-22-

262 28 35
                                    

Sebaik sahaja kakinya telah terasa menjejak ke atas permukaan yang kasar dan keras,Putera Reiid melepaskan pegangannya dengan kasar membuatkan Ara terhempas ke atas cabang pohon besar di mana mereka berpijak dan hampir melayah jatuh ke bawah jika tidak disambar dengan pantas oleh Panglima Zethus.

Susuk tubuh tersebut ditatap dengan pandangan kaget dan wajah membera sehingga ke hujung telinga memaksa Putera Reiid memalingkan wajahnya ke arah lain sambil terbatuk-batuk cuba menyembunyikan rasa kekok yang menujahnya ketika itu.

" Ttterimmaa kkkasihh.."

Dalam nafas yang masih terasa singkat Ara menyuarakan rasa terima kasihnya terhadap tiga susuk tubuh tersebut namun bukan ucapan balas yang diperolehinya tetapi sebaliknya hunusan mata pedang yang tepat menyentuh kulit leher.

" Katakan apa tujuan kau datang ke sini!! "

" Zethus! "

Panglima Cassius terpaksa mengeraskan suara apabila melihat sahabatnya itu sudah memasang wajah nekad sementara Putera Reiid berdiri membelakangi mereka tanpa bersuara apa-apa.

" Kalau sungguh tuan-tuan hendak membunuh saya pasti tuan-tuan tidak akan membantu saya sebentar tadi. "

Melihat wajah sang sahabat yang tergamam, tanpa sedar Panglima Cassius mengukir senyuman.Entah mengapa dia benar-benar merasakan susuk tubuh di hadapannya  yang sedang menghela nafas mengahnya itu sangat menarik kerana mereka yang berjaya membungkamkan Panglima Zethus itu masih boleh dihitung dengan jari.Mungkin jika termasuk dia dan Putera Reiid, dia yakin pasti belum mencecah empat orang.

Sementara itu,  wajah tidak ditutupi topi besar itu ditatap Ara dengan pandangan menyelidik. Pemuda yang menyandang busur panah dan pedang dibelakangnya itu kelihatan tegap dan tinggi lampai dengan bahu yang lebar. Rambut panjangnya yang berwarna hitam pekat separas dada itu diikat separuh ke belakang kepala membiarkan rambutnya yang lain menjulai di kedua-dua pelipisnya menyerlahkan keseluruhan bingkai wajah dan dahinya yang berkulit cerah dan bersih itu.

Berbeza daripada dua susuk tubuh yang mengenakan jubah pengembara labuh sehingga ke mata kaki, pemuda yang satu itu mengenakan baju luar labuh sehingga ke paras lutut yang longgar tetapi diikat ketat ke pinggangnya dengan tali pinggang daripada kulit yang licin berkilat.

Dengan belahan tinggi dari paras lutut hingga ke pinggang pada kedua-dua sisi kanan dan kirinya, baju pada bahagian dalam yang dipakainya jelas berwarna putih dan sepasang seluar berwarna cokelat gelap dengan pergelangan kaki seluar tersebut tenggelam ke dalam kasut berbut panjang yang diikat kejap ke betis menggunakan tali yang dipintal.

Sementara lengan baju luar berwarna cokelat gelap itu singkat hanya mencecah separuh siku, tangannya yang dibaluti baju dalam berlengan panjang putih itu direngkuh kejap oleh sarung lengan daripada kulit dari paras siku ke pergelangan tangan.

Rambut panjang pemuda itu terurai pada kedua-dua belah bahu,membuatkan wajahnya membiaskan karisma unik yang lembut dan tegas secara bersamaan.Kening hitamnya melintang jelas memayungi sepasang mata yang menyinar tegas sementara hidungnya terletak di tengah-tengah bingkai wajah yang berdagu tegas itu. Di bawah dagu, baju luar berwarna cokelat gelap itu dikacing dengan butang berbentuk bulat tetapi dihiasi dengan ukiran timbul berupa dua bilah pedang yang bersilang seolah-olah menadah seekor naga di tengah-tengahnya.

" Nama aku Cassius. "

Suara pemuda berambut panjang yang menyandang busur panah dan pedang itu memecah keheningan.

" Ara. " Ara menyahut dengan nada yang tenggelam timbul " Luna Arabella. "

Mendengar nama tersebut pantas kening hitam pemuda yang memperkenalkan diri sebagai Cassius itu bercantum.Senyap-senyap dia mengigit pipi dalamnya lalu menoleh sekilas ke arah Putera Reiid yang masih melabuhkan punggung agak jauh dari tempat Ara berada.

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now