BAB 44 - MIMPIKAN AKU PLEASE!

441 14 6
                                    


"Oh, inilah kot, menantu Tan Sri Mokhtar ya?" suara menceceh itu kedengaran jelas. Konon nak bergosip berdua, tetapi nampak sangat hendak orang lain dengar! Dasar pengumpat!

"Ha'ah. Patutlah tak nak terima pinangan anak Imam Syariff. Yalah, budak bandar, mana nak dengan budak kampung macam Arman tu." Ujar suara yang lain.

"Hmm...kahwin pun tergesa-gesa, ada apa-apa ke?" suara itu semakin galak mengata. Telinga Elise serta-merta menjadi nipis. Akbar masih melihat-lihat barang-barang di dalam kedai runcit Pak Amat itu. Elise berusaha menyabarkan dirinya.

"Aku dengar kan Temah, pompuan ni dah duduk serumah dengan laki dia tu sebelum dorang kahwin. Hisy! Nauzubillahiminzalik! Apa nak jadi dengan manusia zaman sekarang kan..ngeri!" suara itu semakin galak.

"Ha'ah kan. Yang tak jadi kahwin dulu pun pasal kes nilah kot. Kesian Mak cik Piah, cucu jadi macam ni." Balas suara satu lagi.

Elise beristighfar, menenangkan hati. Kang ada jugak mulut kunyah selipar! Elise mendekati kedua-dua orang sememangnya dia kenal, pembawang terkenal kampung nenek, Kak Temah dan Kak Eton yang menyenggol antara satu sama lain, melihat Elise mendekati mereka.

"Kak Temah, kak Eton. Dari mengumpat pasal saya, lebih baik kakak-kakak semua balik masak. Jaga anak masing-masing jangan jadi macam saya. Dari nak mengata-ngata benda yang belum tentu benar. Sebab kalau betul, itu mengumpat, kalau tak betul apa yang kak Eton dan kak Temah kata, itu semua fitnah. Dalam Islam, memfitnah ni seperti makan daging saudara sendiri. Dosa menfitnah pula lebih besar dari dosa orang yang berzina. Orang berzina kalau bertaubat, dengan sebenar-benar taubat, Allah akan terima taubatnya. Dosa menfitnah? Hanya akan diampun kan jika orang yang kakak-kakak fitnah itu maafkan segala yang kakak-kakak fitnah dia. Kalau saya ada dosa dengan akak berdua, maafkan saya. Saya balik dulu, assalamualaikum..." ucap Elise bersama senyuman manis. Meninggalkan kedua-dua pengumpat itu tercengang-cengang. Wajah masing-masing seperti Elise baru meludah ke muka mereka.

"Sayang? Dah ke tengok-tengok? Jomlah, Elise nak ajak abang ke satu tempat." Lengan Akbar dipaut. Senyuman manis dihadiahkan buat Akbar. Akbar mendengar apa yang dicakapkan Elise kepada kedua-dua wanita itu tadi.

Hendak saja dia ketawa melihat muka ayam berak kapur mereka. Itulah, sedap sahaja mengutuk mereka. Suka sangat nak jaga tepi kain orang sedangkan kain sendiri koyak rabak.

"You're so bright," Ujar Akbar memuji.

"Hmm?" Elise tidak faham. Akbar menggenggam erat tangannya.

"Apa yang Elise cakap dekat akak dua orang tu." Ujar Akbar mengangkat tangan kepada pak cik motor yang mengangguk ke arahnya. Seronok berjalan kaki di dalam kampung ini. Di sebelah mereka ada anak sungai yang mengalir lancar.

"Ya ke? Elise cuma cakapkan kebenaran, lagipun Elise kenal anak dorang, hampir sebaya Elise, tambah anak Kak Temah. Sama-sama mengaji kat surau. Tak naklah cerita buruk anak dia. Buat dosa aje. Tapi kan bang, entah macam mana kes Elise tidur rumah abang malam tu pecah kat sini. Hairan." Ujar Elise, perlahan. Memikir-mikir sebentar.

"Itulah, hairan macam mana boleh dorang tau. Ah! Tak kisahlah, janji kita tau apa yang kita tak ada hubungan sebelum nikah. Entah apa-apa nak tuduh orang macam tu. Tapi kan sayang, kita memang salah duduk berdua aje malam tu. Nasib baik abang kuat tahan godaan tau." Usik Akbar sambil ketawa kuat.

Fikir semula, waktu itu entah di mana imannya, hanya rasa hormat yang menebal di hatinya terhadap Elise yang membuatkan dia tidak makan godaan syaitan. Hidupnya sebelum itu banyak dipengaruhi gaya hidup barat. Syukur yang hidupnya sekarang sudah jauh berubah.

"Hesy! Elise takkan ikut abang balik malam tu kalau tak kerana Elise kenal abang tau?" balas isterinya. Ngeri juga jika difikirkan jika mereka hilang kawalan malam itu. Astaghfirullahalazim..

"Yalah. That's why you married me right!" gurau Akbar lagi. Akhirnya mereka berhenti di tepi tali air.

"Kita duduk sini. Kejap lagi Elise tunjukkan abang satu benda." Elise mengajak Akbar duduk di bawah pohon asam.

"Nah, ais potong!" Elise menghulurkan sebatang ais beku berwarna kuning kepada Akbar. Meniru cara Elise menggigit hujung ais berwarna merahnya. "Sedap!" serunya teruja apabila rasa ais itu apabila dihisap. Suasana sawah saujana mata memandang. Baru Akbar sedar betapa cantiknya pemandangan seperti itu. dengan burung-burung bangau yang terbang berkumpulan pulang ke sarang. Sungguh luas ciptaan Tuhan. Dari kejauhan, sebuah mesin padi sedang menuai isi bendang. Tidak pernah dia lihat suasana begitu secara langsung. Sempurna dengan Elise di sisinya. Angin sesekali menghembus kuat ke wajahnya. Tangannya erat menggenggam tangan isterinya. Kaki yang direndam di dalam tali air itu terasa dingin nyaman.

"Nasib baik air deras, kalau tak, ada lintah tau!" usik Elise. Akbar ketawa.

"Abang tak takutlah!"

"Hei! Abang ingat. Elise pernah bagitau abang yang Elise selalu datang dengan mummy tengok matahari terbenam kan? Kat sini ke?" tanya Akbar tiba-tiba.

Elise tersenyum. "Ya, abang ingat eh? Kat sinilah selalu Elise duduk dengan mummy, sambil makan aiskrim. Kalau air sikit, Elise tangguk anak ikan kat sini. Betul-betul tempat kita duduk nilah mummy selalu tengok Elise." Air mata bergenang di kelopak matanya. Akbar memeluk bahu Elise, menenangkan.

"Doakan mummy bahagia di sisi Allah, ya? Abang kan ada kat sini, dengan Elise." Pujuk Akbar. Elise mengesat matanya.

"Kalau aje abang dapat kenal mummy." Ujar Elise. Sedikit terkilan yang arwah mummy tidak mengenali Akbar. Namun, siapalah dia hendak mempersoalkan takdir Yang Esa.

"Abang pasti dia seorang wanita yang hebat, sebab Elise juga hebat..." Akbar mengusap-ngusap bahu Elise.

"Bila abang nak bagitau mama dan papa abang yang kita dah kahwin?" tanya Elise tiba-tiba. Perkara ini mesti diselesaikan segera. Tidak patut hal pernikahan mereka disembunyikan. Elise tidak mahu terjadi apa-apa hal di masa hadapan yang boleh meretakkan hubungannya bersama Akbar.

Akbar diam sebentar. "Lepas balik dari sinilah, abang ingat. Lebih lama simpan, lagi banyak masalah. Karang orang kata kita bersekedudukan lagi!" gurau Akbar di hujung kata-katanya. Elise tersengih mendengarnya.

Remang senja mula berlabuh. Benar kata isterinya, matahari yang sedang tenggelam itu sangat cantik. Biasaannya membuatkan sawah kelihatan seperti ladang emas yang terbentang luas. Dia menikmati keindahan yang selama ini sering terlepas pandang. Walau ada di hadapan mata juga tidak diendahkan. Sekarang, Akbar mula menghargai kehidupannya, sehingga ke perkara yang remeh dan kecil.

"Sayang, terima kasih sebab sudi berkongsi apa yang ada dalam hidup Elise dengan abang. Abang tak pernah ada apa yang Elise ada. Zaman kanak-kanak abang tak berwarna-warni macam Elise." Luah Akbar. Elise yang menyandarkan kepalanya di bahu Akbar mengangkat sedikit wajahnya.

"Elise akan kongsi apa sahaja yang ada dalam hidup Elise dengan abang. Apa yang Elise ada sekarang adalah milik abang..." balas Elise.

Jemari yang saling bersulam dieeratkan lagi. Langit yang kemerah-merahan, sang mentari masih berusaha untuk menerangi alam sejenak mungkin sebelum mengalah, memberikan laluan buat bulan dan bintang menghiasi dada langit umpama berlian bertaburan.

bersambung

NOVEL : MIMPIKAN AKU PLEASE!Where stories live. Discover now