" Hesy! Mana pulak bas ni?" rungut Elise sendirian sambil melihat kiri dan sekejap ke kanan. Semua mogok ke??
" Kak, kita kena cepat kak. Nanti ibu saya...ibu saya...!" Haikal hampir meraung. Resah sungguh hatinya. Dia mahu berjalan kaki pulang. Tetapi Elise tidak membenarkan. Kerana bimbangkan keselamatan kanak-kanak itu.
PON..PON!! Elise mahupun Haikal masing-masing terkejut dengan bunyi hon yang kuat itu. Sebuah Audi R8 hitam berkilat berhenti betul-betul di hadapan tempat menunggu bas. Elise sudah tahu gerangan yang datang. Akbar keluar.
" Jom aku hantarkan. Cepat. Bas lambat lagi nak datang," habis berkata begitu, Akbar kembali meloloskan dirinya ke dalam kereta.
Elise tidak banyak pilihan selain mengikut lelaki itu. Peluang di depan mata tidak akan dilepaskan. Memanglah dia berbalah dengan lelaki perengus itu, tetapi hal itu boleh diketepikan kerana Haikal lebih penting sekarang. Sebetulnya dia terharu dengan perhatian yang Akbar berikan kepadanya. Dia tahu Akbar marahkannya tetapi masih mahu membantunya. Apa pun dia tetap sebal dengan sikap lelaki itu terhadap kanak-kanak malang itu.
" Kat mana rumah kau?" tanya Akbar mendatar kepada Haikal yang berada di tempat duduk belakang. Itulah kali pertama dia menaiki kereta. Dan kereta itu sungguh cantik. 'Benarlah, abang garang itu memang kaya.' Tidak mahu mengundang kemarahan abang garang itu, Haikal memberitahu arah ke rumahnya.
******************
" Bos tak nak turun?" tanya Elise apabila kereta diberhentikan di simpang masuk jalan kampung setinggan yang menempatkan rumah Haikal.
Akbar melontarkan pandangan tidak berkenan dengan suasana yang dilihatnya. "Yalah..yalah.." separuh rela dia keluar dan mengunci keretanya lalu mengekori kedua-dua orang yang sudah dua tiga langkah mendahuluinya. Wajahnya masam melihat-lihat lopak air di sana-sini. Dengan keadaan rumah-rumah yang bertemu cucur atap serta yang membuatkan mata Akbar terbeliak, ada pondok yang lebih kecil dari bilik air berjakuzi di rumahnya.
Sesampainya mereka di sebuah rumah yang kecil, kelihatannya agak ramai orang di halaman rumah itu. Suasana suram menyelubungi persekitaran. Haikal kaget. Dia melepaskan tangan Elise lalu berlari laju ke arah pintu. Elise turut tidak sedap hati. Melihat suasana itu, seakan-akan mengingatkan dia pada hari mummy pergi dari sisinya. Janganlah Haikal yang kecil ini pula kehilangan ibunya ya Allah... sempat Elise berdoa. Dia tetap terus melangkah mengikuti Haikal yang sudah berada di anak tangga teratas rumah itu. Elise melihat ada seorang perempuan yang kelihatan berumur mendapatkan Haikal. Wajahnya penuh kesedihan.
" Kamu ke mana nak? Ibu Haikal tak sudah-sudah bertanyakan Haikal."
" Haikal pergi cari bantuan mak cik." Beritahu Haikal. " Ibu mana mak cik?"
" Cepat pergi pada ibu. Dia ada di bilik." Beritahu Mak Cik Timah. Dia tidak sanggup memberitahu bahawa ibu Haikal, Hasnah sedang nazak. Nampaknya buah pinggangnya sudah tidak dapat diselamatkan lagi.
" Assalamualaikum, mak cik." Sapa Elise. Akbar berada di belakangnya. 'Nasib baik tak menipu. Kalau tak, nahaslah!' Akbar sempat berkata di dalam hatinya. Sebenarnya dia agak menyesal menuduh Haikal melulu tadi.
Tangan gadis yang terhulur itu disambut Mak Cik Timah bersama senyuman penuh tanda tanya. " Waalaikumsalam. Anak ni siapa?"
" Saya Laila mak cik. Ini majikan saya Akbar. Saya jumpa Haikal tadi pusat beli-belah. Itu yang kami tolong hantarkan." Terang Elise ringkas. Akbar hanya membisu. Kekok sungguh berada di tempat asing begitu. Sayup-sayup kedengaran suara orang membaca Yaasin. Hati Elise bertambah bimbang.
****************
" Haikal. Ibu nak Haikal jaga diri baik-baik ya? Belajar rajin-rajin. Jangan tinggal solat." Suara Hasnah tersekat-sekat. Terasa nyawanya sudah di hujung rengkung. Dia bersyukur pada Allah kerana memberi kesempatan melihat wajah anak tunggalnya sebelum dia pergi. Dia mengusap kepala Haikal yang menangis teresak-esak.

YOU ARE READING
NOVEL : MIMPIKAN AKU PLEASE!
RomantizmMimpikan Aku Please! adalah novel terbitan Kaki Novel Sinopsis: Elise, seorang gadis yang cekal. Demi melindungi dirinya dari lelaki si hidung belang, Elise tega meninggalkan majlis akad nikahnya sendiri tanpa mempedulikan reputasi si ayah. Perbuata...