima kasih Chik."

"Sama-sama tuan. Terima kasih." Ucap Chik sebelum berlalu.

Akbar berjalan masuk ke rumahnya. Topi keledar diletakkan di atas meja konsul di tepi dinding bersama kunci motor.

Kakinya melangkah ke ruang menonton televisyen apabila mendengar bunyi dari situ. Haikal sedang menonton rancangan kartun. Serta-merta kanak-kanak itu kelihatan agak takut-takut. Kepalanya menunduk merenung lantai. Akbar tidak tahu apa yang harus dia katakan itu. Suasana agak janggal diantara mereka.

"Kau dah makan?" akhirnya Akbar membuka mulut bertanya. Kasihan pula melihat Haikal yang menikus itu.

"Su..sudah bang." Jawab Haikal tergagap-gagap. Kecut perutnya hendak bertentang mata dengan Akbar.

NOVEL : MIMPIKAN AKU PLEASE!Where stories live. Discover now