-19-

307 26 24
                                    

Dengan senyap tetapi tahu apa yang dilakukannya, susuk tubuh berkemeja hitam dan menyarung jaket berwarna sama itu meletakkan beg yang disandangnya ke atas permukaan lantai.

Udara awal malam masih terbilang agak panas kerana bahang kota yang dipenuhi jejalan bangunan bertingkap kaca serta asap kenderaan bertali-arus masih belum dapat dihalau oleh angin yang bertiup perlahan-lahan bagaikan cuba mendodoi bulan muda di langit Timur ketika itu.

Walaupun hanya bertemankan cahaya lampu picit mini yang disepit menggunakan gigi, ia tidak menghalangnya daripada mengeluarkan bilah demi bilah besi dari dalam beg panjang yang disandangnya ketika menyusup ke bumbung bangunan itu yang mana kedudukannya betul-betul bersetentang dengan bangunan setinggi lima belas tingkat di seberang jalan. Bangunan gagah yang menempatkan gedung membeli-belah kepunyaan Keluarga Lycan.

Satu persatu komponen berupa potongan-potongan besi itu disambungkan dengan pantas dan cekap tanpa teragak-agak sedikitpun. Dia sudah cukup hafal potongan mana yang dipasang seterusnya.
Dan tatkala penyangga berupa besi kecil dipasakkan ke atas lantai bumbung tersebut, potong demi potong besi pendek yang dikeluarkan daripada beg sandang itu setelah disambungkan akhirnya membentuk sesuatu.

Selaras senapang!

Komponen terakhir senapang semi-auto itu dikeluarkan dari dalam beg sandang dan dipasangkan tepat di atas badan utama senapang tersebut-bertentangan dengan bahagian picu dan kelopak yang sudah penuh berisi peluru di bahagian bawah senapang tersebut. Dua batang besi kecil yang membentuk kaki bagi menampung berat senapang tersebut agar tidak perlu diampu dengan tangan.

Senapang dengan kelebihan mudah dibuka dan mudah dipasang semula itu daripada model LWRC SABR . 308 , antara senjata api yang digunakan dalam operasi ketenteraan khususnya untuk skuad penembak tepat malahan ia juga merupakan selaras senapang serbaguna.

Direka khas dengan akurasi yang tinggi untuk menembak dari jarak jauh,senapang model LWRC SABR .308 itu juga direka bagi kegunaan senjata api taktikal yang boleh digunakan untuk pertempuran jarak dekat. Dengan laras sepanjang 20 inci serta berat 5 kilogram juga kelopak berisi 5 butir peluru ditambah dengan ketepatan menembak yang sudah dilatih bertahun-tahun, menekan picu senjata api tersebut hanya perkara kecil baginya.

Sebuah binokular khusus dipadankan pada laras senapang tersebut dan sebaik sahaja binokular itu sudah selesai dipasang, dia meniarap merapatkan dadanya ke atas permukaan lantai bumbung bangunan tersebut dan mendekatkan matanya ke arah peranti binokular tersebut.

Melalui kanta binokular berdefinisi tinggi berasaskan teknologi pengintipan militari yang sudah terpasang pada laras senapang tersebut, satu layar berwarna hijau memenuhi penglihatannya.

Pada bahagian tengah imej binokular digital itu terdapat satu garis menegak dan garis membujur yang bersilang tegak -tepat pada satu bulatan yang amat kecil.Bulatan yang menandakan imej sasaran sudah berada pada garisan dan sudut yang betul.

Sementara pada sudut kanan dan kiri layar hijau dalam mode penglihatan malam ( night vision) itu ada angka-angka yang sentiasa berubah mewakili perubahan kelajuan serta arah tiupan angin yang akan mempengaruhi kelajuan dan ketepatan tembakan.

Selepas menyelaraskan sudut serta memasang muncung penyenyap bunyi pada laras senapang tersebut, dia memerhatikan pergerakan-pergerakan di ruangan nun jauh dihadapannya itu sambil menunggu isyarat daripada salah seorang rakannya yang turut sama berada di dalam majlis tersebut.

Sebaik sahaja sasaran utama mereka itu sudah mengambil tempat duduk, dia akan memetik picu senapang tersebut bagi menamatkan misi yang dipertanggungjawabkan kepada mereka itu.

Majlis pelancaran koleksi pakaian tersebut diandaikan sebagai masa yang paling sesuai untuk menjalankan rancangan mereka.Ditempat terbuka dengan kawalan keselamatan yang longgar dan kawasan sesak sungguh memudahkan pekerjaan mereka kali itu setelah kegagalan pertama tempoh hari masih terasa menghantui.

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now