Menghadapi kumpulan tikus perosak itu tidak pernah menjadi satu kerja yang senang dan sekurang-kurangnya itulah yang dirasakan Tuan Erion selama ini. Kerjanya pasti akan lebih mudah jika memang benar apa yang sedang dihadapai oleh para Petinggi Empayar itu adalah segerombolan tikus tidak sedar diri.
Hantar sahaja pasukan pembasmi haiwan perosak dan sekelip mata sahaja haiwan pengotor itu akan bergelimpangan terkapar tidak bernyawa tetapi perkara paling menjengkelkan daripada semuanya adalah kumpulan pembuat onar itu lebih sukar dihapuskan daripada menghapuskan haiwan perosak !
Tuan Erion tahu 'tikus-tikus' tersebut bukanlah dalam jumlah yang ramai tetapi mereka sangat menyakitkan hati. Bagaikan selumbar paling kecil yang menusuk jari. Sukar dikeluarkan kerana hampir tidak kelihatan tetapi bahana sakit yang ditinggalkan oleh selumbar tersebut membuatkan dia tidak senang duduk.
Terlalu sedikit maklumat yang diperolehi empayar tentang kumpulan tersebut walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan untuk menangkap mereka. Baik melalui cara yang tidak melanggar undang-undang mahupun cara salah yang dijalankan oleh 'tangan-tangan ghaib' Empayar melalui jaringan pengintipan dan kumpulan bawah tanah di setiap koloni.
Mengistiharkan pergerakan kumpulan tersebut sebagai sebuah pertubuhan haram yang menyalahi undang-undang kerana berpaksikan kepada idealogi untuk menggulingkan pemerintahan Empayar adalah tindakan pertama yang diambil setelah dipersetujui oleh barisan Petinggi Empayar. Bukan sahaja menemui jalan buntu dan tidak menunjukkan sebarang kemajuan yang positif malahan populariti kumpulan kurang ajar itu semakin meningkat naik.
Itu tidak lain adalah kerana kumpulan tidak bernama itu dianggap hero oleh penduduk koloni buangan di sebalik Tembok Barat sana. Bukan tidak pernah Empayar menawarkan sejumlah imbalan yang tinggi termasuklah kerakyatan ke dalam Koloni Andromeda berserta keistimewaan lain namun usaha itu juga tidak mendatangkan sebarang hasil.
Jika usaha pujukan tidak berkesan, usaha ancaman juga sudah dilakukan. Para penduduk Koloni Okta yang didapati memberikan kerjasama ataupun perlindungan kepada kumpulan tersebut akan dikenakan hukuman yang berat kerana bersekongkol dengan pengkhianat kepada seluruh Empayar dan sistemnya. Yang ditangkap akan diseksa habis-habisan tetapi tetap sahaja mereka tidak berkutik.
Seperti yang berlaku semalam. Dua orang lelaki pertengahan usia yang didapati menyembunyikan keberadaan 'tikus-tikus' tersebut berjaya ditangkap tetapi sehingga tubuh mereka terperosok lembik di atas kerusi, mereka tetap tidak membuka mulut dan menjawab pertanyaan para agen Empayar itu. Senyuman sinis dari sudut bibir yang berdarah itu masih sangat terasa menyakitkan hati Tuan Erion.
Walaupun pahit, mahu tidak mahu Tuan Erion dan seluruh Petinggi Empayar harus mengakui kumpulan ' tikus' itu tidak lain adalah merupakan para pejuang revolusi yang bangkit menentang pemerintahan Empayar dalam cara mereka sendiri. Baginya, menghadapi gerombolan pemberontak secara berhadapan sepuluh kali lebih mudah daripada berhadapan serangan-serangan mengejut begitu.Mengerahkan pasukan askar elit Empayar bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilakukan jika mereka tahu siapa yang dihadapi.
Namun hal paling aneh sekaligus menghairankan, pergerakan kumpulan tersebut sangat sukar untuk dikesan dan ia semakin diburukkan pula dengan tindakan orang ramai yang sangat ketara menyembunyikan kumpulan itu. Dalam cara dan keadaan yang paling tidak ketara, kumpulan tersebut secara terang-terangan merompak daripada para Petinggi Empayar dihadapan mata mereka sendiri.
Usah ditanya bagaimana mereka melakukannya kerana sekuat apa sekalipun para penguasa Empayar melindungi aset mereka, seorang demi seorang menjadi mangsa dan setakat ini tidak ada yang terkecuali. Mangsa terbaru adalah Datuk Bandar Koloni Gamma yang bangun sahaja dari tidurnya sudah hampir tumbang akibat mendapat panggilan daripada pihak bank untuk mengesahkan semula pemindahan sejumlah wang bernilai 200,000 UB yang dibuat beberapa minit sebelumnya.
YOU ARE READING
Last Hunter : Distopia
FantasyKitab Mirria. Kitab itu kitab terkutuk dan sangat tabu .Dalam masa yang sama, kemunculan seorang pemuda membuatkan Ara kembali lagi terjebak ke dalam pertualangan mistik dan berbahaya tanpa dia ketahui ada suatu kejahatan yang mengintai. Sementara K...