" Aunty! Air tak ada ya?" suara Elise kedengaran dari dalam tandas.
Pagi-pagi lagi Elise datang ke Sweet Florist untuk menumpang mandi kerana di bilik sewanya bekalan air diputuskan serta-merta. Kata Nyonya Lian, ada paip besar yang pecah di kawasan itu.
Sekarang hampir pukul 8.00 pagi dan Elise ingatkan di kedai bunga itu ada air, rupanya sama sahaja.
'Aduihh la...!! Kambing la aku hari ni!' rungut hatinya. Kalau dia mandi sepuas-puasnya, petang nanti kalau sekadar membasahkan muka sahaja sudah memadai. Kena-kena pulak hari ini dia 'cuti' solat.
Aunty Kaur dari hadapan melaung balas. "Tak ada. Petang nanti baru ada."
Elise merengus. Macam mana ni?? Tiba-tiba matanya terbeliak. Bijak betul!
Dia kalut memakai baju. Setahunya Akbar belum datang, dan pekerja-pekerja yang lain hanya akan datang pukul 9.00 pagi. " To the Great Pan's!" serunya kuat. Dia masih punya masa untuk menumpang mandi di sana. Tak jadi 'mengambing' hari ini!
Aunty Kaur yang mendengar suara kuat itu hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.
**********************
Akbar memecut Ducati Monster 696 laju. Cepat sahaja dicilok-ciloknya di celah-celah kenderaan lain. Pembekalnya memberitahu yang ikan Salmon besar dari Kanada sampai pada hari ini, dan sekali lagi Akbar culas, meninggalkan senarai barangan lain di meja pejabatnya.
Dia mesti cepat. Kenapalah dengan dia dua tiga hari ini, ada sahaja benda yang dia lupa. Selalunya dia yang selalu bising jika ada di antara anak buahnya yang cuai atau lupa.
Akhirnya Akbar membelok ke belakang deretan kedai menuju ke tempat meletak motor. Bingkas dia mematikan motornya dan menuju pintu belakang Great Pan's.
Seperti biasa, kunci mangga dan kunci gril dibuka. Tiba-tiba Akbar terhenti apabila mendapati pintu kayu tebal tidak berkunci!
'Eh! Semalam Laila lupa kunci ke? Cuai betul!' rengusnya tidak puas hati.
Dia memulas perlahan tombol pintu dan menolaknya ke dalam. Getaran telefon bimbit di dalam poketnya menghentikan perbuatan Akbar. Dia melihat sejenak skrin telefonnya. Hanya mesej dari mama, seperti biasa memesan untuk pulang.
Dia terus menolak pintu laju, sedar jam tidak akan pernah berhenti untuknya. Matanya terpaku, gamam seketika.
Seolah-olah masa memang beku.
*********************
Elise mengelap-ngelap rambutnya dengan tuala yang dipakainya. Bestnya dah mandi! Dia bernyanyi-nyanyi kecil. Tangannya menggagau pintu. Elise berhenti bersenandung sambil matanya melirik ke pintu. Satu keluhan terluah.
" Hesy! Masa ni jugak aku nak lupa baju!" katanya marah. Elise mengetatkan kain tuala di tubuhnya. Rupanya tadi dia hanya memakai seluar jeans dan menyelimutkan tuala di atas badannya. 'Hmm...nasib baiklah kunci aku yang pegang.' Tetapi Elise lupa ada seorang lagi yang mempunyai kunci Great Pan's...
Elise memanggungkan kepalanya. Wajah Akbar sudah menghiasi pandangannya. Elise terbeliak memandang Akbar.
Jantung Akbar berdegup kencang sehingga merasa tangannya kebas.
"Apa kau buat kat sini?!" tanya Akbar mendatar. Dia mahu tahu apa sebab gadis yang sepatutnya dia nampak petang nanti terpacak di hadapannya dengan tubuh yang separuh diselimuti tuala sahaja.
Akbar terasa aneh di dalam dirinya. Tetapi ada satu rasa yang dia tidak dapat membuat tafsiran kerana ianya terlalu rumit!
Bukan sebab tidak pernah nampak perempuan separuh bogel atau tidak pakai apa-apa. Bertahun-tahun di tempat orang mengajar dia bermacam-macam perkara. Malah, sewaktu di belakang pentas di pertunjukan fesyen pereka terkenal di mana salah seorang modelnya adalah Akim, Akbar biasa menjadi tetamu Akim sehingga kadang-kala Akbar dijemput ke belakang pentas. Model-model tidak segan silu untuk berjalan ke sana-sini dengan hanya memakai pakaian dalam dan menyalin pakaian di hadapan sesama sendiri kerana beberapa saat sahaja sebelum keluar memperagakan pakaian seterusnya.
"Err...tumpang mandi..." jawab Elise masih terpaku di tempatnya berdiri. Mata kekelabuan Akbar menusuk ke hatinya.
"Kau bohong? Siapa ada kat dalam pejabat??" tanya Akbar keras. Dia melintasi Elise.
"Siapa apa?..err..betul saya tumpang mandi. Kat rumah takde air, kat kedai bunga pun sama. Err..so sorry." Ujar Elise kalut.
Dia kalut mengekori Akbar yang melangkah laju menuju ke pejabat. Ada sesuatu di atas sofa dalam pejabat, sumpah jika Akbar nampak benda tersebut, alamat malu seumur hiduplah dia. Oh,tidak!
Belum sempat Akbar menolak pintu, Elise menahan tangan Akbar. Akbar menepis pantas. Terasa seperti kejutan eletrik, baik Akbar mahupun Elise.
"Betul kan? Ada siapa kat dalam ni yang kau nak sembunyikan, hah?!" jerkah Akbar.
Elise tersentak terkejut mendengar suara kuat Akbar. Bukan tidak pernah dengar, tetapi suara keras tiba-tiba itu mengecutkan perutnya.
Darah Akbar terasa menyerbu naik ke kepala. Rasa marah seperti marah kepada Marry terasa lain kerana sewaktu kejadian hitam yang Marry buat, dia tidak terasa apa-apa, melainkan ingin Marry hilang segera dari pandangannya.
Tetapi marah yang dirasakan terhadap gadis yang hanya berselimut tuala itu terasa seperti dicucuk dengan pisau sakitnya apabila mungkin ada seseorang di balik pintu pejabatnya. Mungkin sedang tidur?
"Takde sesiapalah! Cuma jangan masuk kat dalam!" halang Elise lagi.
Tetapi Akbar tidak mempedulikan Elise. Dia menolak Elise ke tepi. Pintu pejabat segera dibuka lebar. Pandangan mencerlungnya segera ditebar ke seluruh ruang bersedia untuk membelasah lelaki misteri Elise.
Kosong.
" Kan saya dah cakap, mana ada. Orang tumpang mandi pun nak marah." Ayat terakhir yang kedengaran merungut itu kedengaran perlahan sahaja. Akbar menarik nafas lega yang entah kenapa.
"Yang kau sibuk sangat tak kasi aku masuk dalam ini apa hal? Kalau kau tak..." dan serta-merta dia faham kenapa gadis itu beria-ria menahannya dari masuk ke situ.
Atas sofanya elok terletak 'harta karun' berwarna ungu kepunyaan Elise. Bermakna Elise memang tak memakai baju langsung!
Elise cepat sahaja menyambar hartanya itu dan membawanya ke belakang tubuhnya. Malu usah dicakap. Macam nak berhenti kerja dan lenyap dari kotaraya itu.
"Err...okay..err.." kali pertama lidah yang selalu petah menghambur marah, leteran dan jerkahan menjadi kelu. Akbar tegaru-garu sebentar. Jantungnya macam nak tercabut. Hesy!
"Maaf, saya janji tak buat lagi." Terus sahaja Elise mengambil baju t-shirt ungunya dan bergegas ke bilik air.
Sedar dia berada dalam bilik sempit dengan seorang lelaki yang bukan muhrimnya dan topless! Elise terasa hati apabila dituduh sebegitu oleh Akbar.
Akbar melabuhkan duduknya di bangku kayu. Memikirkan yang dia baru sahaja menuduh Elise membawa masuk lelaki seperti Marry lakukan dahulu. Rasa bersalah menyelubungi hati. Untuk meminta maaf pula, bukan sifatnya. Akbar merasa dia punya hak untuk berasa sangsi kepada sesiapa jua.
" Saya pergi dulu. Maaf, nanti boss potong gaji saya sebab guna air ya?" ujar Elise. Rasa malu mengatasi segala-galanya. Dia langsung tidak memandang wajah Akbar yang merenungnya. Akbar tidak berkata apa-apa dan Elise terus keluar dari situ. Sekejap lagi pekerja-pekerja lain akan sampai. Dia tidak mahu mereka tertanya-tanya apa yang mereka berdua lakukan berdua pagi-pagi begitu di dalam Great Pan's yang sunyi.
" Jangan lupa datang kerja petang karang!" laung Akbar lantang. Dia tak mahu Elise berhenti kerja. Akbar berfikir-fikir hingga terlupa yang dia perlu ke pelantar ikan, sehinggalah...
" Alamak!!" dia terkocoh-kocoh keluar dan mengunci pintu dapur.
bersambung...
YOU ARE READING
NOVEL : MIMPIKAN AKU PLEASE!
Любовные романыMimpikan Aku Please! adalah novel terbitan Kaki Novel Sinopsis: Elise, seorang gadis yang cekal. Demi melindungi dirinya dari lelaki si hidung belang, Elise tega meninggalkan majlis akad nikahnya sendiri tanpa mempedulikan reputasi si ayah. Perbuata...