-31-

256 30 26
                                    

Sisa sinar kemerahan yang semakin pudar di langit Barat menandakan peralihan antara waktu siang dengan waktu malam sudah hampir berakhir itu membuatkan Panglima Cassius semakin gelisah. Pandangan matanya saling bertukar antara ufuk langit yang mulai gelap dengan wajah pucat Ara yang hanya kelihatan sedikit sahaja di celah belitan akar pohon Hekuba.

Waktu malam adalah garis waktu yang perlu dielakkan oleh sesiapa sahaja yang sedang berada dalam manipulasi Sihir Adratos kerana mereka hanya ada waktu sehingga matahari terbenam untuk melepaskan diri daripada belenggu sihir tersebut sebelum sihir itu menelan bukan sahaja fikiran mangsa tetapi juga tubuh kasar mereka melalui akar pohon Hekuba. Jika mereka gagal melepasi sihir tersebut dalam masa yang ditetapkan, maka selama-lamanya mereka akan berada di dalam belenggu Sihir Adratos itu.

Menyaksikan bagaimana susuk tubuh Ara tenggelam sedikit demi sedikit ke dalam tanah dan menyisakan hanya wajah pucatnya, Panglima Cassius mulai tidak senang duduk namun dia tahu tidak ada apa-apa yang boleh membatalkan kesan Sihir Adratos melainkan dengan keazaman Ara sendiri. Akar pohon Hekuba adalah akar pohon sihir yang tidak lut dimusnahkan dengan senjata biasa dan satu-satunya yang boleh menangkal sihir tersebut adalah Rabay Tua.

" Kasihan sekali. "

Gumam Panglima Zethus perlahan sambil mendongak ke arah ufuk di sebelah kanannya.

" Keazamannya berjaya juga dikalahkan dengan ketakutannya sendiri. Pasti dia tidak menyangka bahawa perjalananannya mencari Kitab Mirria berakhir dengan begitu mudah. "

Panglima Cassius menghela nafas beratnya. Misi yang diberikan kepada mereka jelas dan dia tahu matlamatnya juga masih tidak tersasar tetapi bukankah terlalu kejam membiarkan seseorang seperti Ara ditelan hidup-hidup oleh akar Hekuba begitu setelah mengalami kepayahan yang bukan sedikit untuk sampai ke permukiman Bangsa Apollyon?

Walaubagaimana pun, ketika Panglima Zethus hampir selesai memadamkan bara unggun yang dinyalakan untuk menghalau serangga terutama sekali nyamuk daripada menggangu Putera Reiid dan Panglima Cassius sendiri berganjak meninggalkan tebing landai berbatu sungai tersebut dengan rasa bersalah yang bercampur-aduk dengan perasaan kasihan, bunyi berderak-derak kedengaran dari hulu sungai membuatkan spontan mereka bertiga menoleh hampir serentak.

Dan dengan tidak semena-mena, air jernih yang mengalir lesu di antara batuan pada dasar sungai mendadak surut  dan bagaikan ada sesuatu yang sedang menyedutnya dari arah hulu-menyisakan batu-batu hampar yang masih basah dan suasana senja yang semakin menghampiri malam itu tiba-tiba sahaja senyap.

Namun hanya dalam kiraan beberapa detik, air sungai yang bagaikan disedut sesuatu ke arah hulu mengalir lagi. Perlahan sekali pada awalnya dan beransur-ansur deras sehingga menimbulkan riak besar seperti gelombang di tengah laut.

Tanpa memikirkan apa yang akan berlaku, Panglima Cassius berlari meredah air sungai yang mendadak tinggi seperti air bah mencecah dada. Langkahan kakinya berat sekali ketika berada di dalam air tetapi apa yang penting baginya adalah menyelamatkan Ara daripada ditenggelamkan oleh arus deras dari hulu itu.

Tetapi dalam genangan air yang sudah mencecah dada begitu, Panglima Cassius terpegun dengan mata yang membola apabila entah dari mana muncul ratusan kunang-kunang yang mengerlipkan cahaya biru keputihan lalu terapung rendah di permukaan air bagaikan mengitari sesuatu atau lebih tepatnya
seseorang !

Tidak ubahnya seperti kawanan semut yang menghurungi timbunan gula, ratusan bahkan mungkin ribuan kunang-kunang itu terbang rendah mengepakkan sayap halus mereka dan ketika itulah mata Panglima Cassius menangkap imej satu susuk tubuh yang terkulai lemah perlahan-lahan terapung dari dasar sungai.Seinci demi seinci susuk tubuh itu mulai kelihatan dan seperti sedang ditunjang oleh tangan yang tidak kelihatan.

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now