"Apa kau dah hilang akal ke Zarith??! Bodoh sangat kau ni, kenapa?!!" suara halilintar Tan Sri Husam memenuhi rumah itu.
Zarith pulang dalam keadaan lebam di wajahnya. Sangkanya, pasti anaknya itu bertumbuk lagi di kelab malam seperti yang kerap berlaku. Tetapi apa yang didengarnya sungguh menyakitkan hati!
"Dah la pa. Jangan nak bising! Zarith balik ni nak minta tolong papa. Laki dia nak buat report polis. Just like before, I want your lawyer to take care of this matter too." Ujar Zarith sedikit mengerang kerana apabila dia menggerakkan bibirnya, sakit bekas tumbukan itu terasa sungguh berbisa. 'Tangan besi ke apa?'
"Yang kau pergi rogol anak Tan Sri Mokhtar siapa suruh?!" Tan Sri Husam masih tidak berpuas hati. Tindakan anaknya kali ini sungguh bodoh sekali. Jika kali lepas anaknya membuat onar dengan seorang budak kampung dan bawah umur, dia masih boleh membantu. Alah, bayar saja pada keluarga si gadis, habis cerita!
Penghabisannya, gadis yang ditiduri Zarith membunuh diri akibat malu dengan kecaman orang kampungnya, atau begitulah apa yang Tan Sri Husam dengar. Dan Zarith, terlepas dari semua tuduhan berkat kehandalan peguam bela upahannya berjaya mencetuskan keraguan dalam kes itu!
"Mana sempat buat apa pun, si Andra masuk line! Kacau daun betul!" selamba sahaja Zarith memberitahu. Mujur juga mamanya tidak ada di rumah. Kalau tidak, memang bernanah juga telinga dileter.
"Dah tu, kau nak papa buat apa? Elise tu anak Tan Sri Mokhtar, kau dah gila? Dia takkan biar kau lepas. Suami si Elise pulak anak Tan Sri Imran! Hei!! Kalau kau nak buat jahat sekalipun, fikirlah dulu!" bukan hendak menasihat malah didorongnya pula anaknya itu. Apa yang dia tahu, sekarang, nama baiknya dan nama syarikatnya berada dalam bahaya.
Dia tahu Tan Sri Mokhtar itu bagaimana orangnya. Hal ini tidak akan habis setakat meminta maaf. Dia mula memikirkan para pelaburnya yang bakal menarik diri dari terus melabur di syarikatnya.
Sahamnya akan mula jatuh. Dia tidak akan membiarkan perkara ini terjadi!!
"Dah tu, takkan papa nak biar Zarith masuk penjara pulak?" tanya Zarith tidak berpuas hati.
"Itu urusan kau. Sekarang papa tak nak masuk campur lagi. Kau selesaikan sendiri." Putus Tan Sri Husam akhirnya. Dia lebih sayangkan kedudukannya dari anaknya sendiri.
Zarith ternganga mendengar tiap patah kata yang keluar dari bibir Tan Sri Husam.
"Papa..." Zarith hilang arah. Terasa seketul batu besar menghempap tanpa belas di atas kepalanya.
"Tan Sri, ada pegawai polis nak berjumpa dengan encik Zarith." Suara pembantu rumah mencelah.
"Papa?" Zarith berpaling ke arah papanya. Tiada sebarang riak di wajah itu. Tan Sri Husam berpaling ke arah lain.
"Encik Zarith Bazli bin Husam, sila ikut kami ke balai..." Dua orang pegawai polis datang. Seorang daripadanya membaca pertuduhan terhadap Zarith dan hak-haknya sebagai tertuduh. Seorang lagi menggari kedua-dua belah tangan lelaki itu yang jelas tergamam, hinggakan hilang daya untuk meronta atau berbuat apa-apa.
Dia memandang lagi ke arah bapanya. Tan Sri Husam terduduk di sofanya.
"Papa...! Papa...jangan biar diorang tangkap Zarith, pa! Papa!!" jerit Zarith semasa diheret polis menuju ke kereta.
Sebuah Mercedes silver berhenti di halaman itu. Puan Sri Zaharah keluar tergesa-gesa sebelum sempat pemandunya membuka pintu.
Terkejut melihat kelibat anaknya menghilang ke dalam perut kereta polis. "Apa yang...Zarith! Hei! Kenapa ni...?!" Puan Sri Zaharah menepuk-nepuk cermin kereta polis yang perlahan-lahan bergerak meninggalkan halaman rumah itu.
YOU ARE READING
NOVEL : MIMPIKAN AKU PLEASE!
RomantikMimpikan Aku Please! adalah novel terbitan Kaki Novel Sinopsis: Elise, seorang gadis yang cekal. Demi melindungi dirinya dari lelaki si hidung belang, Elise tega meninggalkan majlis akad nikahnya sendiri tanpa mempedulikan reputasi si ayah. Perbuata...