Pintu belakang yang dimasukinya itu dihempas kuat. Gadis yang sedang memotong bawang itu tersentak terkejut.
Begitu juga rakan-rakannya yang lain. Pantas diurut dadanya. Tetapi dia juga seperti pekerja yang lain, tidak berani menegur, jika muka majikan merangkap ketua chef mereka mencuka seperti tertelan jadam! Tetapi hampir sepanjang masa wajah lelaki itu memang seperti tertelan jadam...
"Mana fillet yang aku suruh kau orang bawak keluar tadi??!" ujarnya dengan suara yang meninggi. Dia merentap apron dan menyarung kasar ke tubuhnya yang tinggi ala model itu. Dia menyambar kertas kecil yang tertulis pesanan khas yang mesti dia sendiri memasaknya.
Pantas tangannya menghidupkan api di buntut sauce pan. Sambil tangannya lincah memasukkan itu ini, matanya tidak menangkap kelibat isi ikan salmon yang rasanya sebelum dia keluar untuk 10 minit tadi, dia sudah menyuruh pekerjanya keluarkan dari bilik sejuk beku untuk dimasak.
Seramai enam orang pekerja melihat sesama sendiri kerana tiada sesiapa yang tahu menahu tentang fillet atau potongan daging atau ikan tanpa tulang yang disebutkan oleh lelaki perengus itu.
"Bodoh betul! Benda kecik macam tu pun tak boleh nak ikut ke? Sonja! Kau pergi ambik fillet tu!" jerkahnya kepada gadis yang memotong bawang itu.
Sonja, satu-satunya pekerja wanita di situ, terus meninggalkan bawangnya dan pergi ke bilik sejuk beku yang besar di hujung ruang dapur itu. Tak sampai seminit, gadis India itu kembali dan meletakkan potongan ikan salmon itu di hadapan lelaki itu. Tanpa langsung mengucapkan terima kasih, dia pantas meletakkannya ke atas kuali lebar yang sudah sedia berasap itu.
Sebentar kemudian, diletakkan ikan itu di atas pinggan putih yang entah apa bentuknya dan sos lemon mentega yang berwarna kekuningan yang sudah disediakannya sebentar tadi ke atas ikan itu dan diconteng-conteng pula di bahagian pinggan yang kosong. Kemudian diletakkan pula hiasan dari daun selasih.
Tak sampai 10 saat kemudian, lelaki itu meletakkan hidangan di atas kaunter dan menekan loceng tanda hidangan sedia dihantar kepada pelanggannya. Selalunya restoran kecil tetapi cantik dan mewah itu dipenuhi oleh pelanggan untuk makan tengah hari.
Lelaki itu meneruskan kerjanya untuk hidangan seterusnya. Daging stik pula menjadi sasaran.
Tiba-tiba, telefon lelaki itu berbunyi nyaring. " Jack! Take over the steak!" arahnya bersahaja kepada lelaki muda yang baru enam bulan bekerja dengannya, tetapi sudah mahir dalam menyediakan pelbagai hidangan.
Yalah, siapa tak mahir, kerana jika hendak bekerja di dapur milik lelaki perengus ini, mestilah lulus ujian dan tahan maki serta cekap dalam masa dua minggu! Dan tak ramai yang tahan bekerja dengan bos perengus tahap kedalaman lautan Atlantis itu! Kepala anginnya usah dicakap. Kalau sehari tak mengamuk, memang itulah hari bahagia bagi mereka, para pekerja Great Pan's...err, boleh tak nak cakap perasaan bahagia itu, lebih dari dapat gaji pada setiap hujung bulan?
YOU ARE READING
NOVEL : MIMPIKAN AKU PLEASE!
RomantizmMimpikan Aku Please! adalah novel terbitan Kaki Novel Sinopsis: Elise, seorang gadis yang cekal. Demi melindungi dirinya dari lelaki si hidung belang, Elise tega meninggalkan majlis akad nikahnya sendiri tanpa mempedulikan reputasi si ayah. Perbuata...