Hello. selamat pagi! Chapter kali ni panjang dari biasa, sis tak dapat pecahkan jadi dua bahagian. Selamat membaca!!! #staysave , luvvv yaa!!
Akbar tersenyum kepada dua orang yang melangkah ke Great Pan's.
Dia menyapa pelanggannya seperti biasa. Selepas meminta Sherry menempatkan pasangan itu, Akbar kembali duduk di kerusinya. Senyuman lebar tadi perlahan-lahan memudar.
Sudah seminggu sejak peristiwa Tan Sri Mokhtar meninggal dunia. Keadaan kembali normal. Hampir semuanya.
Tetapi tidak isterinya. Selepas kejadian itu, Elise berubah menjadi pendiam. Sepatah dijawab, sepatah juga yang dibalas. Jika Akbar bercakap banyak pun Elise tetap membalas pendek. Seolah-olah jiwanya turut dibawa pergi bersama Tan Sri Mokhtar.
Jurang yang sedia ada semakin luas jaraknya. Akbar merasa tersisih dari Elise. Elise tidak bercakap tentang apa yang dirasakannya. Akbar risau dengan keadaan isterinya itu.
Rumahnya kini sunyi tanpa gelak ketawa, gurauan Elise. Setiap hari selepas makan malam, tiada lagi aktiviti menonton bersama, Elise akan terus terperap di dalam kamar.
Elise juga tidak datang bekerja. Akbar tidak menyuruh, hanya membiarkan Elise tenang dahulu. Lepas satu-satu peristiwa malang menimpa Elise, kalau Akbar di tempat itu juga pasti akan berasa tertekan. Dia mencuba sebaik mungkin untuk memahami situasi isterinya. Tetapi dia tetap berasa serabut. Lemas.
"Boss, the bill." Tegur Sherry merendah. Sudah dua kali dia meminta bil untuk meja tujuh, tetapi entah di mana fikiran lelaki ini berada? Sudah seminggu mereka melihat Akbar begitu. Suara marahnya agak jarang didengar kebelakangan ini.
Akbar tersentak. Pantas menyerahkan bil yang diminta Sherry. "Sorry." Ucapnya.
"Takpe boss. Saya rasa elok boss balik berehat." Nasihat Sherry sebelum berlalu ke meja pelanggannya.
Akbar melepaskan keluhnya panjang. Benar, dia perlukan rehat. Di sini dia tidak dapat mengarahkan akalnya untuk bekerja. Walau di rumah seakan-akan dia sendirian, tetapi Elise tetap di hadapan mata.
Selepas meninggalkan pesan kepada Sherry dan meninggalkan kunci kepada Sonja, Akbar mencapai kunci motorsikal dan memecut pulang.
**********************
Elise menutup kulit keras diari mummy di atas ribanya. Entah kali ke berapa diari itu dibacanya. Selepas pulang dari kampung, Elise kembali ke rumah daddy yang kini adalah miliknya seperti wasiat terakhir yang dibacakan oleh peguam Tan Sri Mokhtar, Encik Zabidi.
Begitu juga dengan segala aset, anak-anak syarikat, saham terbesar MEJ Holdings dan hartanah milik Tan Sri Mokhtar dinamakan atas nama Laila Elise Katrina sebagai pewaris tunggal. Semua itu hampir tak bermakna apa-apa pada Elise kerana harta benda dan kekayaan tidak akan mengembalikan daddy mahupun mummy kepadanya.
Dia menarik nafas dalam-dalam. Rumah tempat dia membesar itu akhirnya menjadi tempat yang paling sunyi di atas muka bumi ini.
Apalah erti bangunan tiga tingkat itu jika hati tidak bahagia. Beberapa hari dia tinggal di rumah daddy mengemaskan barang-barang tinggalan Tan Sri Mokhtar.
Tiada satu pun yang sanggup dia buang, semuanya dihimpun dan diletakkan di dalam satu bilik yang dahulunya sudah didiami barangan milik arwah mummy.
Daddy tidak membenarkan dia masuk ke kamar itu selama ini kerana bimbang Elise akan mengubah apa-apa di dalam bilik itu. Tetapi kini barangan daddy juga Elise tempatkan di situ.
YOU ARE READING
NOVEL : MIMPIKAN AKU PLEASE!
RomansaMimpikan Aku Please! adalah novel terbitan Kaki Novel Sinopsis: Elise, seorang gadis yang cekal. Demi melindungi dirinya dari lelaki si hidung belang, Elise tega meninggalkan majlis akad nikahnya sendiri tanpa mempedulikan reputasi si ayah. Perbuata...