" Assalamualaikum Angah. Nek ni." Sapa Nenek Sofiah setelah panggilannya bersambut di sebelah sana.
" Waalaikumsalam. Ya nek?" balas Alia.
" Angah datang rumah nek petang ni boleh? Nek ada buat pengat pisang lebih. Datang makan ya?" pelawa Nenek Sofiah.
" Boleh nek! Boleh. Lama nenek tak masak pengat pisang." Seru Alia riang. Sudah dua hari juga dia tidak menjenguk nenek Sofiah kerana sibuk dengan kelas-kelas tambahan di sekolah dan kelas berbayar di bandar pada malam hari. Dia mahu berjaya seperti cucu nenek Sofiah, kak Laila yang melanjutkan pelajaran ke luar negara. 'Hmm...sudah lama tidak mendengar khabar dari gadis itu. Ke mana menghilang agaknya?'
" Banyak pulak nenek buat. Angah datang ya?" pesan nenek Sofiah sekali lagi. Rindu kepada Elise terubat sedikit dengan kehadiran Alia. Telefonnya diletak setelah salam Alia dijawab.
Setitis air mata menuruni lekuk pipinya yang sudah berkedut dimamah usia. Pengat pisang adalah kegemaran Elise. Langsung tiada khabar berita dari cucunya setelah Elise menelefonnya tempoh hari. Entah di mana gadis itu berada. Selamatkah? Setiap hari, apabila membuka mata, Elise sahaja yang berada di ingatannya.
Dalam setiap doa Nenek Sofiah setiap kali selepas solat, Elise tidak pernah luput dari titipan doanya kepada Yang Maha Esa supaya Elise dilindungi di mana sahaja dia berada. Hari ini, demi sahaja teringatkan cucu tunggalnya, nenek Sofiah membuatkan pengat itu. Marah kepada Tan Sri Mokhtar tidak pernah reda apabila mengenangkan Elise.
" Assalamualaikum..." terdengar suara sayup-sayup di luar rumah. Nenek Sofiah mengelap air mata dengan lengan bajunya. Dia bingkas bangun sambil menjawab salam tamunya itu. Sebaik sahaja pintu dibuka, Nenek Sofiah terhenti seketika merenung orang yang selama ini amat dirinduinya siang dan malam.
" Laila!!" seru Nenek Sofiah bersama air mata yang mengalir laju. Air mata terharu, dan gembira. Syukur pada Allah SWT kerana memakbulkan doanya untuk melihat Elise sekali lagi sebelum dia menutup mata.
" Nek!! Ampunkan Laila nek..." suara Elise tersekat-sekat. Dia pantas memanjat tangga batu rumah kayu itu mendapatkan tubuh tua di muka pintu memeluk Nenek Sofiah yang sedia membuka tangannya untuk memeluk Elise.
Elise berusaha menahan air matanya. Kononnya hendak tunjuk tabah di hadapan neneknya, tetapi, dia pula yang menangis beria-ria sekarang. Air matanya tidak dapat ditahahan lagi kerana rindu yang membuak-buak terhadap neneknya. Mendengar suara nenek Sofiah menjawab salam dari dalam rumah sebentar tadi sudah meruntunkan hatinya, inikan pulak melihat nenek Sofiah berdiri di muka pintu.
" Ya Allah!! Laila ke mana, cu? Risau nenek. Kenapa Laila tak balik ke sini? Kenapa langsung tak telefon lepas hari tu!" nenek Sofiah sempat menampar-nampar tubuh cucunya perlahan. Segala kerisauannya sudah berakhir apabila Laila Elise Katrina berada di hadapan matanya.
" Sekarang nenek dah boleh mati. Dah tengok cucu nenek seorang ni!" marah nenek Sofiah, bergurau. Dia melepaskan pelukannya, memegang pula wajah Elise untuk mengamati raut saling tidak tumpah seperti wajah arwah Jane.
" Nek Sofy jangan la cakap macam tu...Laila minta ampun dengan nenek! Laila takut nak balik. Takut daddy heret Laila pulang ke KL dan paksa Laila kahwin dengan lelaki tu. Ampunkan Laila nek!" luah Elise bersama esakkan yang panjang.
" Dah..Dah.. nenek bergurau aje. Patutlah nenek rindu sangat dengan Laila hari ini. Siap teringat nak masak pengat pisang lagi, rupanya ada peminat nak balik!" seru Nenek Sofiah gembira. Hatinya sungguh bahagia sekarang.
" Ya ke? Macam tau-tau aje Laila nak balik, kan?" dia mengelap air matanya. Dia benar-benar rindukan nenek!
" Mestilah! Jom masuk. Laila solat dulu. Lepas tu kita makan. Boleh nak 'mengupdate' cerita sambil makan." Nenek Sofiah bergurau. Elise ketawa besar mendengar kata-kata lucu nenek Sofiah itu. Nenek Sofiah memang suka bergurau.
YOU ARE READING
NOVEL : MIMPIKAN AKU PLEASE!
RomanceMimpikan Aku Please! adalah novel terbitan Kaki Novel Sinopsis: Elise, seorang gadis yang cekal. Demi melindungi dirinya dari lelaki si hidung belang, Elise tega meninggalkan majlis akad nikahnya sendiri tanpa mempedulikan reputasi si ayah. Perbuata...