Segenap tubuh Putera Reiid terasa seperti disedut ke dalam satu pusaran angin panas yang sangat kuat tetapi cengkaman kejap pada pergelangan tangannya tidak ubah bagaikan seutas tali yang menahannya daripada diterbangkan angin tersebut ke mana-mana.
Entah dari mana, tiba-tiba sahaja ada angin sejuk yang menyapu wajah walaupun terasa tapak tangan yang menutupi matanya ketika itu hangat sekali.
" Maaf kerana terpaksa berjumpa Tuanku dalam keadaan begini.. "
Ada satu suara yang dikenali Putera Reiid kedengaran dan ketika warna hitam sedikit kemerahan yang merajai pandangannya itu hilang bersama longgarnya tekapan tangan pada kedua-dua kelopak matanya, dia membuka matanya sepantas yang boleh apabila kakinya terasa berpijak lagi ke atas permukaan yang keras dan tidak terawang-awang seperti tadi.
" Ara ?" Buat seketika mata Putera Reiid membola menatap susuk tubuh di hadapannya itu ." Apa benarkah? "
Sang empunya nama tidak menyahut tetapi tangan kanannya menyambar selubung yang menutupi sebahagian wajahnya lantas menundukkan kepala bagi menghormati putera mahkota Kerajaan Apollyon tersebut.
Buat beberapa saat, Putera Reiid kehilangan kata dan rahangnya seakan-akan hendak terjatuh apabila menyedari dia bukan lagi berada di dalam bilik tetamu Lapangan Barat Istana Marduk tetapi sebaliknya berada di halaman pondok beratap jerami kepunyaan ibu pengasuhnya! Letak pondok,pangkin kayu di bawah pohon zaitun yang tua serta batas-batas tanaman juga pasu bunga yang berderet di tepi pagar. Sama. Tidak ada yang berubah.
Sedang Putera Reiid masih tampak bingung dan berusaha untuk mengumpulkan kembali kewarasannya yang sempat hilang itu, kedua-dua pengawal rapatnya itu pula sedang mencuba untuk tidak mengeluarkan segala isi perut mereka yang bergolak-golak ingin keluar melalui tekak.
Panglima Zethus masih mencangkung berhampiran perdu pokok zaitun tua yang hampir tidak berdaun itu sambil menekan perutnya dan meludahkan air liurnya sendiri sementara Panglima Cassius berdiri terhuyung-hayang dan dalam masa yang sama mengesat sudut bibirnya dengan wajah sedikit pucat.
Dalam rasa mual yang masih bersisa, Putera Reiid menatap susuk tubuh tersebut dengan pandangan bingung. Dia sangat dikenali oleh mereka tetapi ada sesuatu pada wajahnya yang membuatkan mereka terkebil tidak faham.
Ara berdiri di hadapan mereka dalam balutan pakaian daripada kain kapas yang kasar tetapi sepasang matanya menambah gamam Putera Reiid kerana walau dalam samar cahaya dari beberapa buah lampu yang tergantung pada dahan pohon zaitun tersebut, jelas sekali iris Ara bukan lagi berwarna cokelat muda melainkan biru bening seperti langit musim luruh yang tinggi sementara ada perca kain yang mendakap sanggulan kasar rambutnya yang berwarna putih keperakan mencecah pinggang itu. Ada pula hujung ranting yang kelihatan dicucuk ke dalam sanggul tidak kemasnya bagi mengelakkan simpulan rambut tersebut daripada terburai.
" Jangan tanya bagaimana saya melakukannya. " Getus gadis itu seakan-akan menjawab pertanyaan yang bergema di dalam fikiran Putera Reiid " Tidak ada jalan untuk saya mengelak daripada tertangkap kerana menyamar jika tiba-tiba ada yang memasuki bilik tersebut! "
Ara menurunkan serkup kain pada kepalanya ke bahu sambil memandang satu demi satu wajah kehairanan yang sedang melongo menatapnya ketika itu.
" Kemuncak upacara Simiera. " Suara Ara kedengaran lagi " Bila?"
" Malam lusa. "
Jawab Panglima Cassius masih dengan air liur yang terasa masam. Usai menyahut pertanyaan Ara, dia lalu tunduk dengan bersanggakan kedua-dua tangannya di atas lutut .Memuntahkan cecair bening yang pahit masam ke tepi pagar pondok Dayang Ethra.
Sedikit mendengus, Ara bingkas bangun dan menuju ke arah lingkaran batu separa tenggelam di sudut kiri pondok tersebut. Mengais-ngais sesuatu di dalam timbunan abu yang tidak berapi lagi lalu tunduk mengapaikan tangannya ke arah bekas unggun tersebut dan telatahnya hanya diperhatikan oleh tiga pasang mata itu.
YOU ARE READING
Last Hunter : Distopia
FantasyKitab Mirria. Kitab itu kitab terkutuk dan sangat tabu .Dalam masa yang sama, kemunculan seorang pemuda membuatkan Ara kembali lagi terjebak ke dalam pertualangan mistik dan berbahaya tanpa dia ketahui ada suatu kejahatan yang mengintai. Sementara K...