"Mad, ambil saya pukul 5.00 petang nanti, ya?" pesan Puan Sri Fazira.
"Baik, Puan Sri." Ucap pemandu Puan Sri Fazira itu. Wanita itu keluar dari keretanya sambil menjinjing satu beg kertas yang sederhana besar. Langkahnya diatur ke pintu kayu setengah cermin lantas ditolaknya perlahan. Matanya menangkap susuk tubuh lampai sedang mengelap pinggan di sudut restoran.
Bibirnya meleretkan senyum. Anak lelakinya itu memang rajin. Tidak hanya duduk dan mengarah pekerjanya sahaja.
Akbar berpaling untuk melihat gerangan yang datang apabila loceng kecil berdenting setiap kali pintu dibuka atau ditutup . Bibirnya spontan menguntum senyum ke arah mamanya. Segera Akbar meletakkan pinggan seramik yang sedang dilapnya. Dia pantas mendapatkan Puan Sri Fazira.
" Mama!" ucapnya sepatah, tangannya kalut dikesat-kesat di apron merah gelapnya sebelum tangan wanita itu disalam dan dicium hormat.
Puan Sri Fazira mengusap pipi anak lelakinya, penuh kasih. Sudah lama anak ini tidak pulang ke rumah dan dia juga sangat sibuk hinggakan tidak sempat menjengah ke Great Pan's.
Jimmy yang berada di kaunter hanya tersenyum dan mengangguk ke arah wanita yang tersenyum ke arahnya itu. Mereka di Great Pan's tahu siapa wanita yang datang sekali-sekala ke sini. Tiada sesiapa yang tahu sama ada bapa lelaki perengus itu masih hidup atau sudah meninggal dunia kerana tiada siapa pun yang pernah nampak bapa lelaki itu datang ke sini.
" Akbar apa khabar?" tanya Puan Sri Fazira.
" Baik. Mama?" tanya Akbar.
" Sihat, Alhamdulillah." Jawab Puan Sri Fazira pula. Dia mahu ke sini sejak minggu lepas lagi, tetapi tidak sempat kerana menemani Tan Sri Imran yang menghadiri konferens di Mumbai.
" Mari Akbar tunjukkan meja mama." Dia memimpin tangan Puan Sri Fazira ke sebuah meja kosong di tepi cermin. Mereka melabuhkan duduk. " Mama nak makan apa?"
" Mama nak makan apa aje yang Akbar masak hari ni." Ujar Puan Sri Fazira, tersenyum. Akbar mengangguk. Dia mengakui, yang dia juga merindui mamanya. Tetapi untuk pergi ke rumah tempatnya membesar, itu sangat berat untuk dilakukan. Dia malas hendak terserempak dengan bapanya. Ada sahaja yang tidak kena dengan Akbar. Malahan papa sering sahaja memandang rendah pada motorsikalnya!! Bukan kapcai, tetapi Ducati Monster 696!!
" Mama tunggu kejap ya. Akbar pergi dapur. 15 minutes, and I'll serve you a Great Pan's's special!" Akbar terus berlalu ke dapur.
" Aunty apa khabar?" sapa Sherry sambil meletakkan minuman yang dipesan Akbar untuk mamanya tadi.
" Baik. Eh, mana Marry, cuti ke?" tanya Puan Sri Fazira meninjau ke arah kaunter yang diduduki oleh Jimmy. Di sini tiada siapa di antara para pekerja Akbar yang tahu siapa sebenarnya ibu dan bapa Akbar. Lelaki perengus itu memang perahsia orangnya. Seakan-akan Akbar muncul begitu sahaja. Yang mereka tahu wanita yang sesekali datang itu adalah ibu Akbar hanya kerana Akbar memanggil wanita itu 'mama'.
" Tak aunty. Dia dah berhenti." Jawab Sherry. Dia pun meminta diri untuk melayan pelanggan yang baru sahaja masuk.
Sekejap sahaja menunggu, Akbar kembali dengan pembuka selera, sepinggan spaghetti Bolognese untuk mamanya bersama-sama sepinggan pencuci mulut. Sambil makan mereka berbual-bual. Puan Sri Fazira amat mengagumi kebolehan memasak Akbar ini. Masakannya tidak pernah mengecewakan, lazat! Kalau sahaja suaminya tahu akan bakat anak mereka, pasti sahaja Tan Sri Imran akan turut berbangga.
Sudah lama tidak bertemu, sudah pasti banyak cerita yang dikongsikan termasuklah cerita tentang kenapa Marry diberhentikan. Terkejut Puan Sri Fazira mendengar perilaku Marry itu, sungguh tidak disangka kerana Marry nampak seperti wanita yang baik. Sementelah perempuan itu memang pandai bermuka-muka. Tambahan pula dengan orang yang berstatus seperti Puan Sri Fazira walaupun Puan Sri Fazira tidak pernah mencanangkan siapa dirinya.
YOU ARE READING
NOVEL : MIMPIKAN AKU PLEASE!
Roman d'amourMimpikan Aku Please! adalah novel terbitan Kaki Novel Sinopsis: Elise, seorang gadis yang cekal. Demi melindungi dirinya dari lelaki si hidung belang, Elise tega meninggalkan majlis akad nikahnya sendiri tanpa mempedulikan reputasi si ayah. Perbuata...