-15-

291 31 28
                                    

Beberapa susuk tubuh yang berselubung dari mata kaki hingga ke kepala kelihatan sedang duduk dengan tenang. Bersila  menghadap satu unggun api yang menyala dengan lidah api berderak-derak meratah bahan bakar sementara cahaya putih kekuningan daripada unggun itu menerangi bahagian tengah ruangan tersebut.

Salah seorang daripada mereka yang kelihatan paling berusia  antara semua  membuka matanya sepantas kilat apabila api yang perlahan sahaja nyalaannya tiba-tiba seperti dicurah minyak dengan nyala yang mendadak besar dan hampir menyambar bumbung rendah pondok kayu tersebut.

" Kenapa? "

Satu suara bernada khuatir bertanya sebaik sahaja melihat lelaki renta itu memejamkan matanya lama sekali dan senyap tidak bersuara apa-apa.

" Ada seseorang dari dunia Mereka Yang Suka Berbuat Kerosakan berjaya memasuki Gerbang Apollyon. "

Mendengarnya, hampir serentak empat susuk tubuh yang berada di ruangan tersebut saling pandang memandang antara satu sama lain. Bukan tidak percaya akan kata-kata tersebut tetapi sudah terlalu lama sejak ada bangsa selain Bangsa Apollyon yang berjaya memasuki gerbang sihir tersebut ketika mereka memutuskan untuk tidak mahu mencampuri lagi urusan bangsa lain dan mengasingkan diri sepenuhnya dari sebarang bentuk hubungan dengan dunia luar.

Dan alasan mereka pula bukan tidak bersebab. Hanya kerana mereka pernah membenarkan sepasang suami-isteri yang dihambat pasukan tentera berkuda untuk singgah bermalam dan diberikan makanan serta pakaian yang hangat atas dasar ihsan sesama makhluk suatu ketika dulu mengakibatkan penempatan mereka dibantai habis-habisan malahan seluruh bangsa mereka juga dijarah tanpa belas kasihan.

Dengan alasan mereka menyembunyikan orang buruan yang paling dikehendaki, rumah-rumah penduduk di bakar, tanam-tanaman di musnahkan dan sesiapa sahaja yang berani menentang akan berakhir dengan kematian yang mengerikan.

Trauma dan dendam lama yang masih berdarah itu adalah alasan mengapa mereka menjauhkan diri daripada sebarang bentuk hubungan dengan dunia luar dengan menciptakan benteng sihir yang sukar ditembusi oleh sesiapa sahaja dari dunia luar.

Walaupun tidak seperti bangsa lain yang hidup dalam keadaan dunia serba moden-mereka juga mampu meneruskan hidup dan saling menampung keperluan masing-masing dengan tenaga dan tulang empat kerat mereka sendiri. Aman damai dan tidak ada prahara yang terlalu meruncing.

Begitu-begitu sahaja kehidupan mereka sehinggalah seseorang muncul pada suatu malam yang gelap tatkala bulan sedang tenggelam di belahan dunia yang lain. Singgah hanya sebentar tetapi ia sudah cukup membuatkan seluruh Bangsa Apollyon bergolak tiba-tiba kerana kedatangan susuk tubuh tidak bernama itu seperti membawa kejahatan yang tidak terbendung dan meninggalkan sesuatu yang mengakibatkan  ada dalam kalangan Bangsa Apollyon yang dikuasai serakah sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kitab tersebut.

Kitab Mirria. Begitu mereka menamakannya dan tidak ada sesiapa yang pernah melihat kitab tersebut malahan saksi hidup tidak pernah ada kerana sesiapa sahaja yang menemui kitab tersebut tidak akan hidup selepas melihatnya untuk menjadi saksi mata bagi mengkhabarkan hal tersebut kepada orang lain yang berhasrat untuk mendapatkannya.

Memikirkan betapa kitab tersebut akan menjadi punca huru-hara Bangsa Apollyon disebabkan kandungannya yang sempat dikatakan mengandungi catatan-catatan tentang ilmu sihir yang hebat dan mengagumkan,para Rabay mengambil keputusan untuk  mengharamkan dan menghukum sesiapa sahaja yang berusaha untuk mencari kitab tersebut dengan hukuman yang berat.

Namun aneh sekali apabila ancaman berupa hukuman keras begitu berubah menjadi magnet yang menarik kejahatan dalam bentuk tubuh yang dikuasai nafsu serakah tidak terpuaskan.

Semakin keras ancaman yang dikeluarkan para Rabay, semakin tergila-gila pula mereka untuk mendapatkannya kerana kepercayaan bahawa kitab tersebut bakal memberikan kekuasaan dan menjanjikan keagungan tersendiri kepada sesiapa sahaja yang berjaya mendapatkannya.

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now