BAB 25 - MIMPIKAN AKU PLEASE!

405 19 0
                                    


Kakinya melangkah berat. Lututnya terketar-ketar. Malahan tangan kecilnya hampir tidak dapat digenggam. Pada siapa harus diminta pertolongan? Jiran-jirannya lebih suka membuat hal sendiri. 'Ya Allah...bantulah aku. Selamatkan ibu ya Allah.' Rintih hati kanak-kanak berusia lapan tahun itu. Haikal benar-benar hilang arah. Ibunya sedang nazak di rumah. Hanya Mak Cik Timah sahaja yang menjaga ibunya sebentar dia keluar mendapatkan bantuan. 

Orang miskin sepertinya sering sahaja dianggap picisan dalam masyarakat yang tak punya apa-apa. Jauh di lubuk hatinya walaupun dia hanya berusia lapan tahun, dia tahu ibunya mungkin tidak lama akan melihat bumi Allah yang maha luas ini. Air matanya mengalir pantas menuruni lekuk pipinya mengenangkan nasibnya. Namun, bagi Haikal dia tidak akan sesekali berputus harap pada Allah s.w.t. yang sentiasa ada di sisinya. Dia tidak punya saudara-mara. Ibu dan dirinya hanya ada diri mereka masing-masing. Ayahnya telah meninggal dunia akibat kemalangan sewaktu Haikal masih bayi.

Kaki lima yang lembab ditimpa hujan semalam menjadi tempatnya berehat sebentar. Ke manalah yang harus dituju? Dia sendiri tidak makan apa-apa sejak semalam. Tetapi dia tidak menghiraukan perutnya yang bernyanyi lapar. Ibu lebih penting!

******************

" Hmm...jambu! Sedapnya!" ujarnya perlahan. Sebaik kaki Elise menjejak jubin setelah menuruni tangga bas, dia terpandangkan seorang perempuan tua berbangsa Cina sedang menjual buah-buahan potong. Kecur air liurnya melihat buah jambu dan serbuk asam. Pantas Elise juga menuju ke meja buah itu.

" You mau apa amoi?" tanya perempuan Cina itu, ramah. Dia mengelap-ngelap mejanya bersih. Walaupun hanya menjual buah di meja kecil begitu, kebersihan amat dijaga.

" Saya nak jambu potong sebungkus." tiba-tiba dia teringatkan Akbar. " Nyonya, bagi dua bungkus ya." Dia tersengih sendirian. Dia tahu Akbar tidak gemar makanan yang dijual di tepi jalan begini. Yalah, tekaknya dah sebati dengan makanan segar, barat aje selalu, mana nak makan makanan kampung atau yang dijual di tepi jalan begini. Kalau nyonya ini ada menjual strawberi mungkin lelaki itu akan makan tak? Dia sempat berfikir. Tapi Elise tidak kisah kerana seronok melihat wajah masam lelaki itu apabila sesuatu 'dari jalan' diberikan kepadanya. Tidak jauh dia berjalan pergi, dia berpatah semula dan mendapatkan juga buah-buahan potong itu untuk 'adik-beradiknya' yang lain di Great Pan's. Kang beli untuk Akbar seorang apa pula gossip yang timbul?

Elise terus membayar harga buahnya dan berlalu dari situ. Dia terus ke Great Pan's. Jam juga sudah pukul 5.40 petang. Dia sampai dari kampung agak awal semalam. Hari ini begitu bersemangat memulakan kerja di Sweet Florist.

Elise berjalan terus menuju ke Great Pan's yang sudah kelihatan di hadapannya. Hatinya riang mengenangkan yang dia akan bertemu dengan lelaki tinggi lampai itu. Empat hari tak nampak bayang mestilah rindu! Oh, lelaki itu memandu kereta hari ini. Pasti kerana hujan yang turun tidak menentu kebelakangan ini.

" Hai!!" Sapanya ceria sebaik sahaja melangkah ke dalam dapur. Sonja terus menerkam ke arahnya dan memeluk Elise erat. Sonja mempunyai berita gembira yang hendak dikongsikan bersama temannya itu.

" Wah! Ada orang rindukan akulah!" seru Elise riang memeluk sama Sonja dengan sebelah tangannya. Memandangkan sebelah lagi sedang memegang plastik buah. Ajit mencapai beg plastik buah dari tangan Elise lalu meletakkannya ke tepi.

" Weh! Nak peluk jugak!" usik Ajit dan Jack menyibuk.

" Nampak ni??!" Sonja dan Elise bersama-sama mengangkat penumbuk. Dapur itu riuh rendah dengan suara ketawa. Selama Elise bercuti, dapur itu agak suram. Dan bukan sahaja dapur Great Pan's yang suram, sekali dengan Akbar juga turut suram.

" Mana boss?" tanya Elise tanpa membuang masa. Dia meletakkan begnya di dalam pejabat sambil meleretkan kadnya untuk diimbas di mesin pengimbas di penjuru pejabat. Akbar tidak kelihatan di situ.

NOVEL : MIMPIKAN AKU PLEASE!Where stories live. Discover now