Satu suara jeritan hon yang meraung panjang beserta sorotan lampu terang menyilaukan penglihatan tiba-tiba sahaja muncul di hadapan matanya membuatkan dia tergamam dan tindakan reflek ototnya menarik kedua-dua tangannya melindungi mata.
" Hei !! " Cermin tingkap kereta diturunkan dan satu bingkai wajah dengan rambut hitam tersembul " Kalau mahu bunuh diri jangan di sini. Pergi ke Jambatan Utara dan terjun saja ! "
Susuk tubuh lelaki dengan hud jaket yang dinaikkan menyerkupi kepala itu terkebil-kebil sebelum melompat ke tepi dan tatapan tajam lelaki yang memandu kenderaan sedan berwarna hitam itu masih terasa menikam belakangnya walaupun kenderaan tersebut sudah berlalu.
Dengan jantung yang masih berdegup kencang,perlahan-lahan dia menurunkan hud jaket daripada kepalanya lalu mendongak.Bangunan pencakar langit memenuhi penglihatannya,tegak menunjang langit malam yang terasa hangat tetapi berangin.Lampu-lampu jalan berderet memagari jaluran jalanraya berturap sementara kenderaan dengan lampu terpasang bertali-arus lancar dengan aliran trafik yang tenang.
Manakala lampu isyarat berkelip silih berganti mengikut aturan lalulintas . Papan-papan tanda perniagaan bersinar dalam cahaya terang .Sementara itu pada gigi jalan,kenderaan yang berhenti tersusun kemas .Tersadai mengikut tanda-tanda lot pakir yang telah disediakan.
Ada pula pasu-pasu besar berisi tanaman-tanaman hiasan sementara pohon-pohon yang tidak ditanam di dalam pasu pula tegak dalam rengkuhan malam yang masih awal.Meliang-liuk ditampan angin dengan beberapa orang lelaki dan wanita menyusur lorong pejalan kaki,tenang dan tidak tergesa-gesa.
Sementara itu,pada garis kaki langit yang lain-saujana mata memandang kelip-kelip lampu merajai penglihatannya.Dengan sebuah jambatan yang merentangi sungai besar di sebelah Timur,lampu berwarna putih kebiruan tampak menyala dalam kegelapan malam.Menyusuri tiap inci lekuk tubir jambatan dari hujung ke hujung sementara ada kenderaan yang bergerak lancar di atasnya.
Apa mungkin ?
Di sini-di tempatnya berdiri ini-jika menoleh ke kiri ada Koloni Andromeda yang makmur dengan binaan-binaan bangunan tinggi pencakar langit yang menjadi saksi bisu segala kemewahan yang dirasakan oleh para penduduk paling beruntung itu.Golongan elit nan terpilih untuk mendiami koloni tersebut.Dipilih mengikut kemampuan masing-masing bagi 'membeli' tempat di permukiman mewah tersebut.
Sementara pada sisi lain kaki langit,kali terakhir dia berdiri di tempat itu
yang ditandai dengan sebatang pohon itu-sebuah kubah gergasi menyerkupi satu permukiman yang tandus dan menyerupai pekan mati.Jalan-jalan yang gelap,jalan pejalan kaki yang kelam dengan longgokan sampah di mana-mana serta bangunan juga rumah-rumah kedai yang berdiri senget di atas puing-puing runtuhannya sendiri.Koloni yang menjadi tempat pembuangan bagi mereka yang sudah tidak mempunyai harapan ataupun keinginan untuk meneruskan hidup lagi.Koloni Okta yang tidak ada ubahnya seperti lorong belakang sarang segala kejahatan bermaharajalela.Kusam,gelap,basah,berbau dan tidak diperdulikan.
Spontan dia merasakan adrenalin menderu ke kepalanya kerana dari Timur ke Barat dan sehingga Utara juga Selatan tidak kelihatan serkupan kubah-kubah kaca yang menjadi pembatas antara penempatan dengan atmosfera luar yang dipenuhi udara bertoksik yang membunuh.Tidak ada langit rendah yang melekit dan menurunkan hujan berasid hampir setiap petang.
Mendadak dia ingin menjerit.Udara nyaman awal musim panas yang hangat dan menebarkan bau harum kopi serta roti yang baru dibakar daripada kafe dan bakeri di pinggir jalan,lalu lintas yang lancar dengan lampu isyarat mempamerkan cahaya merah,hijau dan kuning silih-berganti,pohon-pohon berdaun hijau memagari jalan,jambatan yang merentangi sungai lalu ada pula susuk-susuk tubuh lelaki ataupun wanita yang berjalan perlahan sambil rancak berbual sesama sendiri di atas lorong pejalan kaki.Tidak ada ancaman ataupun tanda bahaya sama sekali.
Segalanya terlalu nyata.Benar.Dan ia hanya bermakna suatu hal.
Uruk-Rhnull berjaya melakukannya !
" Andra !! "
Euforia yang meruap di dalam hatinya membuatkan dia menoleh ke belakang.Dua susuk tubuh dengan salah seorang daripadanya menjinjing satu kotak segiempat pada tangan kanan sedang berdiri di pinggir jalan,tepat di sebelah sebuah kenderaan SUV hitam.Ada empat pasang mata yang memandangnya dengan kehairanan.Namun bingkai wajah yang satu itu benar-benar membuatkan dia hampir menitiskan air mata.
" V.."
Dengan langkah yang sedikit lebar,tubuh sang sahabat direngkuh dengan penuh kesyukuran membuatkan tuan empunya diri tercengang seketika.
" Drama apa ni,Andra?"
Gray-sahabatnya yang memang terkenal kerap bersikap sinis itu menggelengkan kepalanya.Hairan memang dengan telatah Andra yang seperti sudah lama tidak bertemu dengan V.
Andra tidak mengendahkan ketus Gray.Dengan senyuman lebar dan air mata yang bergenang,tubuh V yang berbalut kemeja putih dan berkaca mata itu dilepaskan lalu hanya dengan satu langkahan yang besar,Gray sudah berada di dalam pelukannya.
Andra tidak tahu hendak mengatakan apa kepada V dan Gray kerana diterangkan walau bagaimana sekalipun,mereka pasti akan menganggapnya sudah tidak siuman.Dan jelas sekali apa yang dialaminya itu bukan sesuatu yang boleh diterima oleh akal yang waras.Hal itu hanya kedengaran logik untuk sinopsis novel fantasi dan juga rancangan kartun anak-anak kecil.
Merentasi masa dan kembali ke masa silam untuk mengubahnya? Bukankah ia kedengaran seperti idea gila daripada seorang yang tidak siuman pula?
Namun,perdulikan sahaja jika ada orang yang akan mengatakan dia gila.Jelas kerana mereka tidak mengalaminya sendiri maka wajar jika hal tersebut akan dianggap sebuah dongeng yang mengarut.Biarkan ! Apa yang penting,susuk tubuh V di hadapannya yang masih terbingung-bingung sendiri sudah jelas menunjukkan dia berjaya dalam misinya.
Malahan suasana persekitaran yang terlalu normal tanpa kewujudan koloni-koloni mengikut kelas sosial itu sudah cukup menjadi bukti mereka berjaya menghalang seluruh penempatan bertukar menjadi permukiman yang diserkupi distopia di mana-mana.
" Cepatlah ! " satu lagi kepala tersembul daripada celah cermin tingkap yang diturunkan " Aku tak mahu kita terlambat nanti .Tanggung sendiri kalau ibu singa di rumah tu marah! "
Memiliki bingkai wajah tegas dengan dagu yang kukuh.Alis tebal yang membiaskan roman wajah dingin dan misteri sekaligus.
Erza.
" Apa kena dengan Andra tu?" Gray mengerutkan kening apabila melihat Andra menebarkan senyuman lebar dengan sepasang mata yang bersinar.
" Entah.."
Dan sehingga kenderaan tersebut berhenti di pintu utama Rumah Agam dengan Aria, Ten juga Leo sedang bertengkar tidak jelas tentang papan catur di hadapan mereka di beranda hadapan ketika itu, Andra benar-benar tergamam.
Wajah sang ibu yang jelas marah-marah dan cuba mentertibkan perilaku Ten dan Aria yang dianggapnya tidak munasabah kerana bertengkar hanya disebabkan oleh permainan yang entah apa-apa kabur dalam genangan air hangat di kelopak matanya. Ada juga susuk tubuh ayahnya yang tertawa-tawa bagaikan sedang mengapi-apikan pertengkaran kecil Aria dan Ten yang beria-ia benar mengatakan permainan tersebut berlangsung dengan tidak adil.
" Andra " Bingkai wajah itu menatapnya hairan " Gamam apa lagi? Kek Baba Aiid mana? "
" Ada ni, Mama Ara.. " V mencelah lalu mengangkat tinggi kotak segiempat yang dijinjingnya sejak dari tadi. " Apa kena dengan anak Mama Ara tu tak tahulah! "
-AKHIR TINTA-
YOU ARE READING
Last Hunter : Distopia
FantasyKitab Mirria. Kitab itu kitab terkutuk dan sangat tabu .Dalam masa yang sama, kemunculan seorang pemuda membuatkan Ara kembali lagi terjebak ke dalam pertualangan mistik dan berbahaya tanpa dia ketahui ada suatu kejahatan yang mengintai. Sementara K...