-21-

252 26 29
                                    

Ara yang baru cuba untuk menutup matanya sambil menyandarkan kepala ke arah akar paling besar di perdu pohon tersebut spontan membuka matanya semula apabila sayup-sayup dia mendengar bunyi kepakan sayap dan juga suara sorak-sorai seperti gerombolan kera sedang berebut kawasan.

Dalam cahaya suram unggun yang hanya mengeluarkan sedikit cahaya namun mengepulkan asap yang banyak itu, Ara bangkit sambil cuba untuk menajamkan penglihatannya ke segenap arah namun lantai hutan yang gelap dan basah serta unggun yang enggan menyala tidak membantunya langsung. Di mana-mana yang kelihatan hanyalah pohon-pohon tinggi dengan saiz yang dua tiga pemeluk dengan akar yang bertimbulan di antara bonggol batuan.

Sementara batu-batu besar yang timbul dilitupi lumut tebal, pada tempat yang terdedah dan disentuh oleh sinar matahari kelihatan tumbuhan paku liar serta resam dan juga rumpun keladi berdaun lebar. Daun kering dan ranting pula bertaburan di atas permukaan tanah menunjukkan hutan tersebut barangkali tidak pernah dijejaki oleh sesiapa.

Bunyi sorak-sorai tersebut semakin dekat dan suatu bau aneh yang tidak pernah dihidu Ara memenuhi rongga hidungnya.Walaupun Ara cuba untuk membuka matanya lebar tetapi kegelapan merajai suasana dan bunyi gegak gempita serta bunyi berderap ranting serta pucuk kayu berlaga sesama sendiri kedengaran tanpa Ara dapat melihat siapa yang menimbulkan kekecohan tersebut.

Dan sekonyong-konyong dalam keadaan Ara sudah berdiri sambil menghunus pedangnya, suasana tiba-tiba kembali senyap bagaikan suara bingit tadi tidak pernah ada. Dengan pedang terhunus ditangannya, Ara bersiap siaga memacakkan kuda-kudanya bagi menghadapi sebarang ancaman kerana sejak dari tadi dia sudah merasakan ada yang tidak kena dengan hutan tersebut. Mata dan telinganya cuba ditajamkan sepeka yang dia mampu.

Ara benar-benar tumbang ke belakang kerana dalam keadaan berundur begitu kakinya terlanggar akar timbul dan dalam masa yang sama jugalah satu wajah menyeringai tepat di hadapan wajahnya!

Satu wajah yang dilitupi bulu berwarna perang kecokelatan dengan telinga lebar dan tirus pada hujungnya menyeringai memperlihatkan deretan giginya yang berceracak saling berhimpitan di dalam mulut yang lebar sehingga hampir mencecah pangkal telinga dalam keadaan tergantung kepala ke bawah sehingga mengakibatkan air liur makhluk tersebut menitik ke wajah Ara.

Ara bingkas bangun seraya menjerit lalu menyambar pedangnya yang terlepas daripada genggaman tangan.

Di hadapannya berpuluh-puluh malahan barangkali mencecah ratusan susuk makhluk berbulu perang kecokelatan dengan wajah mirip kelawar berhidung pesek tetapi memiliki bentuk tubuh seperti monyet gergasi. Dengan mata yang merah, susuk makhluk bertubuh monyet itu merapati Ara sambil menyeringai memperlihatkan deretan gigi yang tajam.

Bersama tempikan nyaring ,makhluk aneh tersebut melompat tinggi menerkam Ara yang sudah terkepung dalam kerumunan mereka sedangkan yang lain sudah merendahkan tubuh bersiap sedia untuk menyerang Ara serentak tetapi ketika itulah makhluk aneh tersebut tumbang meniarap menimpa Ara yang pantas menghindar. Mata Ara terbeliak melihat tepat pada tengkuk makhluk separuh monyet separuh kelawar itu terpacak satu anak panah dengan hujung daripada pelepah burung berwarna putih sedikit kelabu.

Melihat salah satu daripada gerombolan mereka tertiarap sudah tidak bernyawa, makhluk-makhluk tersebut menoleh serentak ke belakang dengan menggeram-geram penuh waspada. Buat beberapa detik, perhatian mereka hendak menyerang Ara terganggu.

Dalam jangkauan cahaya yang suram, tiga susuk tubuh mencuar tegak dengan dua daripadanya mengenakan topi lebar yang cukup untuk menyembunyikan wajah masing-masing dan menyandang senjata pada belakang mereka.

Sementara itu satu susuk tubuh yang berdiri di tengah sedang berdiri mengiring menghadapkan sisi kiri tubuhnya ke arah Ara  bagi membolehkan tangan kirinya memegang busur panah manakala tangan kanannya menarik sebatang anak panah yang sudah siaga terpasang pada tali pelancar busur dalam keadaan tegang. Siap sedia untuk melepaskan satu lagi anak panah.

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now