"Aku terima nikahnya Laila Elise Katrina binti Mokhtar dengan mas kahwin yang tersebut, tunai!" lancar sekali lafaz akad meluncuri bibir Akbar.
Kedengaran jelas di pendengaran Tan Sri Mokhtar dan mereka yang hadir.
Mulai saat itu, bermulalah hidup Laila Elise Katrina sebagai seorang isteri kepada Akbar Adil Haikasy. Setitis air mata menuruni lekuk pipinya. Air mata gembira yang telah melenyapkan hiba di hatinya.
Sejak mereka masuk tadi di dalam masjid, Tan Sri Mokhtar tidak menegurnya langsung, mengundang pilu di hati Elise.
Dia berbaju kurung moden putih dan hanya menutupi kepalanya dengan selendang yang dibelinya semalam. Akbar yang sedang membelakangkannya juga berbaju Melayu warna yang sama dengannya.
Demi menjaga hatinya, Akbar sanggup memakai baju Melayu sepasang lengkap dengan samping dan songkok. Semuanya dibeli dari pusat membeli belah berhadapan dengan Great Pan's, tidak lama selepas pertemuan mereka dengan Tan Sri Mokhtar.
Nenek Sofiah tidak dapat hadir kerana kurang sihat. Elise hanya bercakap dengan nenek Sofiah melalui telefon semalam mengenai pernikahannya dan memberitahu bahawa dia tidak pernah melakukan apa yang Tan Sri Mokhtar fikirkan. Dan yang melegakan hati Elise adalah nenek Sofiah percayakannya.
Sebelah Akbar pula tiada siapa yang datang, keluarga Akbar berada di luar negara menghantar Arina ke London. Akbar juga memberitahu Elise bahawa dia tidak memberitahu kedua mama dan papanya tentang majlis mereka hari ini.
Akbar hendak menunggu mereka pulang barulah hendak diumumkan. Kerana dia tidak mahu campur tangan papa yang seratus peratus tidak akan bersetuju dengan pernikahan tergesa-gesa ini. Akbar tidak peduli itu semua kerana hatinya bulat untuk mengahwini Elise.
Selepas bersalam dengan Tan Sri Mokhtar yang kini adalah bapa mentuanya, para saksi, Akbar menghampiri isteri yang baru dikahwininya.
Tiga tetamu perempuan dari kalangan keluarga Tan Sri Mokhtar ada menemani Elise, Akbar duduk di hadapan Elise. Isterinya itu walaupun tidak mengenakan solekan tebal seperti pengantin yang lain, sudah cukup cantik dari biasa.
Akbar tersenyum manis. Elise membalas seadanya. Bukan tidak gembira, tetapi hatinya masih terperanjat dengan apa yang berlaku.
"Sayang..." bisik Akbar memanggil lembut. Tangan Elise dicapai, lalu cincin emas putih yang selama ini tersarung di jari kelingking kirinya dicabut lalu disarungkan ke jari manis kiri Elise. Muat! Air mata Elise sekali lagi menitis. Akbar menyekanya dengan hujung jari.
"Don't cry, my dear wife..." Ucapnya lembut. Dia menarik Elise bangun bersamanya. Elise kemudian mendekati daddynya yang baru hendak melangkah keluar dari situ.
"Daddy!" panggil Elise. Langkah Tan Sri Mokhtar terhenti. "Terima kasih atas segalanya." Ujar Elise, menghulurkan tangan kepada Tan Sri Mokhtar yang mendiamkan diri. Tan sri Mokhtar lambat-lambat menghulurkan tangannya.
Elise capai tangan itu dan mengucupnya.
Hati Tan Sri Mokhtar amat tersentuh. Jauh di lubuk hatinya, Tan Sri ingin memeluk anaknya itu, erat. Tetapi akalnya melarang keras. Dia meleraikankan tangan lembut itu dari tangannya, lalu pantas keluar dari situ.
Bibik Ati menghampiri Elise lalu memeluk dan mencium dahinya. "Bik sayang non Elise. Jangan ambil hati sama Tan Sri, ya? Lama-lama nanti elok lah." ujar Bibik Ati penuh kasih.
Elise hanya mengangguk. Bibik Ati kemudian meminta diri bersama pak Hardi meninggalkan ruang masjid itu.
Elise menangis teresak-esak senyap melihat kerasnya hati seorang bapa. Langsung tidak mempedulikannya. Salah apa yang telah dilakukannya? Akbar memaut bahunya, menyalurkan semangat. Mereka juga beransur keluar dari masjid.
YOU ARE READING
NOVEL : MIMPIKAN AKU PLEASE!
RomanceMimpikan Aku Please! adalah novel terbitan Kaki Novel Sinopsis: Elise, seorang gadis yang cekal. Demi melindungi dirinya dari lelaki si hidung belang, Elise tega meninggalkan majlis akad nikahnya sendiri tanpa mempedulikan reputasi si ayah. Perbuata...