-33-

266 30 8
                                    

Melepasi padang rumput tersebut dan menuruni denai sedikit curam ke bawah, lalu berjalan di bawah naungan pohon rendah berbunga lebat -maka terbentanglah sebuah perkampungan yang subur dengan beberapa buah rumah beratapkan jalinan rumput yang tebal kelihatan terletak sedikit berjauhan di antara satu sama lain.

Boleh dikatakan rumah-rumah penduduk di kawasan perdesaan tersebut dibina betul-betul berhampiran tebing sebuah sungai yang berair jernih. Pada sesetengah tempat, beberapa buah rakit kelihatan ditambat jika bukan pada perdu pohon  rendang yang tumbuh di pinggir sungai-ia diikat pada pancang kayu yang ditanam ke dalam tanah.

Rata-rata lantai rumah penduduk di permukiman tersebut tidak tinggi. Barangkali hanya separas pinggang dengan tangga daripada hamparan batu leper yang besar. Ada halaman  bersih dan luas dan dipagari dengan kayu-kayu bulat yang dipacak ke dalam tanah.

Di halaman rumah, batas-batas sayur serta bidang tanah yang dipenuhi jagung atau gandum memenuhi penglihatan.Pada beberapa buah rumah, pangkin-pangkin kayu menadah dulang yang diperbuat daripada anyaman batang Mensiang dan di atas dulang tersebut ada bijirin seperti gandum dan jagung yang sedang dikeringkan di bawah sinar matahari.

Rumah beratapkan rumput kering yang tebal dan berdinding buluh serta bingkai tingkap juga pintu yang diperbuat daripada kayu mengepulkan asap daripada cerobong dapur masing-masing.

Pada bahagian luar ada anjung yang tidak berdinding dengan simpulan-simpulan jagung tua pada kulitnya dan juga sayuran-sayuran kering yang ditusuk menggunakan tali serta tangkai bawang  putih berhimpitan tergantung berhampiran pintu.

Ada pula tanaman-tanaman hiasan yang semarak dengan bunga pelbagai warna ataupun pasu yang tergantung pada alang cucur atap serambi. Saling berlaga antara satu sama lain apabila ditiup angin yang juga sayup-sayup membawa aroma masakan serta bunyi kokokan ayam dari pelusuk kampung.

Putera Reiid yang meneguk perlahan teh kayu manis suam di dalam cawan tembikar itu hanya sekadar menatap Ara di hadapannya dengan rasa yang bercampur baur dan sepertinya gadis itu tidak memperdulikan tatapan tiga pasang mata yang terarah kepadanya.

Merasa seperti pencuri yang tertangkap sudah pasti. Malah rasa malu juga ada tetapi tidak dapat tidak-yang pasti mereka, terutama sekali Putera Reiid merasakan gadis di hadapannya itu adalah satu susuk tubuh yang tidak boleh dipandang sebelah mata.

Dengan bayaran beberapa keping wang perak, empat mangkuk bubur barli yang dicampurkan dengan potongan-potongan sayuran serta sajian sampingan berupa ikan bakar, empat biji telur rebus dan beberapa ketul ubi manis rebus juga teh hangat yang dibancuh dalam sebuah kole tanah liat-hidangan amat sederhana itu dijamah dalam keadaan senyap.

Walaupun ia tidak seberapa berbanding nilai wang yang dihulurkan Panglima Zethus kepada lelaki baik hati pemilik rumah tersebut tetapi ia sudah lebih daripada mencukupi bagi mereka yang sudah belasan jam tidak menjamah makanan.

" Makanlah.. "

Putera Reiid menolak mangkuk bubur di hadapannya ke arah Ara yang sepertinya masih belum kenyang kerana dia menyengetkan mangkuk dan menyuap ke dalam mulutnya setiap butir barli yang bersisa di dasar mangkuk.

Tanpa bersuara apa-apa, mangkuk tersebut segera dicapai dan dia kembali menyuap bubur tersebut menyebabkan Panglima Cassius menyembunyikan senyumannya di sebalik cawan pada tangan kanannya.
Dan ketika Putera Reiid menolak pinggan berisi ikan bakar yang sudah dibuang kulit dan tulang itu lebih dekat kepada Ara, Panglima Cassius tersenyum lagi. Lebih lebar tetapi membuang wajahnya ke samping apabila dipandang tajam oleh pemuda itu.

" Tuaaaa.... "

" Syyytttt !!!!"

Panglima Zethus mendesis dari hujung meja sambil meletakkan jari telunjuk ke mulut sementara leher Panglima Cassius sudah berpusing ke segenap arah bagi memastikan tidak ada sesiapa yang terdengar kata-kata tersebut dan Ara serta-merta mengatupkan mulutnya lalu kembali mengunyah.

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now