Lampu-lampu kecil yang berbaris-baris bergantungan tidak jauh di atas kepala para tamu seperti kelip-kelip pegun itu luas memenuhi kawasan taman menggamit matanya lama merenung suasana yang tenang itu.
Cantik dan romantik. Itu pun aman hanya kerana dia melabuhkan duduk agak jauh dari majlis gilang-gemilang yang sedang lancar berjalan itu kalau dekat naklah juga esok jumpa doktor telinga.
Dia meneguk punch buah-buahan yang diambilnya sebelum duduk di bangku taman. Fikirannya tidak bertumpu di majlis itu dan lebih kepada apa yang berlaku beberapa hari yang lalu yang apabila mengingatinya, membuatkan dia tersenyum malu.
*******************
"Laila? Boleh aku cakap sikit?" tanya Akbar apabila muncul di pejabat yang sudah kemas itu. Hampir tiada kesan tempat itu diceroboh dua minggu yang lalu. Begitu juga bahagian-bahagian yang lain. Dan Great Pan's mula beroperasi seperti sediakala pada hari ini. Dan itu amat menggembirakan hati Akbar.
"Hmm..?" Laila bertanya agak kabur. Perhatiannya terarah ke dada komputer khusyuk menyiapkan kerjanya.
"Laila?" panggil Akbar. Dia tidak suka apabila gadis itu tidak menghadapnya. Terasa tidak penting. 'Eh! Kenapa pulak kau penting bagi dia?' tanya hatinya sinis.
"Ya? Ada apa-apa ke?" Elise lantas memanggungkan kepalanya menentang anak mata kekelabuan lelaki itu. Akbar tersenyum melihat raut yang beriak lurus itu.
"Sonja dah balik..." belum sempat dia menghabiskan cakapnya, Elise bingkas bangun, cemas.
"Apa? Mak dia pengsan ke?" Elise risau yang dia akan pulang seorang diri. Dia baru hendak keluar dari situ apabila Akbar menahannya.
"Isy, risau sangat. Tak, mak dia tak pengsan, sihat aje kat rumah. Aku yang suruh dia balik." Kata Akbar. Elise duduk kembali di kerusinya, kecewa. " Kenapa?"
"Aku kan ada nak hantar kau balik?" dia sudah merancang hal ini dari awal pagi lagi dan langkah pertama adalah dengan memandu kereta ke Great Pan's. Kerana dia tahu yang Elise tidak akan mahu membonceng motornya.
Elise tidak membalas apa-apa. Mulutnya agak memuncung, matanya dikecilkan melihat Akbar, curiga. " Bos nak cakap apa dengan saya?"
"Jangan buat muka macam tu lah! Aku nak cakap dengan kau sikit pasal..pasal.."
"Boss nak pecat saya ke?" pintas Elise. Risau hatinya kerana kebelakangan ini di akhbar dan di televisyen banyak majikan-majikan yang membuang pekerja-pekerja mereka untuk mengurangkan kos. Adakah dia salah seorang dari mereka? Apa dia nak buat selepas ni? Gaji di Sweet Florist cukup untuk makan sahaja, bagaimana pula dengan bayar sewa biliknya?
'Kuruslah aku macam ni...' bisik hatinya sedih.
"Hah? Merepek! Dengar dulu, aku tak habis cakap lagi!" rengus Akbar marah. Dia duduk di atas meja.
YOU ARE READING
NOVEL : MIMPIKAN AKU PLEASE!
RomanceMimpikan Aku Please! adalah novel terbitan Kaki Novel Sinopsis: Elise, seorang gadis yang cekal. Demi melindungi dirinya dari lelaki si hidung belang, Elise tega meninggalkan majlis akad nikahnya sendiri tanpa mempedulikan reputasi si ayah. Perbuata...