Haikal menghampiri seorang lelaki. " Abang, boleh bantu saya? Mak saya sakit, dia belum makan." Belum sempat Haikal menghabiskan kata-katanya, lelaki itu memandangnya sekilas dengan pandangan berang sebelum berlalu dari situ sambil merungut marah. Haikal mencuba nasib pula pada seorang wanita yang tampak elegan. Juga menerima nasib yang sama. Wanita itu hanya mengibarkan tangannya menghalau Haikal pergi. Luluh hati kanak-kanak itu. Dia juga sudah semakin penat. Hanya ibu yang berada di fikirannya.
Azan maghrib berkumandang sayup-sayup di pendengarannya. Kota yang tidak pernah sunyi itu menghimpunkan pelbagai jenis manusia. Ada yang terus berhenti mencari keseronokan dan mengabdikan diri pada Yang Khalik. Ada si jahil yang tidak peduli dengan seruan menuju kemenangan itu juga tidak tahu apakah panggilan itu bermakna apa-apa kecuali satu gangguan awam?
Haikal mengangkat kakinya menapak berat ke dalam pusat membeli-belah itu. Dia mahu menunaikan solat. Seperti kata ibu solat itu tiang agama, jika tidak menunaikannya, maka runtuhlah agamanya. Bagaikan rumah yang tidak mempunyai asas yang kukuh. Haikal sedar di dalam fikiran yang terlalu mudanya, hanya Allah SWT yang dapat membantunya sekarang.
Habis menunaikan kewajipannya, Haikal seakan hilang arah tuju. Perutnya yang lapar membantutkan akal fikirannya. Dia mahu pulang kepada ibu sahaja. Sedar tiada sesiapa yang sudi membantunya. Haikal duduk di kaki lima. Air matanya merembes ke pipi. Hatinya benar-benar sedih mengenangkan tidak ada sesiapa yang peduli tentang hakikat yang ibu mungkin akan meninggalkannya.
" Adik? Kenapa adik menangis? Mak ayah adik hilang ke?" suara lembut itu menyapanya. Haikal segera memanggungkan kepalanya sebelum matanya bersabung dengan pandangan lunak bersama segaris senyuman yang cantik. Gadis itu bertinggung di hadapannya. Ingatan Haikal menerpa, gadis inilah yang membantunya dahulu. Sungguh dia tidak akan lupa pada bantuan yang kakak ini hulurkan kepadanya. Kakak yang seumpama bidadari.
" Tidak kak. Ibu sakit kat rumah. Takde siapa nak tolong ibu." Ucap Haikal tersekat-sekat. Air matanya meruntun hati gadis itu.
" Kat mana rumah adik? Mari ikut kakak. Kita balik jumpa ibu, ya?" Elise tadi ternampak kanak-kanak malang ini sedang duduk menangis. Sangkanya kehilangan ibu bapa. Biasalah, ralit membeli-belah kadang-kala ibu bapa terlepas pandang anak-anak tambah pula jika umur seperti Haikal.
" Adik ni siapa nama?" tanya Elise lagi. Hatinya walang melihat tangisan di wajah Haikal.
Haikal masih tidak berganjak. Ibu pernah berpesan supaya jangan mudah mengikut orang yang tidak dikenali. " Ibu kata jangan ikut orang yang kita tak kenal." Ujar Haikal, lurus.
Elise tersenyum lagi. Pandai budak ni. " So, mari kita berkenalan. Nama kakak Laila. Laila Katrina. Nama adik?" tangannya dihulurkan kepada Haikal yang menyambutnya lambat-lambat. " Nama saya Haikal."
" Sekarang kita dah kenal. Jom akak hantarkan Haikal pulang. Tapi sebelum tu kita kena pergi dekat restoran depan shopping complex ni ya? Akak nak bagitau boss akak nak hantarkan adik ke rumah." Ujar Laila. Agaknya Akbar benarkan tak jika dia mahu menghantarkan Haikal ke rumahnya dan membantu ibu kanak-kanak itu?
" Di mana rumah adik?" Tanya Elise.
Haikal menyebutkan nama kampungnya. Elise mengangguk faham. Kawasan tempat tinggal yang disebutkan Haikal adalah kawasan setinggan. Simpatinya semakin menggunung. Patutlah pakaian kanak-kanak itu agak tidak terurus.
" Kita singgah sini kejap ya." Kata Elise lembut apabila mereka tiba di belakang kedai Great Pan's. Wajah Haikal yang agak pucat itu direnung Elise sejenak dengan perasaan yang agak bimbang. Tangan kanak-kanak itu juga agak suam. Dia membawa Haikal masuk ke dalam dapur yang begitu sibuk itu. Namun, tiada sesiapa yang perasan dengan kehadiran si kecil itu di dapur mereka. Elise membawa Haikal terus ke dalam pejabat. Telahan Elise, Haikal pasti lapar melihatkan matanya yang tidak lepas-lepas merenung makanan yang tergeletak di dalam pinggan-pinggan berkilat, bersedia untuk dihidangkan kepada pelanggan. Elise lantas mengeluarkan sandwich bekalannya.
YOU ARE READING
NOVEL : MIMPIKAN AKU PLEASE!
RomanceMimpikan Aku Please! adalah novel terbitan Kaki Novel Sinopsis: Elise, seorang gadis yang cekal. Demi melindungi dirinya dari lelaki si hidung belang, Elise tega meninggalkan majlis akad nikahnya sendiri tanpa mempedulikan reputasi si ayah. Perbuata...