Bunga-bunga ros yang baru diturunkan dari lori, disusuk mengikut jenis dan warna. Seronok bekerja dalam timbunan bunga begini. Lapang hidungnya. Dalam membuat kerja, Elise teringat bagaimana keadaanya beberapa bulan yang lalu.
Sebaik turun daripada teksi selepas melarikan diri, kakinya melangkah berat sambil mengheret beg sederhana besarnya. Dia tidak tahu harus ke mana. Dunia luar ini kelihatan asing. Seumur hidup Elise, inilah kali pertama dia merasakan dirinya keseorangan. Elise berada jauh dari jangkauan Daddy.
" Macam mana ni? Okay, Elise, calm down. You can do it! Hidup di luar ni lebih bagus dari sangkar emas daddy." Elise menguatkan semangatnya.
Dia sebak, namun dipaksa dirinya agar tabah, dan tidak akan mengalirkan air mata. Dia mesti mencari bilik sewa sekarang. Dia berjalan di jalan yang sibuk itu. Kakinya berhenti di hadapan motel yang penginapannya mengikut jam atau kadar hari.
Hmm..duit tunai di dalam dompetnya ada RM 500.00. Kalau sehari RM 80.00, kalau sejam pulak RM 20.00. Eh! Siapa pulak nak bilik ikut jam? Apa pulak takde, mesti ada orang nak tukar baju ke, rehat sekejap ke...' Elise berkira-kira sendiri.
Tetapi apa yang di dilihat, langsung tidak setepat yang sedang dia fikirkan. Ada sepasang, yang pada pandangan Elise, pasangan itu bukanlah suami isteri...alamak! Baru Elise perasan akan sesuatu, sesuatu yang tidak kena pada matanya.
Sepasang lelaki dan wanita yang berpakaian menjolok mata berpelukan dan mendaftar di kaunter pendaftaran yang dijaga oleh seorang lelaki Cina tua yang hanya bersinglet putih. Elise menelan liurnya. Kesat sekali.
'Oh Tuhan! Biar betul aku nak menginap kat sini sementara. Kau nak menempah bala ke Elise??' Ini baru siang, dah ada orang buat maksiat, kalau malam, macam mana pulak keadaannya?
Elise tersentak apabila lelaki yang agak berumur, bermisai nipis, sempat mengenyitkan mata ke arahnya. Sedangkan sebelah tangan memeluk wanita berpakaian seksi itu. Mereka memanjat anak tangga yang sempit di sebelah kaunter.
" Lu mau bilik ka amoi?" sapa apek tua yang mengibar-ngibarkan kipas tangan.
Elise tersenyum sumbing. Pantas menggeleng-geleng. Lebih baik aku balik ke rumah daddy kalau nak sengaja nak menempah bala kat sini. Getus hati kecilnya.
Elise melangkah lagi.
Akhirnya setelah penat mencari, dia mendapat sebuah bilik di atas kedai barangan eletrik yang mahu menyewakan bilik kepadanya dengan harga RM 195.00 sebulan.
Dan baginya tidak terlalu mahal jika ada bilik air dan kipas kecil disediakan. Cuma dia perlukan lapik tidur sahaja. Dan sekarang dia mesti mencari kerja. Dan atas kekejaman daddy, sijil lulusan University Cambridge miliknya langsung tidak laku.
Entah kuasa apa yang daddy ada sehingga sebaik sahaja penemu duga yang melihat resumenya, dia disuruh pulang, alasannya, mereka hendak mencari orang yang berkelulusan dalam negeri sahaja dan alasan yang paling tidak masuk akal adalah hanya mahu mencari pekerja lelaki! Ceh! Kenapa pulak masa buka iklan jawatan, tidak disebut pula mahu mencari pekerja lelaki? Ingat dia bodoh ke?
Marah pada daddy sudah tidak terbendung. Dia tahu tindakan daddy ini adalah supaya dia pulang. Tetapi, dia tidak akan sesekali pulang lagi ke sangkar emas daddy. Dan secara senyap, daddy sedang mencabar dirinya untuk hidup di luar sendirian tanpa apa-apa, kerana semua kad bank dan kad kreditnya sudah dibekukan. Tipikal punya daddy!
Baiklah! Ini Elise yang kental hatinya! Rasanya banyak kot lagi tempat yang perlukan tenaganya. Kalau setakat kerja di pam minyak ke, kedai bunga ke, kedai makan ke, takkanlah hendak pakai kelulusan universiti jugak kan? Dan sekarang dia sudah bekerja di kedai bunga milik seorang wanita berbangsa Singh bernama Kavina Kaur yang lebih senang disapa Aunty Kaur.
Kedai Aunty Kaur bukan sahaja menjual bunga, juga menyediakan perkhidmatan menghias dewan untuk apa-apa majlis. Dan Aunty Kaur juga mahir sebagai perancang majlis. Salah seorang pekerja Aunty Kaur berhenti kerana mengikut suaminya bekerja di Terengganu. Wanita ini baik orangnya.
Elise berasa senang bekerja dengan wanita yang berumur 53 tahun itu. Kedai Sweet Florist hanya buka sehingga jam 5.30 petang dari pukul 10.00 pagi. Dia tahu, gajinya kecil dan tidak akan cukup untuk dikumpul. Ya, Elise hendak balik ke tempat asal mummy di bumi England.
Jika dia tahu kepulangannya ke sini hanya untuk dikahwinkan, dia takkan sesekali bersetuju untuk pulang! Lebih baik dia tinggal dengan atuk dan neneknya di sana. Walaupun berbeza agama, dia masih terasa disayangi sebagai ahli keluarga. Tetapi di sini, dia hanyalah pengukuh perniagaan Datuk Mokhtar.
bersambung...
YOU ARE READING
NOVEL : MIMPIKAN AKU PLEASE!
Storie d'amoreMimpikan Aku Please! adalah novel terbitan Kaki Novel Sinopsis: Elise, seorang gadis yang cekal. Demi melindungi dirinya dari lelaki si hidung belang, Elise tega meninggalkan majlis akad nikahnya sendiri tanpa mempedulikan reputasi si ayah. Perbuata...