BAB 19 - MIMPIKAN AKU PLEASE!

410 17 0
                                    


Elise sedang mengerekot selesa di atas katilnya. Sebaik sahaja dia turun dari kereta dan berlari masuk ke dalam bilik sewanya, hujan turun sangat lebat. Keluar dengan Akim tadi memang menyeronokkan. Sudah lama rasanya tidak berada dekat dengan orang yang benar-benar mengenalinya seperti Akim. Selepas mandi, dia terus menunaikan solat Asarnya yang sudah lewat itu.

Dia menyelak-nyelak majalah di tangannya. Namun, tiada satu pun yang masuk ke benaknya. Kata-kata dan segala cerita Akim tadi berpusar-pusar di fikirannya. Segala kisah tentang Akbar yang selama ini menjadi rahsia lelaki perengus itu. 

Telahannya selama ini memang benar mengenai lelaki itu. Akbar seorang yang baik cuma dia tidak tahu bagaimana hendak menunjukkannya kepada sesiapa selain orang tertentu. Dan Elise mahu menjadi orang yang tertentu itu.

Hujan di luar sudah hampir berhenti, cuma titisan kecil sahaja yang masih tidak jemu merembes bumi yang beberapa hari ini gersang. Tuhan Maha Kaya. Jantungnya tiba-tiba berdebar kencang, tidak menentu. Malam belum menjengah. Elise tidak sedap hati kerana jika dia berasa begitu, sesuatu yang buruk akan berlaku. Tetapi Elise tidak mengendahkannya. 

'Tak ada apa-apa kot' dia kembali meromok di dalam selimutnya. Hujan pun dah berhenti. Baru dia teringat yang dia belum membeli makanan untuk malam ini. Alamat kebulurlah jika dia tidak keluar sekarang.

Elise bingkas menukar pakaiannya. Hanya t-shirt, jeans dan sweater sahaja disarungkan. Rambutnya disanggul kemas lalu hood baju panasnya dikelubungkan ke kepalanya. Tabung ditarik dan beberapa keping not RM 5.00 dikeluarkan lalu diperosokkan ke dalam poketnya. Kunci Great Pan's diambil sekali.

Elise berasa yang dia mesti ke Great Pan's untuk mengambil telefon bimbit dan dompetnya. Terasa tidak lengkap tanpa keduanya. Setelah mengunci pintu, dia pun keluar dari bangunan itu.

********************

Akbar mula bermandi peluh. Dia benar-benar tersepit sekarang. BUM!! Pintu peti ais ditendang sekuat-kuat hatinya untuk mencuba nasib kot-kot terbuka serta melepaskan rasa sakit hatinya. Namun, pintu besi itu hanya kemik sedikit, langsung pegun. Kakinya pula yang sakit.

"Arggghhhh!!!" Akbar menjerit kuat sambil menumbuk pula pintu itu. Dia terasa begitu tidak berdaya saat itu. Kecewa sungguh dengan nasibnya. 

Dia melihat melalui kaca tebal sebesar kertas A4 di pintu peti itu dan sempat menyumpah seranah kerana telefonnya ada di sebelah jaketnya. Satu-satunya peluang untuk menyelamatkan diri sudah tinggal kenangan. Malang sungguh harinya. Dia mula terasa sesak memandangkan udara semakin kurang. Kepalanya mula terasa pening. Tetapi Akbar tetap bertahan dari terlelap kerana keadaan yang kurang udara itu akan membuatkan dia pengsan, koma, malahan maut.

Wajah mama terbayang di ruang matanya. Akbar melorot di pintu. Dia bersandar kecewa. Tidak lama, wajah Laila mengganti, menggamit perasaan walang kerana dia mungkin tidak akan bertemu gadis itu esok, atau hari-hari seterusnya. Dia melepaskan keluhannya. Badannya mula terasa lemah. 

Dia hanya akan dijumpai esok oleh pekerja-pekerjanya. Itu pun jika mereka memecahkan pintu kerana dia telah mengunci pintu belakang tadi. Dan hanya dia dan Laila sahaja yang mempunyai kunci. Bilik itu mula terasa begitu sejuk sekali. Nafasnya kian semput. Pandangan Akbar mula kabur. 'Oh Tuhan, tolonglah aku....' bisik sanubarinya. 'Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar dan Maha Melihat' kata-kata Laila terngiang-ngiang di cuping telinganya.

*********************

Elise membeli nasi goreng ayam di restoran tidak jauh dari Great Pan's. Dia teragak-agak pula sama ada hendak pergi mendapatkan telefon dan dompetnya ataupun tidak. Terasa malas nak berjalan. Maghrib juga telah masuk. Hatinya kembali terasa tidak enak dan meronta-ronta untuk berjalan ke Great Pan's. 

NOVEL : MIMPIKAN AKU PLEASE!Where stories live. Discover now