BAB 37 - MIMPIKAN AKU PLEASE!

392 19 2
                                    


"Anak tak guna!!!" Tan Sri Mokhtar memekik kuat dari dalam pejabatnya. Gambar-gambar di tangannya direnyuk sepenuh hati. Dia terduduk semula di kerusinya. Rasa menyucuk di dada kirinya.

"Tan Sri okey?" tanya lelaki penyiasat di hadapannya. Risau melihat raut wajah Tan Sri Mokhtar yang agak pucat itu.

Tan Sri Mokhtar pantas membuka laci mejanya dan mengeluarkan sebotol pil dan menelan sebiji bersama air suam. Memejamkan matanya sebentar sambil menyandarkan kepala ke kerusi. Nafasnya ditarik dan dihembus perlahan-lahan.

"Saya okey. Terima kasih atas maklumat awak ni. Teruskan intipan. You may go." ujar Tan Sri Mokhtar. Lelaki penyiasat itu mengangguk dan keluar dari situ.

"Kenapa Elise jadi begini...?" rintihnya. Hatinya sakit melihat gambar Elise bersama seorang lelaki yang mungkin hanya tua sedikit dari anaknya itu. Mereka kelihatan mesra. 

Menurut penyiasatnya, lelaki itu adalah majikan restoran tempat anaknya bekerja dan dua malam lepas Elise bermalam di rumah lelaki itu. Apakah hidup di luar membuatkan Elise menjadi liar? Apakah mereka mula tinggal bersama dan bersekedudukan?! Dunia sekarang terlalu banyak yang haram dari yang halal.

Dia mesti lakukan sesuatu untuk menyelamatkan Elise dari terus membuat maksiat begitu. Tan Sri Mokhtar terasa dia benar-benar sudah salah mendidik anaknya. Kalaulah Jane masih hidup pasti hatinya akan terluka melihat satu-satunya anak mereka menconteng arang ke mukanya! Semuanya mesti dihentikan segera. Semua maklumat tentang teman lelaki anaknya ini sudah di dalam tangannya.

"Tan Sri, boleh saya dapatkan apa-apa untuk Tan Sri sebelum Tan Sri berangkat?" pertanyaan lembut dari setiausahanya yang terjengul dari balik pintu yang terbuka itu membuatkan dia menarik nafas panjang. Berusaha menenangkan jiwanya.

"No, Winda. Thanks." Jawabnya. Dia akan berada di Beijing untuk seminggu. Selepas itu dia akan berdepan dengan masalah ini.

********************

Dahi Ajit berkerut melihat lelaki perengus di hadapannya. Dia melihat ke arah King yang hanya menjungkitkan bahu.

"Bos okey ke hari ni?" tanya Ajit berhati-hati. Hairan sungguh melihat Akbar yang bersiul-siul riang. Tadi apabila Akbar sampai, ucapan selamat pagi dan salam diucapkan kepada mereka dengan senyuman yang lebar. Akbar tersalah makan atau tersampuk hantu?

"Hah? Aku sihat. Kenapa?" Akbar bertanya kembali sambil mengalihkan daging stik anak lembunya. Berdesir bunyi minyak. Dia menggantikan kerja Sonja untuk beberapa hari ini sebelum Sonja pulang tiga hari lagi.

"Takde. Macam lain aje hari ni." balas Jiji menyampuk. Akbar ketawa besar melihat wajah-wajah yang berkerut hairan pekerja-pekerjanya. Mereka tidak tahu apa yang telah berlaku semalam...

"Aku happy aje. Okey guys, continue your work. Jimmy, steak for table 8!" panggil Akbar kepada Jimmy yang masuk ke dapur. Jimmy pun hairan melihat majikannya itu. Siap tersenyum lagi kepadanya. Semangatnya lain macam hari ini. Hah! Mesti ada yang tak kena...Jimmy pantas mengangkat hidangan itu ke depan. Dia hendak bergosip dengan isterinya!

*****************

Haikal membanting-banting bola keranjang ke lantai simen sambil berlari-lari anak. Gadis di belakangnya terjerit-jerit teruja.

"Hesy! Macam mana kak Rin nak takle bola tu. Haikal laju sangat!" seru Arina yang kepenatan. Dia mengikat semula rambutnya yang serabai. Haikal ketawa besar melihat kakak angkatnya tidak dapat merampas bola dari tangannya. Memandangkan cuti sekolah di sekolah swasta yang Puan Sri Fazira daftarkan untuknya tempoh hari hanya tiga hari sebelum cuti pertengahan tahun bermula, Haikal hanya akan mula bersekolah selepas sekolah dibuka semula nanti. Sekolah itu adalah sekolah yang sama along Akbar dan kak Arinanya pergi semasa zaman mereka sekolah dahulu. Keluarga ini amat baik kepadanya. Bertuah sungguh dia diterima di dalam keluarga kaya-raya itu.

NOVEL : MIMPIKAN AKU PLEASE!Where stories live. Discover now