Ruangan berupa sebuah bilik yang didominasi dengan warna putih dan hijau muda itu ditatap oleh Ara dengan perasaan yang berbelah-bahagi.Panel tingkap yang tinggi hingga mencecah siling di sebelah kanannya yang diperbuat daripada kaca itu bersih dan tembus pandang mempamerkan suasana awal musim bunga yang berwarna-warni dengan sinar matahari yang hangat memancar terang tetapi masih menyisakan dingin musim sejuk.
Di luar,jalanraya sedikit lengang dan deretan premis berupa beberapa buah kafe dan juga kedai senyap dalam rengkuhan matahari pagi yang masih belum terik.
Langsir hijau muda berikat kemas di kedua-dua belah sisi tingkap dan pada jenang tingkap yang lebar, pasu-pasu daripada seramik putih yang berkilat tersusun rapi dengan tanaman kaktus yang juga mengeluarkan bunga-bunga kecil berwarna merah dan putih.
Musim bunga boleh dikatakan masih sangat muda kerana baru mencecah dua minggu dan masih dalam fasa peralihan antara musim dingin dan musim bunga. Dan barangkali di sesetengah tempat dengan altitud yang sedikit tinggi, salji pasti masih berbaki dan belum mencair sepenuhnya.
Sementara suasana di luar tingkap jelas berasa hangat dan meriah dengan bunga-bungaan menguntumkan putik masing-masing,hati Ara tidak boleh dikatakan berada dalam keadaan yang baik.Segalanya terasa bercampur-aduk dan membuatkan Ara tidak senang duduk.
" Raven !!"
Mendadak telinganya mendengar satu nama aneh yang sepertinya pernah dia dengari sebelum ini membuatkan Ara menoleh.Kosong. Selain daripada tingkap kaca di sebelah kanan,ruangan bilik tersebut hanya dihiasi dengan dekorasi yang minimum tetapi membiaskan suasana yang nyaman dan menenangkan apatah lagi dengan bau harum yang menyebar dibawa pendingin hawa di atas bingkai tingkap.
Ada pula rak besar berisi buku dan juga sofa putih yang empuk dengan bantal-bantal segiempat berwarna hijau epal tersusun rapi sementara sebuah meja kopi rendah kelihatan menadah sebuah bekas berair yang berisi bunga-bunga putih yang batangnya direndamkan agar sentiasa segar.
Selain itu,ruangan tersebut tidak ada sesiapa pun melainkan dia seorang tetapi suara yang menyeru nama asing itu kedengaran begitu jelas dalam pendengarannya.
Mungkin keputusannya untuk berjumpa dengan seorang kaunselor adalah hal yang akan dikesalinya kelak tetapi dia tahu itu adalah langkah yang perlu diambilnya ketika itu.Hendak diceritakan kepada siapa tentang segala yang berlaku tanpa berakhir dengan dirinya dikatakan sudah tidak lagi siuman?
Delirium. Satu kumpulan gejala yang berlaku akibat pendedahan berterusan kepada ubat-ubatan tertentu dan juga gangguan kesihatan dan dalam hal ini pantas Ara menyimpulkan bahawa keadaan yang dialaminya adalah disebabkan oleh penggunaan ubat-ubatan dalam tempoh masa yang sangat lama.
Ia akan mengakibatkan timbul gejala seperti kepekaan yang rendah terhadap persekitaran,kemahiran berfikir yang merosot juga daya ingatan yang semakin memburuk,perubahan sikap dan tabiat serta gejala emosi yang tidak menentu.
Dan hampir kesemuanya sudah dialami olehnya termasuklah halusinasi menakutkan tentang ada ketika dia melihat sendiri tubuhnya seperti berubah wajah dalam hitungan hanya beberapa saat menjadi seseorang yang langsung tidak dikenalinya.Begitu juga dengan perubahan aneh tubuhnya yang bertukar menjadi lutsinar bagaikan imej hologram yang sekejap jelas sekejap samar.
Itu adalah tanggapan pertama yang difikirkan olehnya apabila entah mengapa muncul bayangan-bayangan aneh didalam fikirannya dan hal tersebut bukan sesuatu yang menghairankan kerana dia tahu melalui penjelasan yang diberikan oleh Dayang Chi bahawa sebelum ini dia pernah berada dalam fasa koma yang sangat lama menghampiri sebelas bulan tempohnya.Dan ketika itu,dia hanya bergantung hidup kepada peralatan sokongan hayat dan juga ubat-ubatan.
YOU ARE READING
Last Hunter : Distopia
FantasyKitab Mirria. Kitab itu kitab terkutuk dan sangat tabu .Dalam masa yang sama, kemunculan seorang pemuda membuatkan Ara kembali lagi terjebak ke dalam pertualangan mistik dan berbahaya tanpa dia ketahui ada suatu kejahatan yang mengintai. Sementara K...