Hari pertama bekerja membuatkan jantung Mikayla berdegup dengan laju. Sebelum ini tidak pernah pula bekerja di mana-mana kedai tetapi hari ini dia akan bermula kerja di Kafe Mutiara milik jirannya. Jirannya yang lebih dikenali sebagai Kak Dila telah mengambil dia bekerja di kafe itu memandangkan dia sedang mencari jawatan kosong.
Usianya sudah masuk 22 tahun pada tahun ini, sungguh cepat masa berlalu. Segala kesakitan dan keperitan yang dirasainya semakin pudar. Dia menanti lelaki misteri itu munculkan diri namun penantiannya selama empat tahun hanyalah sia-sia.
Dia membuat keputusan untuk keluar daripada kepompong kesedihan ini sejak tiga hari yang lepas, segala rasa yang terpendam diluahkan kepada Nur Amira iaitu kawan baiknya. Empat tahun, masa yang begitu lama dia menunggu lelaki itu di rumah, ya hanya di rumah.
Kesihatannya tidak menentu, sering jatuh sakit dan dia percaya semua ini mempunyai kaitan dengan parut di pahanya. Parut itu diperoleh setelah dia bangun daripada tidur bersama lelaki misteri itu. Dia tidak ingat apa yang terjadi kerana sedar sahaja lelaki itu sudah tiada di sisi.
Penat dia berfikir, jadi dia mengambil keputusan untuk melupakan lelaki itu. Melenyapkan terus wajah tampan itu daripada ingatan supaya dia boleh menjalani hariannya seperti gadis-gadis lain.
Di sini, dia diajar cara mengambil pesanan makanan pelanggan dan juga cara-cara membuat pelbagai jenis minuman bersusu yang menggunakan mesin. Kerjanya mudah saja, tetapi disebabkan dia masih tidak biasa, banyak juga kesalahan dalam pembuatan air yang telah dia lakukan di hari pertama bekerja.
Semasa dia mengangkat mangkuk dan gelas, dia disapa seseorang yang amat dikenalinya. Dari jarak jauh, dia sudah dapat menghidu bau perfume Nur Amira yang kuat menusuk masuk ke dalam rongga hidung.
"Hai saya datang nak melawat awak!" Sapa Amira bersama senyuman ceria.
Penampilan gadis itu boleh membuatkan ramai yang terpukau melihatnya. Wajah yang mempunyai solekan sedikit tebal menyerlahkan lagi keayuan yang dimiliki, berkasut tumit tinggi menjadikan dirinya nampak lebih menarik di antara gadis-gadis lain.
"Saya baru aje mula kerja hari ini awak dah datang untuk bersembang. Tak elok tau buat saya makan gaji buta," kata Mikayla, tangannya menyusun beberapa gelas di atas dulang untuk dihantar ke belakang.
"Saya tak suruh awak makan gaji buta pun. Saya datang untuk pantau sahabat baik saya ni bekerja. Tiba-tiba jatuh sakit nanti macam mana?"
"Awak layan saya macam budak-budak," Mikayla membawa dulang yang dipegangnya ke belakang.
Amira mengambil tempat di salah sebuah meja berdekatan dengan cashier bagi memudahkan dia berbual dengan Mikayla. Bebola matanya diputarkan ke arah Mikayla yang terus melabuhkan punggung atas kerusi di hadapan cashier tanpa menoleh ke arahnya.
"Kalau awak nak tahu, macam nilah orang bekerja. Dilarang berangan, dilarang tidur dan dilarang mengabaikan pelanggan seperti saya," Amira menunjuk-nunjuk wajah Mikayla beberapa kali.
"Sebenarnya saya singgah kejap je untuk beli air tapi papa dah mesej dan saya perlu pergi sekarang. Nanti kita jumpa ya, bye."
Amira melambai-lambai tangannya. Mikayla juga membalas lambaian itu tanpa kata. Untungnya jadi Amira, minta apa sahaja dapat tanpa perlu mengeluarkan setitik peluh pun.
Beberapa minit kemudian, seorang lelaki memakai hoodie melangkah masuk ke dalam kafe. Lelaki itu terus meluru ke arah kaunter untuk membuat pesanan makanan. Pantas Mikayla mengambil pesanan makanan lelaki itu.
YOU ARE READING
𝐈'𝐦 𝐘𝐨𝐮𝐫𝐬
Action[𝐂 𝐎 𝐌 𝐏 𝐋 𝐄 𝐓 𝐄 𝐃] ♡ 𝐊𝐚𝐫𝐲𝐚 𝐤𝐞𝐝𝐮𝐚 𝐌𝐫𝐇𝐚𝐳𝐑𝐞𝐲𝐳 ♡ ★𝐑𝐨𝐦𝐚𝐧𝐜𝐞 + 𝐀𝐜𝐭𝐢𝐨𝐧★ Hezrick Xizel, seorang ketua mafia yang tegas dan merbahaya. Dalam tegas, ada baiknya juga kerana dia adalah seorang lelaki yang mudah un...