BAB BONUS : SAINGAN REIID

152 13 5
                                    

Langit tinggi dan cerah. Suhu pada awal musim bunga masih terbilang sedikit dingin tetapi akan menjadi semakin hangat menjelang pertengahan musim sehinggalah musim panas tiba nanti.

Bagaikan bersyukur selepas terselamat daripada musim dingin yang panjang, tunas-tunas muda berlumba-lumba merekah di hujung ranting lalu pegun menadah sinar matahari.Lalu ada kudup bunga yang mulai mekar, menebarkan aroma harum ke mana-mana dibawa angin semilir yang nyaman.

Hatta angin yang membawa bersama wangian bunga yang baru mekar sekalipun tidak mampu membuatkan suasana hati Reiid bertambah baik. Setiap saat, jengkelnya semakin bertambah. Jika kepalanya dianimasikan sebagai cerek elektrik, air di dalam cerek itu sudah lama menggelegak sehingga hampir meledak dengan bunyi nyaring membingitkan telinga. Asap mengepul di mana-mana.

"Semuanya nampak elok kerana Kyo. "

Bagai menabur garam pada luka yang masih sangat baru, Reiid mengetap giginya seraya memusingkan leher ke arah Cassius yang sedang menatap lurus ke hadapan.

Aneh apabila memikirkan bagaimana Cassius menatap penuh minat susuk berwajah rupawan yang sedang memasang raut wajah tidak perduli itu. Kemeja yang membalut tubuh lampai berbahu bidang itu serasi dengan warna langit yang tidak berawan. Biru kehijauan. 

Sementara itu, ada krew yang sedang menghalakan lensa kamera ke arahnya cuba menangkap sudut terbaik bingkai wajah tersebut. Tatapan mata pada lensa seperti tidak perduli dan acuh tidak acuh sehingga menhantar kesan bahawa sesiapa sahaja yang memakai kemeja yang dikenakannya, mendadak bertambah tampan beberapa kali.

Namun, perduli apalah Reiid dengan mata jeli dan menggoda yang dipamerkan model tinggi lampai itu. Biar kawasan lapang berhampiran taman tersebut tiba-tiba riuh dengan beberapa orang pejalan kaki memberhentikan langkah masing-masing lalu memanjangkan leher dan berbisik-bisik mengagumi susuk tersebut-itu juga bukan urusannya sama sekali.

" Mereka nampak elok kerana perbezaan ketinggian yang comel. Berterima kasihlah kepada ketinggian Kyo. "

Lirikan Reiid semakin tajam lalu tanpa sedar dia mengetap gigi " Boleh tidak jangan membicarakan topik yang menyakitkan hati pagi-pagi begini? "

Cassius dan Zethus saling bertukar pandang lalu menyembunyikan senyuman masing-masing. Mengenali pemuda itu hampir separuh daripada usia mereka berdua, tidak pernah mereka melihat Reiid cemas,jengkel dan geram sedemikian rupa. Kebiasaannya dia selalu tenang dan tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang biasa.

Tetapi, segala-galanya terbalik jika menyangkut hal Puan Muda Kumpulan Lycan itu. Buktinya, dia cemberut tanpa sebab yang jelas apabila melihat Kyo menghulurkan botol jus kepada Ara. Walaupun dia menafikan sekeras-kerasnya namun pada Cassius dan Zethus, perilakunya menunjukkan hal yang berlawanan sama sekali.

" Tidak apa-apakan saya ajak Tuan Reiid sekali ke sini? "

Demikian kata N sebaik sahaja dia menghampiri tiga susuk tubuh tersebut yang masing-masing melabuhkan duduk di atas permukaan kerusi plastik di bawah teduhan kanopi kanvas kecil tersebut.

" Tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan, Tuan N. Dalam masa yang sama boleh juga keluar dari pejabat dan menikmati pemandangan musim bunga begini. "

Reiid pantas berdiri sebagai gestur menghormati pemuda tersebut yang melebarkan senyuman kepada mereka bertiga.

" Saya perkenalkan. Kyo. Model untuk majalah fesyen edisi musim bunga
kali ini."

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now