Matahari petang menerobos masuk bersama-sama semilir hangat dari bendang luas terbentang.
Tampak menarik ukiran halus cengal di atas tingkap apabila sinaran matahari berpusu-pusu masuk melalui celahannya. Nenek Sofiah menutup perlahan kitab Al-Quran yang dahulunya kepunyaan arwah suaminya.
Selepas sahaja dia menunaikan solat Asar tadi, terus sahaja Nenek Sofiah meneruskan pula rutin hariannya membaca kitab suci itu sementara menunggu Maghrib menjelma.
" Nek, Angah pulang dulu ya? Besok angah datang lagi." Beritahu gadis muda berusia 16 tahun yang bernama Alia itu.
" Yalah, angah hati-hati ya. Dah nak senja ni. Kirim salam sama mak ya." Ujar Nenek Sofiah. Alia adalah seorang anak yang rajin.
Selalu dia menolong menyapu lantai rumah Nenek Sofiah.Kadang-kala membawa bersama kerja sekolahnya untuk dibuat di sini. Rumah Nenek Sofiah tidak pernah sunyi dengan kehadiran anak-anak tetangganya.
Tetapi manakan sama dengan dengan darah daging sendiri. Nenek Sofiah terlalu rindukan cucu tunggalnya yang seorang itu. Sudah dua bulan Laila tidak pulang ke kampung. Selepas sahaja upacara pernikahan tidak jadi Laila, cucunya itu terus menghilangkan diri.
Nenek Sofiah juga tidak bersetuju dengan cadangan Tan Sri Mokhtar untuk memaksa Laila bernikah tanpa kerelaan cucunya, namun, apalah daya dia menghalang. Sudahnya, keberadaan Laila sekarang tiada siapa yang tahu.
Setiap hari dia menunggu panggilan dari Laila, tiada yang kunjung tiba. Teringat peristiwa singkat petang 3 hari yang lalu bersama anak lelaki tunggalnya, Tan Sri Mokhtar.
" Macam mana hubungan kamu dua beranak?" Tanya Nenek Sofiah. Teringat pada cucunya.
Tan Sri Mokhtar melepaskan keluhannya. " Hmm...macam itulah mak. Degil benar budak tu!"
"Dah kamu tu pun degil jugak. Maunya Laila tak mengikut perangai kamu yang keras kepala tu. Cubalah berbaik-baik. Keluarga kamu bukan besar. Ada Laila aje." bidas Nenek Sofiah lagi. Dia tidak mahu melihat keluarga mereka terus berpecah begitu.
Sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia mahu melihat anaknya berbaik dengan cucunya semula, itu yang paling penting.
"Cukup-cukuplah mengumpul harta tu Mokhtar. Laila tu sorang aje anak kamu. Kenapa kamu nak buang dia macam tu. Entah apa jadi pada cucu aku duduk sorang kat luar macam tu." Nenek Sofiah terus-terusan membebel.
Tan Sri Mokhtar hanya diam.
" Mak, Mokhtar dah buat semuanya supaya Elise balik semula ke rumah..." pantas sahaja nenek Sofiah memotong.
" Bukan dengan memotong semua kad-kad kredit, tahan semua sijil dia! Itu ke yang kamu kata kamu dah usaha?" jerkah nenek Sofiah lagi. Geram sungguh dengan anaknya itu. Natijahnya, Elise langsung tidak pulang ke kampung selama berbulan-bulan selepas dia lari dari rumah!
Puncanya, gadis itu takut Tan Sri Mokhtar mendapat tahu keberadaannya di Kampung Beringin dan datang mengheretnya untuk mengahwinkan dia dengan Zarith.
" Mak...Mokhtar tau nak jaga anak. Mak jangan bimbanglah." Tan Sri Mokhtar mempertahankan diri.
" Mokhtar, kalau kamu tak berbaik dengan Laila, dia semakin jauh dari kamu. Kamu nak kehilangan dia ke? Aku tak faham sungguh ni, kamu sayang ke tak dengan anak kamu tu?" tekan Nenek Sofiah lagi.
" Soalan apa ni mak? Mokhtar pulang dululah. Senang-senang nanti Mokhtar balik." Lantas dia bangun dari pangkin. Pantas tangan ibunya disalami sambil menghulur segumpal wang ke dalam tangan ibunya, sebelum langkah kakinya menjauh dari Nenek Sofiah. Panas punggung hendak duduk menghadap emaknya yang selalu membebel tentang Elise setiap kali dia pulang ke sini.
Azan Maghrib yang berkumandang, membawa Nenek Sofiah tersedar. " Astaghfurillahalazim," Nenek Sofiah meraup perlahan mukanya. Setitis air mata tumpah jua ke lekuk pipinya yang dalam.
*********************
" Nak ke mana ni encik?" tanya lelaki berjaket coklat itu kepada Akim. Dia sudah memandu keluar dari kawasan kondominium mewah itu.
" Tempat biasa Joe." Balas Akim ringkas. Dia mahu menghabiskan masanya di tempat Akbar hari ini. Seperti biasa dia akan pergi ke Great Pan's tanpa memberitahu Akbar dahulu.
Joe tidak menjawab, hanya terus memandu ke tempat yang diarahkan. Tahu benar tempat biasa yang dimaksudkan Akim itu. Seketika kemudian, mereka sampai di tempat yang sudah tiga bulan tidak dijengahnya. Hanya sesekali dia menelefon Akbar atau Akbar yang menelefonnya.
Hummer hitam itu berhenti betul-betul di hadapan pintu masuk Great Pan's. Joe bingkas keluar dari tempatnya dan tergesa-gesa membuka pintu untuk Akim. Nampaknya ada wartawan yang mengekori mereka. Menyibuk betul!
" Alexender ! Alexender! Merlina tak ikut awak balik ke?" wartawan lelaki itu menghulurkan alat perakamnya ke hadapan Akim. Joe menolak sedikit tangan lelaki itu. " Maaf encik." Ujar Joe, bermuka serius. Dan seorang wartawan perempuan pula sibuk menghulurkan mikrofon. Akim menyabarkan hatinya. Sudahlah ketika dia keluar dari balai ketibaan dua hari yang lalu, ramai pihak media yang sedang menunggunya. Jenuh juga dia melepaskan diri. Ingatkan hari ini dia boleh mendapat privasi, dan hanya seorang dari dua pengawalnya sahaja yang diperlukan, nampaknya keadaan sama sahaja.
" Akim! Betul ke gossip yang Akim tengah hangat bercinta dengan pereka fesyen terkenal, Merlina Khadijaa?" tanya seorang wartawan perempuan. Joe menghadang tangannya di hadapan perempuan itu. Jurugambar pula tidak putus-putus menekan punat kameranya. Akim tersenyum hambar. Letih dan tidak suka. Dia ke sini untuk bersantai. Dan jika keadaan kecoh ini berterusan, mereka akan menarik perhatian dan semakin ramai orang akan tahu yang dia berada di sini.
"Kalau saya bercinta pun itu urusan saya dan ianya kisah peribadi. If you'll excuse me." Terus sahaja Akim melangkah masuk ke Great Pan's. Joe menghalang wartawan itu untuk mengikut Akim masuk ke restoran Great Pan's. Mereka tidak berpuas hati dengan jawapan yang agak biadap Akim itu dan tiada apa yang boleh mereka lakukan seperti yang dilakukan kepada sesetengah artis.
Pihak media memainkan peranan penting dalam mengangkat kerjaya seseorang yang bergelar anak seni. Tetapi Akim bukan artis mahupun pelakon cuma popularitinya sebagai model terkenal bertaraf antarabangsa yang bermakna ramai peminat dan semua mahukan cerita-cerita panas tentangnya. Dan lelaki itu tidak kisah sangat dengan wartawan-wartawan tempatan.
*******************
YOU ARE READING
NOVEL : MIMPIKAN AKU PLEASE!
RomanceMimpikan Aku Please! adalah novel terbitan Kaki Novel Sinopsis: Elise, seorang gadis yang cekal. Demi melindungi dirinya dari lelaki si hidung belang, Elise tega meninggalkan majlis akad nikahnya sendiri tanpa mempedulikan reputasi si ayah. Perbuata...